Tag: bunuh teman wanita

  • Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    Bunuh teman wanita, warga asing mengaku salah

    SEORANG lelaki mengaku salah membunuh teman wanitanya di sebuah kondominium di Kelana Jaya selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki warga asing berusia 30 tahun itu membuat pengakuan itu susulan didakwa kelmarin.

    “Suspek direman selama 13 hari untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Selangor dan mendapat arahan tuduh pada Khamis (kelmarin). Suspek mengaku membunuh teman wanitanya,” katanya menurut Harian Metro.

    Pada 9 Jun, dilaporkan seorang lelaki warga India dipercayai menikam teman wanitanya sehingga 18 kali menggunakan pisau pemotong buah.

    Tindakan suspek terbongkar selepas ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan dipercayai untuk membunuh diri.

    Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 hingga 6 petang, 2 Jun lalu.

    Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

  • Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    Mekanik didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas.

    Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin,19, didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini pukul 7.18 malam pada 24 Ogos lepas.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

    Amirul Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

    Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

    Pada 25 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Klang. – BERNAMA