Tag: Bunuh diri

  • Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    SEORANG individu paling dikehendaki Arab Saudi meletupkan diri yang mengakibatkan kematiannya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah Rabu lalu dalam satu kejadian kejar mengejar. 

    Tindakan suspek Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, yang juga rakyat tempatan meletupkan dirinya mengakibatkan seorang rakyat Pakistan dan tiga anggota keselamatan cedera terkena serpihan bom.

    Lapor Saudi Gazette, Abdullah dipercayai ahli kumpulan Daesh yang terbabit dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015.

    Dia antara seorang daripada sembilan lelaki yang dikehendaki dalam letupan mengorbankan 15 orang dalam sebuah masjid, kebanyakannya polis, berhampiran sempadan Yemen.

    Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai yang cedera dan warga Pakistan yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

    Katanya, pihaknya mengulangi penegasan untuk sedia menangani ancaman mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada keselatan dan ketenteraman negara itu.

  • Sistem daftar bunuh diri KKM dijangka siap 2023

    Sistem daftar bunuh diri KKM dijangka siap 2023

    SISTEM Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan (NSFIRM) yang sedang dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

    Menurut beliau, pada masa ini, KKM sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut, yang akan melibatkan semua fasiliti hospital KKM di seluruh negara.

    “NSFIRM disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan diperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut.

    “Pembangunan NSFIRM akan membolehkan pembangunan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperoleh, yang mana ia akan membantu memperkukuhkan usaha pembangunan dasar dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya.

    Dr Noor Azmi menjawab pertanyaan Senator Fadhlina Sidek mengenai status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan, bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.

    Beliau menambah, sementara menunggu sistem itu siap sepenuhnya, KKM akan menggunakan data diperoleh daripada sumber lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Sosial Malaysia, untuk melihat statistik kes bunuh diri dan kecederaan fatal di negara ini.

    “Data-data ini akan menunjukkan bagaimana masalah bunuh diri. Daripada Januari hingga Mac 2021, sebanyak 336 kes direkodkan sedangkan pada tempoh sama tahun lepas 112 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus. Kes didapati melibatkan umur yang produktif antara 19 dan 40 tahun.

    “KKM akan mengambil data-data ini untuk melihat bagaimana kita nak mengkaji isu ini dan sebab itulah usaha melaksanakan sistem data bunuh diri dan kecederaan fatal sedang dipergiatkan. KKM sangat serius mengenai perkara ini…kita letakkan dana yang tinggi untuk melaksanakannya,” jelasnya.

  • Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Semua perlu main peranan elak kecenderungan bunuh diri – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK selama lebih setahun lalu telah menjejaskan kesihatan mental kebanyakan individu, yang meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

    Justeru, amat penting bagi semua pihak memainkan peranan bagi mengatasi peningkatan risiko tingkah laku bunuh diri ketika ini, yang dipengaruhi akibat pandemik Covid-19.

    Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa semua pihak yang berdepan gangguan emosi untuk mendapatkan bantuan, manakala individu lain boleh memainkan peranan dengan mengambil tahu situasi keluarga dan rakan masing-masing.

    “Bunuh diri boleh dielakkan. Kita semua perlu memainkan peranan. Dapatkan bantuan, belajar untuk mengenal pasti tanda tingkah laku, tunjukkan keprihatinan, jangan diskriminasi.

    “Kami bersedia untuk membantu anda,” katanya menerusi Twitter, hari ini, sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (WSPD) 2021.

    WSPD yang disambut pada 10 September setiap tahun, dianjurkan Persatuan bagi Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi menggambarkan komitmen global untuk memberi fokus terhadap pencegahan bunuh diri.

    Sementara itu, Khairy menerusi rakaman video, menegaskan individu yang berdepan gangguan emosi perlu menyedari yang mereka tidak keseorangan.

    “Kepada individu yang sedang bertarung dengan kemurungan, keresahan. Anda tidak keseorangan. Jangan anggap anda keseorangan, walaupun anda di saat paling gelap.

    “Bantuan tersedia. Harap anda dapat mengatasinya dan kami sedia membantu anda,” katanya.

    Khairy turut meletakkan dua talian yang boleh dihubungi bagi mereka yang berdepan gangguan emosi dan memiliki hasrat bunuh diri, iaitu Talian Kasih (15999) dan Befrienders (03-76272929).