Tag: buka kertas siasatan

  • Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    PASUKAN petugas khas yang ditubuhkan oleh PDRM untuk menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) membuka tujuh kertas siasatan sejak penubuhannya pada 22 Mac lalu.

    Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, setakat ini dua suspek ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang suspek masih dikesan.

    “Daripada tujuh kertas siasatan, tiga telah dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

    Katanya, pengguna juga disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara.

    “Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurut Noorsiah, pasukan petugas khas itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, di mana siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

    Tambahnya, objektif task force adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh tujuh hari.

    Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha untuk menghasut sentimen perkauman atau agama di negara ini.

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.