Tag: BNS

  • Dua subkontraktor LCS saman Boustead

    Dua subkontraktor LCS saman Boustead

    DUA subkontraktor yang terbabit dalam projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) bertindak memfailkan saman terhadap Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Memetik laporan Berita Harian, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, BHIC berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 September oleh syarikat 51 peratus miliknya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) .

    Saman itu menamakan pengarah nominee BNS, BHIC, BHIC Defence Technologies Sdn Bhd (BHICDT) dan BHICDT, Salihin Abang dan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman.

    Di bawah writ saman dan pernyataan tuntutan (WCCS), CAD dan CED mendakwa bahawa keputusan BNS untuk menarik balik 12 surat anugerah (LoA) untuk projek LCS adalah tidak sah.

    Syarikat berkenaan telah dipertanggungjawabkan untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asli (OEM) untuk frigat tentera laut.

    LoA dilaporkan telah dibatalkan oleh BNS pada bulan lalu berikutan dakwaan salah laku dan urus niaga palsu.

    CAD menuntut RM880,068.21, 39.87 juta euro, 3.78 juta pound British dan 55.94 juta kronor Sweden dalam dakwaan jumlah tertunggak daripada BNS, manakala CED menuntut RM216 juta.

    BHIC menguasai 27.77 peratus kepentingan dalam BNS, kontraktor Kementerian Pertahanan, untuk membina enam frigat di bawah program LCS.

    Penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendedahkan percanggahan dan kelewatan dalam projek pembinaan LCS bernilai RM9 bilion sejak 2017.

    Kontrak itu telah diberikan kepada BNS melalui rundingan terus, dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, tetapi tidak satu pun LCS telah diserahkan setakat ini.

    Menurut laporan yang didedahkan oleh jawatankuasa penyiasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, kos untuk menyiapkan enam LCS mungkin meningkat kepada RM11.145 bilion.

  • Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

    Bekas pengarah urusan BNS didakwa pecah amanah RM21.08 juta

    BEKAS pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussain.

    Sebelum itu, Ahmad Ramli yang memakai kot hitam dan berkemeja putih tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

    Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

    BNS ditugaskan untuk membina enam kapal tentera laut dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah.

    Projek itu di bawah penelitian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berhubung kos dan kelewatan pembinaan.

    Kapal pertama yang dilancarkan pada 2017 dijadualkan untuk penghantaran pada 2019, dengan selebihnya dihantar selang enam bulan. Tetapi, tiada sebuah pun disiapkan sehingga kini.

  • Isu LCS: Bekas pegawai tertinggi tentera dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen esok

    Isu LCS: Bekas pegawai tertinggi tentera dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen esok

    SEORANG bekas pegawai kanan di syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes kontroversi itu, esok.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, individu itu akan didakwa dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Sementara itu Harian Metro melaporkan, individu yang akan didakwa itu adalah seorang bekas pegawai tertinggi tentera manakala BERNAMA memetik yang memaklumkan lelaki berusia hampir 80 tahun itu akan didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi

    Jemputan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia lewat petang ini turut memaklumkan mengenai pertuduhan terhadap lelaki itu esok. 

    Kes itu menjadi perhatian umum selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati lima kapal yang ditempah pada 2013 gagal disiapkan sehingga sekarang walaupun RM6 bilion sudah dibayar.

    Jemaah menteri kemudian mengarahkan supaya siasatan mengenainya disegerakan manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan membuat keputusan secepat mungkin berhubung kes perolehan LCS, membabitkan peruntukan RM9.128 bilion.

    AGC akan buat keputusan `ASAP’ (secepat mungkin), please bear with us (minta bersabar),” kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi BH.

    Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

    Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

    “Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.

    Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

    Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya sebelum ini menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

  • BNS tegaskan LCS bukan replika, tetapi kapal sebenar

    BNS tegaskan LCS bukan replika, tetapi kapal sebenar

    KETUA Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Ir Azhar Jumaat menegaskan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sedang dibina bukan halimun atau replika sebaliknya adalah kapal sebenar.

    “Bukan kapal halimun (tetapi) kapal (dibina menggunakan) metal (logam) sebenar bukan daripada kayu. Ini bukan replika ini, ini kapal sebenar,” tegas beliau.

    Azhar berkata, pihaknya tidak akan mengelirukan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus menyifatkan dakwaan yang dilontarkan berhubung pembinaan kapal itu tidak benar.

    Menurutnya, setakatnya ini pihaknya sudah membina lima daripada enam kapal LCS yang dilakukan di Lumut Shipyard dalam pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di Lumut.

    “Ramai buat dakwaan (kapal LCS adalah) halimun, kapal dibuat daripada kayu malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikelirukan. Semua dakwaan ini tidak benar.

    “Buat apa kami nak mengelirukan sultan kami. Anda boleh lihat lima kapal LCS ini sedang dibangunkan dan ini adalah apa yang dilakukan dengan lebih RM6 bilion yang kami terima,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan lawatan media ke limbungan kapal Boustead Naval Shipyard di pangkalan TLDM, hari ini.

    Pembinaan LCS disifatkan sebagai ‘halimun’ oleh netizen berhubung skandal perolehan kapal berkenaan.

    Mengulas lanjut, Azhar berkata, pembinaan lima kapal LCS berkenaan juga mencapai proses memberangsangkan.

    Bagaimanapun katanya, untuk jangkaan masa semua kapal berkenaan dapat disiapkan beliau tidak dapat mengulas lanjut dan akan dimaklumkan oleh kerajaan.

    “Setakat ini lima kapal LCS dalam pembinaan iaitu 60 peratus untuk kapal pertama diikuti 48 peratus (kapal kedua), 43 peratus (kapal ketiga), 36 peratus (kapal keempat) dan 22 peratus bagi kapal kelima,” katanya.

    Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

    Sebelum ini juga, Harian Metro melaporkan, pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak kapal LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dilaporkan berkata, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM9 bilion dengan kemajuan pembinaan lima kapal ketika ini adalah 55 peratus.