Tag: BPR

  • Penerima BPR terima bayaran mulai hari ini.

    Penerima BPR terima bayaran mulai hari ini.

    PEMBAYARAN Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR, akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula hari ini.

    Pembayaran secara berperingkat itu dijangka selesai pada 30 September ini, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan, membabitkan peruntukan RM2.82 bilion.

    Bagi Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh hingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR pula hingga RM2,300, termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai hingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah serta bilangan anak.

    Pembayaran Fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diperoleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban.

    Sebarang pertanyaan boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi BPR, iaitu https://bpr.hasil.gov.my, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

  • Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Semakan status rayuan BPR mulai esok – Tengku Zafrul

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMAKAN status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat mulai esok, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Menurutnya, proses tersebut membabitkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

    Jelasnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung bulan ini bersama dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

    “Kerajaan sudah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

    “Permohonan rayuan ini diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zafrul berkata, kerajaan berharap bantuan tunai yang keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini, boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka.

    Selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR, beliau berkata, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyertai Program Jaringan Prihatin.

    Katanya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program terbabit akan dilanjutkan sehingga 30 September ini dan ia bertepatan dengan situasi semasa serta memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar serta menebus telefon telefon di kedai secara fizikal.

    “Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi atau pakej peranti mudah alih.

    “Sokongan ini diharapkan dapat menjamin pembelajaran yang lebih lancar dan kondusif,” katanya.