Tag: bukan Islam

  • Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    Ziarah rumah ibadat bukan Islam: Pas junjung kasih titah Sultan Selangor

    PAS Selangor menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kembali pernyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah ibadat bukan Islam bagi maksud mempelajari kepercayaan lain.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dengan penuh tanggungjawab dan prihatin Tuanku Sultan mengingatkan rakyat negeri itu bahawa demi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah-faham tambahan, telah sedia ada undang-undang yang melarang penyebaran agama dan kepercayaan lain dikalangan umat Islam.

    Katanya, maka keputusan larangan oleh MAIS itu sangatlah tepat dan wajar.

    “Justeru atas kebijaksanaan titah Tuanku itu, Pas Selangor mengambil kesempatan ini menyeru semua umat Islam Selangor agar akur dan taat pada larangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dua minggu lalu, MAIS berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

    MAIS bagaimanapun menjelaskan program mempelajari agama lain selain Islam di gereja atau rumah ibadat agama lain memerlukan kawalan dan sekatan tertentu.

    Ini tegas MAIS, supaya memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam, selain tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

    Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata, sikap toleran dan saling hormat-menghormati sangat penting dan Pas Selangor akan pastikan tiada mana-mana pihak menganggu ketenteraman sedia ada.

    Katanya, Pas akan sentiasa menekankan aspek ini dan dalam waktu yang sama memastikan agar larangan pihak MAIS ini dipatuhi semua pihak.

    “Keharmonian antara agama dan kehidupan rukun damai di kalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum sangat penting demi kestabilan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.

  • Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    Penjualan arak dibenar hanya di kawasan bukan Islam, kata Sanusi

    KEDAH mengawal penjualan arak dengan menghadkan penjualannya hanya di kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menurutnya, penjualan arak hanya boleh dilakukan di premis yang dibenarkan dengan populasi besar penduduk bukan Islam sahaja.

    “Orang bukan Islam diberi kebenaran untuk minum arak tetapi ia tidak boleh dijual secara terbuka di tempat-tempat lain seperti di kampung-kampung.

    “Kerajaan negeri komited menghadkan penjualan minuman keras serta memastikan penjualannya tidak melebihi keperluan,” katanya kepada Harakahdaily.

    Keputusan mengawal penjualan arak dibuat pada 14 Nov 2021 selaras dengan larangan kerajaan negeri terhadap operasi perjudian berlesen.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata, langkah kawalan penjualan itu bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan pada masa sama tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk minum arak.

    “Saya mahu orang ramai terkawal daripada perkara seumpama itu seperti mabuk.

    “Tapi sebaiknya tak payahlah minum walaupun tiada larangan kepada non Muslim kerana alkohol tetap tidak baik,” katanya lagi.

    Sanusi juga menjelaskan penjualan arak di pulau bebas cukai Langkawi bukan di bawah bidang kuasa kerajaan Kedah, sebaliknya tanggungjawab Kementerian Kewangan.

  • Lesen judi: DHPP Kedah sedia jelaskan kepada bukan Islam

    Lesen judi: DHPP Kedah sedia jelaskan kepada bukan Islam

    DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah bersedia memikul cabaran memberi penerangan kepada golongan bukan Islam tentang penamatan semua premis dan lesen judi di Kedah, berkuatkuasa 1 Januari lalu.

    Pengerusinya, K Kumaresan berkata, pihaknya seringkali berhadapan dengan masalah kerosakan institusi keluarga khususnya dari kaum India berpunca dari kegiatan judi.

    “Judi bukan sahaja haram di sisi agama Islam, malah agama lain juga melarang aktiviti judi yang jelas membawa kerosakan kepada yang terlibat dan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kumaresan yang juga Pegawai Khas Menteri Besar (hal ehwal kaum India) sehubungan itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan negeri atas tindakan yang baik itu.

    Menurutnya, walaupun keputusan berkenaan mendapat tekanan dan desakan dari pelbagai pihak, namun ia tetap dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

    “Judi hanya memberi keuntungan kepada tauke dan pemilik premis, sedangkan manfaat yang diperolehi oleh kaki judi sangat sedikit berbanding kerosakan serta kemudaratan yang lebih besar,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, beliau juga mengharap kerajaan negeri tidak terlepas pandang dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menjalankan aktiviti perjudian secara haram dengan berselindung di sebalik premis lain.

    “Kedai-kedai judi haram yang operasinya berselindung disebalik perniagaan lain akan tumbuh seperti cendawan ekoran penutupan premis terbabit,” katanya, lapor Harakahdaily.

  • RM1 juta bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL

    RM1 juta bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL

    Oleh: Bernama

    KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyediakan bantuan kewangan RM1 juta bagi membantu menguruskan mayat warga tempatan selain Islam di Pusat Sehenti Sementara Hospital Kuala Lumpur (PUSARA HKL).

    KPN berkata RM500,000 disediakan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat selain Islam kaum India manakala RM500,000 lagi di bawah Program Pembangunan Kampung Baru bagi pengurusan mayat selain Islam, kaum Cina.

    “Bantuan kewangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan waris B40,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    KPN berkata keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat, khususnya dari kalangan B40 dan kekurangan sumber manusia untuk menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris adalah antara punca kelewatan pengurusan mayat di PUSARA HKL.

    Ini susulan tinjauan dan maklum balas yang diterima ketika Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turun padang untuk melihat sendiri situasi di PUSARA HKL pada Khamis lepas.

    Katanya bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas berhubung proses pengurusan mayat di PUSARA HKL, KPN telah mengadakan mesyuarat dengan Pusat Krematorium swasta, Persatuan Perkuburan Cina dan India serta pengendali perkhidmatan pengurusan mayat.

    KPN juga menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO), melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak PUSARA HKL.

    “Datuk Halimah berharap melalui insiatif yang diambil oleh KPN MSDVI dan PRIVO ini akan dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat,” katanya.- BERNAMA