Tag: BN

  • Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    Calon PRU-15 didakwa hadir program tawar cabutan bertuah

    POLIS menerima laporan mengenai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa berceramah dalam program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, laporan polis itu dibuat wakil parti politik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, kira-kira pukul 10 pagi.

    “Sehubungan itu kita merujuk kes tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya lapor Berita Harian hari ini.

    Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mendakwa kempen calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen berkenaan, Chua Jian Boon, terlalu mewah.

    Katanya, menerusi ceramah mega dan perjumpaan dengan masyarakat India di kawasan tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kulai, malam tadi membabitkan lebih 100 hadiah disediakan.

    Nie Ching berkata, program yang dihadiri Jian Boon itu bersifat sebagai membeli undi.

    “Pada program itu, lebih 10 artis dijemput dan melakukan persembahan, malah sebanyak 100 hadiah juga telah disediakan untuk acara cabutan bertuah termasuk rantai emas untuk lelaki dan wanita.

    “Selain itu, terdapat juga hadiah seunit rantai tangan emas, seunit anting-anting dan 10 unit emas hidung Mukkutti.

    “Hadiah lain ialah lima unit telefon pintar, 10 unit periuk nasi dan pelbagai lagi perkakasan elektrik serta hamper,” katanya.

    Sementara itu, Jian Boon ketika dihubungi BERNAMA, membidas dakwaan Nie Ching itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan majlis itu bukan dianjurkan pihaknya.

    Chua bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.

    “Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi.

    “Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.

  • Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    Saf kepimpinan Pas diingat tak terjebak provokasi – Hadi

    SAF kepimpinan PAS diingatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau sebaliknya menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

    Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

    “Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang,’ kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah. Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi. 

    “Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka dekat sini malam tadi.

    Sementara itu Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa kerjasama dengan Barisan Nasional tidak akan berlaku sama sekali.

    Beliau berkata PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

    “Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah. Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya. 

    Turut hadir Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon PAS Parlimen Kemaman Che Alias Hamid dan calon PAS Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli. – BERNAMA 

  • PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PRU-15: Pas rela jadi pembangkang jika gagal dapat majoriti

    PAS rela menjadi pembangkang jika Perikatan Nasional (PN) gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata parti itu mempunyai prinsip dan mahu kepimpinan bersih untuk menerajui kerajaan pasca-PRU15.

    “Kita sanggup jadi pembangkang…PAS jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun tak jadi masalah. Kita tak mahu kerajaan tak bersih. Kita berprinsip, kita bukan parti yang hanyut,” katanya kepada pemberita selepas Program Santai Petang Bersama Presiden PAS di Cheng di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan gabungan antara PN dan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 jika kedua-dua pihak gagal mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15. – BERNAMA

  • “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    “Apa bukti BN, PN bakal bergabung?” Muhyiddin tanya Anwar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan bukti berhubung dakwaannya pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan merangkap Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

    “Apa bukti (PN dan BN berpakat). ‘You don’t just make allegation without basis’. PN kini bertanding secara nyata melawan BN. Kita menyerang antara parti, jadi apa bukti dakwaan Anwar itu. Anwar suka buat dakwaan sama macam Rafizi (Rafizi Ramli – Timbalan Presiden PKR).

    “Tuduhan ini tidak lain untuk pengaruhi pengundi PN kononnya berpakat-pakat dengan BN padahal ia tidak berlaku pun. Jadi saya nak tanya Anwar Ibrahim apa buktinya. Saya cabar dia buktikan dan tolong jawab,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai bersama penduduk Taman Sri Stulang, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Anwar mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU-15.

    Anwar dilaporkan mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu membuat rancangan berkenaan, selepas masing-masing dikatakan ketinggalan dalam persaingan PRU-15, ketika hari mengundi berbaki empat hari lagi.

  • ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    ‘Kenyataan saya diambil di luar konteks,’ jelas Takiyuddin

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin menjelaskan kenyataan beliau mengenai penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diambil di luar konteks.

    Malah tegas beliau, tajuk dalam laporan media itu juga adalah mengelirukan pengundi.

    “Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

    “Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

    “Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media hari ini memetik Takiyuddin sebagai berkata, Pas akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) pasca PRU-15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Pendirian Pas adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

    “Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

    “Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. Pendirian Pas jelas.

    “Kalau kita perlu gabungan (selepas PRU15), pilihan terdekat adalah gabungan dengan BN. Begitu juga parti lain dalam BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, PRU15 adalah pilihan raya paling getir buat rakyat.

    Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti.

  • PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    BEKAS pemimpin UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah di Perlis buat julung kali pada 19 Nov ini.

    Tidak cukup dengan itu, beliau turut menjangkakan BN akan hilang sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen, iaitu Arau dan Padang Besar, serta sembilan kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, ramalan itu berdasarkan hasil kajian dan situasi semasa, selepas BN menggugurkan calon boleh menang.

    “Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah, iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong.

    “(Di) Padang Besar, BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi, manakala Parlimen Arau, Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah menang, selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu digugurkan BN dan kemudian bertanding atas tiket bebas di Parlimen itu dan DUN Titi Tinggi.

    Selain Zahidi, bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan juga digugurkan BN dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

  • [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

    “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila di sini, malam ini.

    Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

    Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

    Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

    Abdul Hadi berkata rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

    Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. – BERNAMA

  • PRU-15: GRS umum calon 13 kerusi Parlimen di Sabah, BN umum 11

    PRU-15: GRS umum calon 13 kerusi Parlimen di Sabah, BN umum 11

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan calonnya bagi 13 kerusi Parlimen di Sabah yang akan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon di 11 kerusi.

    Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu dalam majlis sama di sini hari ini, memperlihatkan tiada pertembungan berlaku antara dua rakan kerjasama dalam mentadbir kerajaan Sabah itu.

    Hajiji dan Bung Moktar tidak mengumumkan calon kerusi Parlimen Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan namun Bung Moktar ketika berucap berkata satu kerusi Parlimen masih dalam perbincangan tanpa menamakan kerusi itu.

    Hajiji berkata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) bakal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu.

    Beliau berkata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri mempertahankan Parlimen Keningau manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri Kedua Datuk Jonathan Yasin daripada Bersatu mempertahan Parlimen Ranau.

    Pengumuman Hajiji itu menyaksikan GRS diwakili enam calon daripada Bersatu, PBS (4), STAR (2), Parti Maju Sabah (SAPP) (1) manakala Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Yamani Hafez Musa dari Bersatu tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sipitang.

    Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan mempertahankan Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kembali bertanding di Kota Belud yang dipegangnya selama dua penggal sebelum bertanding dan tewas di Sepanggar pada PRU14.

    Dua Timbalan Menteri mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing iaitu Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya di Pensiangan manakala Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO di Kimanis.

    Bung Moktar juga mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna Abd Aziz Mohd Ibno akan bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang diadakan serentak dengan PRU15.

    Pengumuman Bung Moktar itu juga menyaksikan 10 calon BN adalah daripada UMNO, manakala satu calon daripada PBRS.

    GRS dianggotai Bersatu, PBS, STAR, SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama bersama BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan PBRS bagi mentadbir kerajaan Sabah.

    Berikut merupakan senarai penuh calon GRS dan BN di Sabah pada PRU15:

    SABAH

    P167 Kudat – Datuk Seri Ruddy Awah (GRS-Bersatu)

    P168 Kota Marudu – Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (GRS-PBS)

    P169 Kota Belud – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (BN-UMNO)

    P170 Tuaran – Datuk Joniston Bangkuai (GRS-PBS)

    P171 Sepanggar – Datuk Yakub Khan (BN-UMNO)

    P172 Kota Kinabalu – Yee Tsai Yiew (GRS-PBS)

    P173 Putatan – Datuk Shahelmey Yahya (BN-UMNO)

    P174 Penampang – Kenny Chua Teck Ho (GRS-STAR)

    P175 Papar – Datuk Armizan Mohd Ali (GRS-Bersatu)

    P176 Kimanis – Datuk Mohamad Alamin (BN-UMNO)

    P177 Beaufort – Datuk Siti Aminah Aching (BN-UMNO)

    P178 Sipitang – Datuk Matbali Musah (GRS-Bersatu)

    P179 Ranau – Datuk Jonathan Yassin (GRS-Bersatu)

    P180 Keningau – Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-STAR)

    P181 Tenom – Jamawi Jaafar (BN-UMNO)

    P182 Pensiangan – Datuk Arthur Joseph Kurup (BN-PBRS)

    P183 Beluran – (belum diumumkan)

    P184 Libaran – Suhaimi Nasir (BN-UMNO)

    P185 Batu Sapi – Mohd Khairul Firdaus Akbar Khan (GRS-Bersatu)

    P186 Sandakan – Lau Chi Kong (GRS-SAPP)

    P187 Kinabatangan – Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-UMNO)

    P188 Lahad Datu – Datin Maizatul Akmam Alawi (BN-UMNO)

    P189 Semporna – Nixon Abdul Hadi (GRS-Bersatu)

    P190 Tawau – Lo Su Fui (GRS-PBS)

    P191 Kalabakan – Aslan Fadli Samsul Alang (BN-UMNO)

    PRK DUN BUGAYA

    N66 Bugaya – Abd Aziz Mohd Ibno (BN-UMNO

    –BERNAMA

  • Zuhdi tolak bertanding atas tiket BN selepas dicadang individu

    Zuhdi tolak bertanding atas tiket BN selepas dicadang individu

    AHLI Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengakui beliau dicadangkan bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Zuhdi bagaimanapun menolak, di sebalik khabar angin mengatakan empat pemimpin Pas didekati dengan cadangan supaya bertanding atas tiket BN.

    Katanya, individu terbabit mencadangkan beliau bertanding di Parlimen Shah Alam, Selangor. Beliau tidak menamakan individu tersebut.

    “Ada orang calonkan saya tetapi saya tolak kerana saya dah isytihar untuk tidak bertanding,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Menegaskan beliau ahli Pas yang setia, Zuhdi menambah sudah tentu akar umbi UMNO sendiri akan sukar menerima cadangan itu.

    “Ramuan orang lain, takkan kita nak masakkan. Kalau kita letak ramuan di situ nanti orang tak terima,” katanya.

    Terdahulu, sumber memberitahu empat pemimpin Pas didekati dengan cadangan supaya bertanding atas tiket BN pada PRU-15, demi mengekalkan ‘semangat Muafakat Nasional’.

    Mereka dicadang bertanding di empat kerusi Parlimen, iaitu Pengkalan Chepa dan Tumpat di Kelantan, Shah Alam di Selangor, dan Indera Mahkota di Pahang.

    Sementara itu, Ketua UMNO Shah Alam, Azhari Shaari, menyangkal sebarang dakwaan yang cuba mengaitkan UMNO bahagiannya dengan cadangan itu.

    “Kita tidak ada calonkan sesiapa dari luar UMNO atau BN, kerana dalam parti sendiri ramai calon yang layak,” katanya kepada FMT.