Tag: bumi

  • Selamatkan bumi: Kapal angkasa NASA berjaya hentam asteroid

    Selamatkan bumi: Kapal angkasa NASA berjaya hentam asteroid

    KAPAL angkasa milik NASA berjaya menghentam sebuah asteroid pada malam Isnin dalam usaha menyelamatkan Bumi satu hari nanti, lapor Agensi Anadolu.

    Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) disiarkan secara langsung oleh agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) untuk menunjukkan kepada dunia ujian pertahanan planet sekiranya Bumi berdepan ancaman pelanggaran asteroid pada masa hadapan.

    Pelanggaran dua objek yang disengajakan itu adalah hasil tujuh tahun penelitian, NASA membuat penyelidikan sama ada pertembungan kapal angkasa dengan asteroid secara manual mampu memesongkan trajektorinya bagi mengelakkan bencana kepada Bumi.

    “Wah, itu menakjubkan, bukan?” kata ketua saintis DART Nancy Chabot sejurus selepas kapal angkasa itu berjaya menghentam asteroid terbabit.

    Misi DART dilancarkan November lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

    Pada malam Isnin, sebuah kapal angkasa dihantar ke angkasa lepas dan mensasarkan asteroid yang dipanggil Dimorphos iaitu 6.5 juta batu (10.5 juta kilometer) dari Bumi.

    Kapal angkasa itu berjaya menghentam asteroid pada kelajuan 15,000 batu sejam (24,140 km sejam) dan kesan kosmik itu berjaya dirakam kamera khas dari probe angkasa Itali.

    “Ini adalah demonstrasi teknologi yang sangat sukar melibatkan asteroid kecil, kami tidak pernah lihat kejadian seperti itu sebelum ini, dan melakukannya dengan cara yang begitu hebat,” kata Chabot.

    NASA memaklumkan matlamatnya bukan untuk memusnahkan asteroid tetapi untuk melihat sama ada laluan asteroid mampu dipesongkan secara manual supaya tidak menghentam Bumi.

    Para saintis merekodkan data daripada kesan rakaman teleskop untuk melihat perbezaan dan kesan terhadap trajektori asteroid.

    Menurut NASA, setakat ini tiada asteroid yang diketahui lebih besar daripada 450 kaki (137 meter) mempunyai peluang besar menghentam Bumi dalam tempoh 100 tahun akan datang.- BERNAMA

  • Ribut solar melanda tengah malam ini, patutkah kita panik?

    Ribut solar melanda tengah malam ini, patutkah kita panik?

    RIBUT solar dijangka melanda bumi tengah malam ini dan mungkin menyebabkan berlaku masalah dalam sistem bekalan elektrik.

    Memetik laporan portal The Sun, ribut itu juga dijangka mencetuskan fenomena Cahaya Utara atau Aurora Borealis di hemisfera utara.

    Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Amerika Syarikat (NOAA) menjangka ribuat solar melanca bumi sekitar pukul 5 petang waktu UK (12 tengah malam waktu Malaysia).

    Fenomena tersebut boleh menjejaskan komunikasi dengan menganggu isyarat radio.

    Pada 1989, ribut solar yang kuat menyebabkan wilayah Quebec di Kanada mengalami gangguan bekalan elektrik selama sembilan jam.

    Medan magnet bumi mampu memberi perlindungan daripada kesan serius ribut berkenaan.

    Ketika ini, matahari pada peringkat permulaan kitaran 11 tahun yang lazimnya menyaksikan kerap berlaku letusan dan percikan.

    Fenomena ini dijangka memuncak sekitar 2025.

    NOAA dalam laman sesawangnya memberitahu, analisis meramalkan ribut solar mula berlaku petang ini (waktu AS) pada 11 Oktober, dengan kesannya sehingga 12 Oktober.

    Ribut itu dijangka berlaku pada skala sederhana namun boleh berpanjangan hingga keesokannya.

    Walau bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa panik kerana Jabatan Meteorologi UK menyatakan, fenomena itu hanya menyebabkan ribut geomagnetik berskala kecil dan sederhana.

    “Ribut kecil dijangka berterusan sehingga 12 Oktober sebelum angin kencang dari lubang korona melanda, mungkin melanjutkan tempoh aktiviti geomagnetik.

    “Aurora mungkin dapat disaksikan di sekitar Scotland, walaupun mungkin terhalang oleh awan tebal.

    “Aurora juga mungkin dapat dilihat di utara England dan kemungkinan besar di Ireland Utara malam ini,” kata jabatan itu.