Tag: bubar

  • DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    DUN Terengganu dijangka bubar sebelum 1 Julai

    PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) dijangka dilakukan sebelum 1 Julai nanti.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana pihaknya berpendapat pentadbiran DUN Terengganu perlu dikekalkan sehingga tempoh penggal berakhir pada 30 Jun.

    “Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2022 & Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad.

    Mengulas mengenai keputusan mengadakan PRN serentak melibatkan enam negeri yang belum membubarkan DUN, beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan bagi memudahkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurut Ahmad Samsuri, beliau sudah bertemu dengan salah seorang menteri besar di Kuala Lumpur pada Sabtu dan bersetuju supaya pemimpin enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal itu.

    “Kebetulan kami semua ada di Kuala Lumpur sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja yang akan bermula Isnin hingga Khamis, jadi kami akan cuba celah mana-mana waktu sesuai.

    “Pembubaran daripada negeri-negeri boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah mesyuarat SPR untuk menentukan tarikh yang paling sesuai PRN,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan perbincangan mengenai agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu terpaksa ditangguhkan.

    Bagaimanapun katanya, beliau telah bertemu dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbincang tentang prinsip dan dasar rundingan agihan kerusi.

    “Team Perikatan Nasional akan berjumpa dalam tempoh terdekat, kita jangka kira-kira dua minggu akan datang,” tambahnya, , lapor BeritaBersatu.

  • Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN – Hadi

    Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN – Hadi

    PAS akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tiga negeri di bawah pimpinan parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Abdul Hadi berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan. 

    Katanya terpulang kepada tiga negeri lain di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sama ada akan mengikut tarikh yang ditetapkan itu nanti.

    “Kita akan ada keputusan tersendiri, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Gelombang Rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Kenduri Rakyat di Ladang Alam Warisan, Kampung Tanah Datar, Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata DUN negeri ini dijangka dibubarkan pada Mei ini, dan beliau bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sedia berbincang dengan tiga Menteri Besar di bawah pimpinan PAS mengenai perkara itu. – BERNAMA

  • Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    Terengganu terbuka bincang adakan PRN serentak dengan negeri lain

    KERAJAAN Terengganu terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak dengan negeri-negeri lain, agar dapat menjimatkan kos pelaksanaannya, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Beliau berkata setakat ini masih belum ada perbincangan rasmi dijalankan antara enam negeri terlibat termasuk Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain hanya perbincangan secara kasual (bersahaja).

    “Perbincangan rasmi kita akan cuba cari ruang dan waktu untuk samakan (tarikh) pembubaran itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

    Pada masa ini Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditabir kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui PAS.

    Enam negeri tersebut tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November lepas.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan untuk pembubaran DUN Terengganu, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan apabila tiba masa dan waktu yang sesuai.

    “Belum tahu lagi (pembubaran DUN)… sebelum berakhir tempoh kita akan bubar,” katanya. – BERNAMA

  • Cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama dalam MT UMNO

    Cadangan bubar Parlimen diputuskan bersama dalam MT UMNO

    CADANGAN UMNO untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan pada tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam.

    “Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai Setiausaha Agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata Perdana Menteri kepada pemberita.

    Beliau ditemui selepas Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.

    Semalam, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat MT UMNO berkata MT UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

    Ismail Sabri berkata isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.

    “Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.

    Ditanya sama ada beliau ada meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata: “Kita dari segi UMNO, ada Top 5, ada Biro Politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat…kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya. – BERNAMA