Tag: bumbung

  • Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    Lebih 60 premis di Jertih, Hulu Besut rosak dilanda ribut

    LEBIH 60 premis termasuk kediaman dan kedai makan di sekitar Jertih dan Hulu Besut dekat sini, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian petang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu kebanyakan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, akibat diterbangkan angin kuat.

    Seorang pemilik kedai Wan Yuslina Wan Yusof, 48, berkata kejadian berlaku dalam keadaan hujan lebat ketika dia sedang mengemas warungnya, selepas menutup operasi.

    “Saya berada seorang diri di bahagian dapur kedai, tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung dapur sebelum ia terangkat diterbangkan angin, keadaan berlaku sangat pantas.

    “Saya keluar menyelamatkan diri dan kedai makan yang terletak bersebelahan turut mengalami nasib sama,” katanya yang menyewa premis Majlis Daerah Besut (MDB) di bandar ini, kepada Bernama hari ini.

    Sementara itu, menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut Mat Daik Mohamad, lebih 50 buah rumah di beberapa kampung di kawasan Hulu Besut mengalami kerosakan dalam kejadian sama.

    “Dua kampung yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah di Kampung Darau dan Lepan Kejor. Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bahagian bumbung, namun tidak ada kecederaan dilaporkan,” katanya.

    Mat Daik berkata lagi, pihaknya telah turun padang meninjau kerosakkan rumah dan kedai terlibat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan untuk membaiki kerosakan premis tersebut.

    Katanya, kejadian semalam adalah kali kedua dan yang terburuk berlaku di Hulu Besut pada tahun ini, selepas kali pertama kejadian pada Julai lalu menyebabkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan.- BERNAMA

  • Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    SEORANG pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pekerja terbabit maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Seorang pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kontraktor itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar.

    Katanya, mangsa telah ditemui oleh pekerja kilang tersebut dalam keadaan terlentang di aras satu bangunan kilang.

    “Mangsa didapati terjatuh dari bumbung akibat terpijak bumbung lutsinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang,” kata kenyataan itu hari ini.

    Sehubungan itu tambahnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan dikeluarkan pihaknya kepada majikan.

    Jelasnya, lokasi kejadian juga disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

    “Majikan juga diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera dan kes itu disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.