Tag: bot nelayan

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang lupus bot, peralatan nelayan bernilai RM192,000

    Maritim Malaysia Pulau Pinang lupus bot, peralatan nelayan bernilai RM192,000

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang hari ini melupuskan bot nelayan asing dan tempatan serta peralatan menangkap ikan bernilai RM192,000 setelah mendapat keputusan lucut hak oleh mahkamah di Limbongan Batu Maung, Pulau Pinang.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pelupusan yang dilakukan melalui kaedah hancur musnah itu melibatkan sebanyak lima buah bot nelayan asing Indonesia; sebuah bot fiber nelayan tempatan; 492 set bubu naga dan dua unit pukat lohong hasil tangkapan yang dilakukan sepanjang tahun lalu.

    Jelas beliau, kes pelupusan lucut hak itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 seperti tiada permit menangkap ikan di perairan Malaysia terutama bot nelayan asing Indonesia; penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga dan pukat lohong serta bot tempatan yang tidak memiliki nombor pendaftaran.

    “Pelupusan secara lupus musnah itu adalah mesej jelas oleh Maritim Negeri Pulau Pinang yang tegas dalam melaksanakan undang-undang dalam memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi.
    “Selain itu, ia juga menunjukkan kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di dalam perairan negara demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mengulas lanjut tambah Abd. Razak, sepanjang tahun ini setakat November lalu, sebanyak 4,379 pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan oleh pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang.

    Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 76 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan atas pelbagai akta manakala 10 kes pengusiran dibuat melibatkan bot nelayan asing Indonesia.

    Sementara itu, ditanya mengenai kekerapan pencerobohan nelayan asing di perairan negara, Abd. Razak berkata, faktor hasil laut yang banyak di perairan negara menjadi antara faktor nelayan warga asing berkenaan mengambil risiko menangkap ikan sehingga menceroboh perairan negara.

    Tambah beliau, pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim antarabangsa seperti Australian Border Force khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan barang kawalan, kontraban atau dadah serta penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.

    “Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut dengan segera menghubungi talian hotine Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Maritim Malaysia tahan 17 nelayan Vietnam guna bot nelayan tempatan tanpa lesen

    Maritim Malaysia tahan 17 nelayan Vietnam guna bot nelayan tempatan tanpa lesen

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 17 kru termasuk seorang tekong nelayan warga Vietnam di perairan Kelantan kerana menggunakan bot nelayan tempatan tanpa lesen yang sah, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar kedudukan 48 batu nautika dari Muara Tok Bali pada 10.29 pagi.

    “Mereka diarah berhenti untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua nelayan itu merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 25 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata berikutan itu, mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan Tok Bali untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti perikanan.

     “Mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

    Syed Nor Adli berkata bagi kesalahan itu mahkamah juga boleh melucutkan hak bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan kepada kerajaan Malaysia.

    Beliau berkata verifikasi awal status bot melalui data Jabatan Perikanan mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh sejak 2019 dan berstatus tidak aktif.

    Katanya, nilai rampasan termasuk bot dan 300 kilogram (kg) ikan, 200 kg sotong kering, 4,000 liter bekalan minyak diesel dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM1 juta. – BERNAMA