Tag: bot terbalik

  • Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Empat pemancing terselamat selepas bot terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    EMPAT pemancing warga tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Pulau Tengah, Mersing, semalam.

    Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan daripada pengurus resort memaklumkan terdapat empat pemancing warga tempatan terkandas di pulau itu kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

    Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sejurus menerima maklumat itu, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya.

    “Semasa bot mereka terbalik, semua mangsa memakai jaket keselamatan. Mereka berenang ke persisir pantai yang berada tidak jauh dari bot terbalik ke kawasan resort sebelum dibantu beberapa pelancong lain yang berada di situ.

    “Mangsa, Faizal Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 yang semuanya berasal dari Mersing ditemui selamat serta tiada kecedaraan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, semua mangsa seterusnya dibawa ke jeti maritim di Teluk Gading dekat sini untuk pemeriksaan kesihatan.

    Beliau mengingatkan masyarakat maritim supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

    Katanya, tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon (PLB) bagi memudahkan pihak maritim mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

    Sebarang kecemasan dan aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

  • Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    Lelaki hilang selepas bot terbalik di Kuala Selangor

    SEORANG lelaki warganegara Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dilambung ombak kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada Rabu lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu semalam, menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikenali sebagai Sutri, 21.

    “Mangsa bersama tekong dan seorang lagi kru bot jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki dilambung ombak sebelum terbalik di lokasi kejadian, tekong dan kru bot tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa masih gagal ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Rosli berkata operasi bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru disambung pada 7 pagi tadi membabitkan bot Maritim Pengawal 26 dan aset udara Maritim dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    “Operasi hari ini meliputi keluasan 143.4 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Kuala Selangor. Cuaca di lokasi cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Carilamat di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor.

    Pihak Maritim Malaysia juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi  24 jam. – Bernama

  • 4 jam berpaut pada bot terbalik sebelum diselamatkan

    4 jam berpaut pada bot terbalik sebelum diselamatkan

    DUA nelayan berdepan detik cemas selepas terpaksa berpaut pada bot mereka yang terbalik hampir empat jam di Pulau Kendi sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.

    Mangsa, S. Manimaran, 50, dan Azhar Azizi Halim, 30, bernasib baik apabila mereka ditemui dan diselamatkan Kapal Maritim (KM) Kimanis yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng/Op Pertiwi kira-kira pukul 7 malam semalam.

    Menurut Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed, dua nelayan berkenaan ditemui sedang berpaut pada bot yang terbalik dan meminta bantuan pada kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika tenggara Pulau Kendi.

    Menurut beliau, bot yang berpangkalan di Tanjung Piandang, Perak itu mengalami kebocoran semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

    “Nelayan berkenaan gagal mengepam keluar air yang memasuki bot seterusnya menyebabkan bot mereka terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Maritim Malaysia Pulau Pinang menyelamatkan dua nelayan yang ditemui berpaut pada bot mereka yang karam dalam kejadian di Pulau Kendi pukul 7 malam semalam.

    Menurut beliau, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang.

    Jelasnya, mangsa dibawa pulang ke Tanjung Piandang oleh pemilik bot yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan keadaan semasa mereka.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.