Tag: bot nelayan asing

  • Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing Indonesia ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah  bot nelayan Indonesia bersama empat kru pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi, pukul 1.10 tengah hari kelmarin.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan Kapal Maritim (KM) SIKUATI sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara semasa rondaan rutin Op Tanjung. 

    Menurut beliau, ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong kesemua lelaki berumur sekitar 27 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Kesemua mereka ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu tambah beliau, KM SIKUATI turut mengusir tiga bot nelayan asing Indonesia pada awal pagi kelmarin sekitar pukul 7 hingga 8 pagi yang dikesan berada di kawasan “Unresolved Maritime Boundary” iaitu kira-kira 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

    Jelasnya, bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.  

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di sempadan perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • 40 bot nelayan asing jadi tukun tiruan di Terengganu

    40 bot nelayan asing jadi tukun tiruan di Terengganu

    AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu akan menenggelamkan sebanyak 40 buah bot di sepanjang perairan negeri itu untuk dijadikan tukun tiruan.

    Langkah itu dibuat selepas mendapat pelucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini.

    Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli, penenggelaman bot nelayan asing sebagai tukun tiruan merupakan inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin.

    Beliau berkata, ia juga simbol kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

    “Sejak 2010 sehingga kini sebanyak 144 bot nelayan asing yang dilucut hak telah dilupuskan dengan dijadikan tukun tiruan.

    “Pelupusan itu melibatkan anggaran jumlah rampasan RM216 juta dengan majoritinya adalah bot Vietnam,” katanya sebagaimana lapor Astro Awani.

    Muhammad Suffi memberitahu, jumlah bot ditenggelamkan itu termasuk 17 buah bot yang telah dilupuskan tahun ini dengan cara sama dan musnah hancur di sekitar Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Bidong.

    Justeru, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

    Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999.