SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. – BERNAMA
KESERONOKAN tujuh pelajar sebuah universiti swasta bermandi-manda di Sungai Chiling Peretak, Kuala Kubu Baharu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, tengah hari tadi.
Mangsa ialah Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan masing-masing berusia 21 tahun dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba 21 minit kemudian dan mendapati mangsa pertama telah dibawa naik oleh orang awam dan pihak bomba memberi bantuan pertolongan cemas.
“Mangsa kedua dijumpai oleh anggota bomba yang melakukan pencarian di kawasan kejadian pada pukul 12.45 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.
SEORANG penjaga Rumah Persatuan Orang Cacat Johor Bahru melecur di bahagian badan susulan kebakaran di rumah tersebut di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin, di Johor Bahru pagi tadi.
Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata lelaki berusia 64 tahun itu melecur 30 peratus badannya dalam kejadian pada 7.53 pagi.
Beliau berkata ketika kejadian hanya terdapat empat lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan berusia 60 hingga 70-an di rumah itu dan kesemuanya terselamat hasil bantuan orang awam.
“Operasi pemadaman dilakukan sebaik Pasukan Keluaran Operasi tiba dan rumah jenis separuh kekal itu terbakar 65 peratus.
“Seorang penjaga melecur 30 peratus di anggota badan, manakala empat OKU cacat penglihatan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata penjaga terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA
PASUKAN bomba berdepan cabaran paling sukar dalam misi mencari mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong yang akhirnya berjaya ditemui, semalam.
Hafisham Mohd Noor
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor semasa mengakui perkara itu berkata, walaupun keletihan, namun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedaya upaya bertahan supaya mangsa dapat ditemui.
Beliau berkata, lokasi mayat mangsa ditemui itu sudah kerap dibuat pencarian dan anggota SAR juga selalu berulang alik di situ, namun usaha mereka tidak berjaya sehinggalah semalam.
“Ini adalah misi paling sukar namun kami tetap teruskan. Daripada semalam (kelmarin), kita tidak mendapat perkhabaran langsung berkenaan mangsa terakhir ini.
“Sebenarnya kita pun berada dalam keadaan yang gelisah dan ada rasa sudah putus asa sebenarnya.
“Cuma kita bersyukur, tawakal kepada Allah dan juga sahabat kita yang mendoakan usaha kita ini, mungkin makbul doa mereka, maka kita dapat jumpa mangsa pada hari ini (semalam).
“Sedangkan tempat itu sudah dilalui berulang kali oleh pasukan SAR, mereka sudah acap kali lalu di situ tetapi tak pernah jumpa (mangsa) mungkin sebenarnya pada hari ini (semalam), nak ditunjukkan, kita berjumpa dengan mayat mangsa yang terakhir ini,” katanya pada sidang media di lokasi, malam tadi.
Hafisham berkata, ada perkara yang tidak dapat dijelaskan secara mata kasar mengenai kesulitan dihadapi pasukan SAR ketika melakukan pencarian mangsa.
“Yang sukar ini, mungkin mangsa terlindung, mungkin kita tidak sedar, ada satu perkara yang kita tidak dapat jelaskan .. sebab bukan kita tidak guna Unit K9 (anjing pengesan) itu pun tidak berjaya sedangkan mereka ada deria bau lebih baik daripada kita,” katanya.
Hafisham berkata, 80 peratus penggalian sudah dibuat di semua sektor A, B, C dan D selepas sembilan hari bertungkus lumus melakukan pencarian.
Katanya, keputusan bagi pencarian difokuskan di Sektor A adalah hasil maklumat yang dikongsi antara agensi yang terbabit dalam operasi itu.
“Kita dapat maklumat yang kanak-kanak ini (datang) bersama-sama ayah dan kakak. Mayat ayah dan kakaknya sudah kita temui pada hari pertama (Jumaat) di Sektor A.
“Justeru mangsa juga mungkin berada di situ, tak mungkin dia berada di khemah lain, atau di sektor lain.. itulah yang meyakinkan kita bahawa dia berada di situ (Sektor A)
“Tetapi sekiranya kita tidak jumpa dia di Sektor A, kita sebenarnya sudah putus asa, tak tahu ke mana lagi kita nak mencari,” katanya.
Mengulas hari pertama kejadian itu, Hafisham mengakui beliau terkejut apabila pada awalnya dimaklumkan terdapat kira-kira 100 mangsa terbabit dalam insiden itu.
“Apa yang mengejutkan kita pada waktu itu adalah disebabkan terlalu ramai mangsa yang pada mulanya dikatakan dianggarkan kira-kira 100 orang.
“Apabila saya dengar 100 mangsa ini, ia menyeramkan dan menakutkan.. sebab jumlah (mangsa) yang banyak. Malaysia akan terkejut dengan jumlah mangsa yang ramai,” katanya.
Katanya, sebaik pasukan bomba menerima aduan kejadian itu pada jam 2.24 pagi, pasukan pertama memberi respons bantuan adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Ketua Zon 6 JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Ahmadi Muhamad Hasan yang tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 pagi.
“Mereka terus berada di sini sejurus menerima laporan untuk operasi SAR dan alhamdulillah kita dapat menyelamatkan 61 mangsa yang cedera dan terselamat.
“Maka tinggallah baki mangsa yang masih hilang sehinggalah jumlah sebenar mangsa dirumuskan kepada 31 orang daripada 92 keseluruhan mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.
Semalam, mayat mangsa ke-31 dan terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah pada jam 4.53 petang oleh pasukan SAR.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).
Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.
MAYAT mangsa terakhir insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada pukul 4.53 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).
Beliau berkata mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.
Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok,” katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan.
Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side).
Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.
Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang. – BERNAMA
JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengerakkan dua helikopter miliknya ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir di Pantai Timur, kata Pengarah Bahagian Operasi jabatan itu Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata unit udara dikerahkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah untuk ke kawasan yang terjejas akibat banjir seperti di Gua Musang, Kelantan yang terputus hubungan sejak empat hari lepas.
“Unit udara akan digerakkan ke kawasan tersebut bagi menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang berada di lokasi,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia di TV1 hari ini.
Nor Hisham berkata bantuan seperti penggunaan lori muatan besar seberat 10 hingga 20 tan digunakan secara praktikal di kawasan-kawasan bandar dalam menggerakkan mangsa banjir.
Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan daripada berada di kawasan peranginan di negeri-negeri yang sedang menghadapi banjir.
“Kami tidak mahu insiden seperti kepala air berlaku di kawasan peranginan dan mohon agar orang ramai tangguh percutian mereka ke negeri-negeri terjejas banjir,” katanya.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi dan memantau anak-anak mereka yang berada di kawasan banjir bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. – BERNAMA
SEKURANG-kurangnya 22 orang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di Hulu Selangor, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi satu kenyataan berkata, setakat 11.41 pagi, sebanyak 12 orang disahkan meninggal dunia manakala 1 lagi cedera dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.
“Keseluruhan mangsa terlibat dikenalpasti ialah 94 orang. Sebanyak 59 orang terselamat, 12 orang disahkan meninggal dunia, 1 cedera dan 22 orang masih hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang masih giat dijalankan,” katanya.
Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu disertai pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BP Rawang, BBP Genting, BBP Selayang, BBP Shah Alam, BBP Damansara, BBP KLIA, BBP Petaling Jaya, BBP Pandan, BBP Ampang, BBP Kajang dan BBP Andalas.
Operasi turut disertai Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Pahang, STORM Putrajaya, STORM N. Sembilan, STORM Perak, STORM Kuala Lumpur.
TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.
Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.
“Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus.
“Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA
BOMBA mengambil masa lebih sejam untuk membawa naik mayat seorang wanita yang tersangkut pada belebas tiang tingkat 20 sebuah kondominium dekat Damansara Perdana, Petaling Jaya, hari ini.
Mangsa berusia 40 tahun sebelum itu dipercayai terjatuh dari tingkat 28 bangunan kediaman berkenaan.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara digerakkan ke lokasi.
“Anggota bomba yang tiba di lokasi pada jam 9.25 pagi kemudian menggunakan teknik penyelamatan dengan tali untuk menaikkan mangsa.
“Mangsa yang dilihat tidak sedarkan diri akhirnya berjaya dibawa masuk ke dalam bangunan melalui tingkap di tingkat 20 sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Norazam berkata, tugas penyelamatan selesai sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.
SEBUAH feri penumpang yang sedang dibaiki di limbungan kapal dekat Bukit Malut, Langkawi terbakar petang tadi.
Menurut Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bilik enjin feri tersebut yang diletakkan di atas tanjakan kerana sedang dibaiki.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan air dan buih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi serta satu jentera dari BBP Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian.
Fadzullah menambah, pada peringkat awal sebanyak 11 tong buih digunakan sebelum jumlahnya ditambah sebanyak 12 tong lagi.
“Kebakaran akhirnya dapat dikawal pada pukul 6.46 petang dan proses pemadaman api masih giat dijalankan,” katanya.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.