Tag: BNM

  • Najib terima RM2.28 bilion hasil 1MDB sejak 2011 – Penganalisis BNM

    Najib terima RM2.28 bilion hasil 1MDB sejak 2011 – Penganalisis BNM

    SEORANG penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima RM2.3 bilion hasil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam empat fasa dari 2011 hingga 2014 melalui dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank Berhad.

    Adam Ariff Mohd Roslan, 34, berkata menurut analisisnya, jejak wang dana tersebut yang diterima oleh dua akaun bank peribadi (berakhir dengan nombor 694 dan 880) boleh dikesan dan dibahagikan kepada empat fasa iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore dan fasa beli balik opsyen antara 2011 dan 2014.

    “Bagi fasa Good Star antara 23 Feb 2011 dan 14 Jun 2011, sejumlah RM60,629,839.43 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 AmPrivate Banking – MR Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di Riyad Bank, Arab Saudi, boleh dikesan kepada terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiketnya pada 2010.

    “Untuk fasa Aabar-BVI antara 30 Okt 2012 dan 20 Nov 2012, sebanyak RM90,899,927.28 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Standard Chartered Bank, Singapura, atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd pada 2012,” kata penganalisis itu, yang dipinjamkan ke pasukan petugas 1MDB Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

    Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Saksi itu berkata bagi fasa Tanore antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013, sejumlah RM2,081,476,926.00 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura, yang atas nama Tanore Finance Corp, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Ltd pada 2013.

    Selain itu, Adam Ariff turut menjelaskan bahawa bagi fasa beli balik opsyen pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500.00 daripada hasil dikreditkan ke dalam akaun 880 AmPrivate Banking – 1MY Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di DBS Bank, Singapura, atas nama Blackrock Commodities (Global) Ltd, boleh dikesan kepada hasil pinjaman US$250 juta 1MDB Energy Holdings Ltd pada 2014.

    “Semasa fasa beli balik opsyen antara 23 Okt 2014 dan 19 Dis 2014, sejumlah RM45,837,485.70 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 880 Najib daripada akaun di Bank Amicorp, Barbados, atas nama Vista Equity International Partners Limited, didapati sebahagiannya boleh dikesan kepada hasil pinjaman US$975 juta 1MDB Energy Holdings Ltd pada 2014,” katanya.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • BNM arah bank beralih daripada sistem OTP

    BNM arah bank beralih daripada sistem OTP

    INSTITUSI kewangan diarah beralih daripada sistem SMS “one time password” (OTP) kepada sistem lebih selamat untuk pengesahan transaksi dalam talian, sebahagian usaha menangani penipuan dalam talian.

    Lapor Free Malaysia Today, gesaan itu antara langkah diumumkan Bank Negara (BNM) untuk meningkatkan keselamatan terhadap penipuan kewangan, ekoran peningkatan jenayah siber di Malaysia dan seluruh dunia.

    “Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan BNM memandang serius, lebih-lebih lagi kes ini membabitkan penipuan kewangan,” kata Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini.

    Shamsiah berkata, beberapa bank utama mula bertukar daripada sistem OTP untuk aktiviti dalam talian dan transaksi membabitkan pembukaan akaun, pemindahan dana, pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

    “Kedua, institusi kewangan akan terus memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan segera menyekat transaksi yang disyaki ada unsur penipuan. Pelanggan akan segera dimaklumkan sekiranya ada aktiviti seperti itu melibatkan akaun mereka.

    “Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan akan menyekat transaksi seperti itu dan pelanggan akan diminta mengesahkan ketulenan transaksi berkenaan terlebih dahulu sebelum disekat,” katanya.

    Langkah lain termasuk tempoh bertenang untuk pendaftaran baru perkhidmatan perbankan atau pertukaran peranti baharu, di mana tiada aktiviti perbankan dalam talian dibenarkan.

    Pelanggan juga dihadkan kepada hanya satu telefon atau peranti untuk pengesahan transaksi dalam talian.

    Institusi kewangan juga perlu mewujudkan satu talian “hotline” untuk pelanggan melaporkan penipuan kewangan.

    “Institusi kewangan diarahkan untuk lebih responsif terhadap laporan penipuan yang dibuat pelanggan.

    “Mereka juga diarahkan untuk membantu usaha mendapatkan kembali dan melindungi dana yang dicuri termasuk bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengelak lebih banyak kerugian,” katanya.

  • Sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin – BNM

    Sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin – BNM

    BANK Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sistem pembayaran bank kekal selamat dan terjamin, selepas pelanggaran keselamatan siber yang dialami penyedia pembayaran dalam talian, iPay88.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bank pusat itu berkata, pelanggaran tersebut berpunca dan terbatas kepada sistem pembayaran kad ipay88 serta tidak melibatkan kelemahan sistem institusi perbankan.

    BNM menegaskan bank di Malaysia mengamalkan kaedah pengesahan mantap bagi transaksi kad dalam talian, termasuk segera memaklumkan pemegang kad untuk pengesahan lanjut, jika terdapat transaksi yang dianggap “lebih berisiko”.

    “Ini mengurangkan risiko berlakunya penipuan transaksi. Bagi transaksi tidak menggunakan pengesahan, khususnya pembelian daripada peniaga di luar negara, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran yang mungkin terjadi susulan insiden ini.

    “BNM telah mengarahkan bank-bank untuk segera memaklumkan pemegang kad terlibat mengenai langkah perlindungan tambahan yang akan diambil untuk terus melindungi pengguna daripada risiko penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran.

    “Bank-bank juga telah mempertingkatkan pengurusan risiko penipuan serta memantau aktiviti mencurigakan atau penipuan menggunakan kad-kad terlibat,” katanya.

    BNM berkata, ia memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan sewajarnya bagi memastikan kawalan keselamatan kukuh dilaksanakan dan diamalkan bank.

    Katanya, siasatan forensik sedang dijalankan ke atas pelanggaran data melibatkan iPay88.

    Ia menasihatkan pelanggan segera memaklumkan kepada bank, jika terdapat transaksi luar daripada kebiasaan atau tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

    Semalam, iPay88 mengesahkan ia mengalami pelanggaran keselamatan siber lebih dua bulan lalu yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.

    Firma e-dagang itu berkata, siasatan dimulakan sejak 31 Mei lalu dan sedang dijalankan dengan bantuan pakar keselamatan siber untuk membendung isu itu, tetapi “tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai”.

    Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan siasatan berhubung pelanggaran keselamatan siber itu.

  • Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua tahun ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BANK Negara Malaysia (BNM) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

    Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, perkembangan itu disokong terutamanya permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

    Menurutnya, pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun 2020.

    “Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua, namun kemudian menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa satu.

    Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.

    Daripada segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.

    Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama tahun ini, terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.