Tag: Blackpink

  • Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink

    Nik Abduh tegur peminat Coldplay, Blackpink

    AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegur peminat kumpulan rock dari British, Coldplay dan juga kumpulan K-Pop, Blackpink.

    Menurutnya, mereka yang menganggap hiburan melalaikan sebagai memberi ketenangan jiwa seperti tubuh dewasa tetapi berakal kanak-kanak.

    “Mereka pula terus merengek mahukan ketenangan jiwa daripada Coldplay dan Blackpink. Tubuhnya dewasa. Akalnya kanak-kanak,” katanya yang dimuat naik pada ruangan status Facebook miliknya hari ini.

    Beliau berkata, hiburan kehidupan sebenar telah pun diturunkan Allah dengan menghadiahkan kitab suci al-Quran sebagai penawar.

    Bagaimanapun katanya, walaupun penawar sebenar telah pun disediakan untuk mengubati ‘penyakit’, namun segelintirnya masih tidak mahu mendapatkannya, sebaliknya lebih terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang tidak mampu memberi kesembuhan.

    “Si bapa membelanjakan ratusan, bahkan ribuan ringgit membeli ubat untuk anaknya yang sakit.

    “Si anak enggan dan merengek mahukan gula-gula. Begitulah sebahagian manusia,” katanya.

    Nik Mohamad Abduh dalam pada itu turut memberi respons di ruangan komen bahawa muzik liar dan pergaulan bebas ialah hiburan berpenyakit serta berlawanan dengan kitab Allah.

    “Hiburan berpenawar ialah ayat-ayat al-Quran dan majlis ilmu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Penganjur Live Nation Malaysia sebelum ini tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur pada 22 November nanti akan ditambah sehari ekoran permintaan masih tinggi.

    Lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.

    Kehangatan penganjuran konsert selebriti antarabangsa itu mengundang segelintir pihak mengambil kesempatan menjual semula tiket sehingga RM43,000 berbanding harga asal RM228 hingga RM3,088.

  • Blackpink atau asatizah: Entah siapa yang salah?

    Blackpink atau asatizah: Entah siapa yang salah?

    Oleh DR MASTURA MUHAMMAD

    PROGRAM ilmu disekat kerana peraturan, program hiburan berleluasa tanpa sempadan.

    Baru-baru ini beberapa program ceramah daripada asatizah terkenal yang telah menarik minat ramai anak muda ke majlis ilmu, telah dibatalkan di Selangor.

    Asbabnya tiada tauliah, walaupun dakwaan menjelaskan bahawa permohonan rayuan telah dibuat namun, tidak berjaya.

    Alhamdulillah, asatizah yang terlibat ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyalahkan mana-mana pihak. Akur kepada arahan pihak berautoriti.

    Polisi dan syarat-syarat yang ketat sekali untuk urusan kelulusan program ilmu ini. Persoalannya, bagaimana pula jika penyampai itu terpalit dengan fahaman dan mesej yang mengelirukan dan memecah belahkan umat?

    Sewajarnya jika kita dapat mendengar serta ada ruang budi bicara yang boleh diguna pakai bagi memudahkan urusan asatizah ini. Mereka jelas jauh dari kontroversi, tidak terpalit dengan ajaran sesat dan diterima segenap lapisan masyarakat.

    Berbeza konsert Blackpink baru-baru ini yang dihadiri lebih 60,000 orang, menjadi fenomena kepada hampir semua golongan anak muda, bahkan hantaran media sosial seorang menteri menyatakan ‘come back again to Malaysia soon‘.

    Hakikatnya, program hiburan seperti ini dilihat menjadi ancaman yang lebih besar buat negara. Hiburan yang menjadi hukum harus bertukar hukum-haram disebabkan bertentangan dengan agama serta etika kesopanan masyarakat kita.

    Konsert ini jauh lebih penting untuk dikawal ketat walaupun secara teknikalnya mereka layak mendapat permit.

    Berdasarkan peraturan, konsert ini dilihat telah melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh PUSPAL, sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang ditubuhkan untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas permohonan penggambaran filem dan persembahan Artis Luar Negara.

    Bahagian kod etika berpakaian untuk artis wanita menyatakan bahawa artis wanita hendaklah berpakaian bersesuaian, tidak mencolok mata dan dilarang:

    a) memakai pakaian yang terdedah luas di bahagian dada atau terlalu singkat dari paras lutut;
    b) memakai pakaian yang terbelah terlalu tinggi atau terlalu ketat atau sendat;
    c) memakai pakaian yang terlalu jarang yang menampakkan pakaian dalam atau bentuk badan;
    d) memakai pakaian yang mempamerkan simbol, gambar atau perkataan yang berunsur lucah, menyentuh isu keagamaan, perkauman dan kebudayaan, jenama rokok, minuman keras dan dadah; dan
    e) menanggalkan pakaian semasa membuat persembahan.

    Seterusnya, kod etika semasa menjalankan persembahan pula, artis luar negara dilarang mempamerkan aksi dan pertuturan yang mengganggu keselesaan penonton serta menyentuh sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan nilai budaya tempatan. Antaranya melakukan persembahan liar, mencolok mata dan perbuatan yang bertentangan dengan tata susila persembahan.

    Persoalannya, Adakah wujud Blackpink melanggar garis panduan ini? Bagaimana pakaian serta lenggok tarian mereka? Tepuk dada, tanya iman.

    Apakah tindakan akan diambil jika mereka melanggar garis panduan ini? Berbaloi atau tidak, tindakan ke atas ketidakpatuhan garis panduan ini?

    Usah diperli orang yang bersuara melawan kemungkaran yang jelas didepan mata. Setiap Muslim yang beriman wajib membenci dengan hatinya, lidahnya, dan paling penting mereka mampu mencegah dengan tangan mereka iaitu dengan kuasa ‘political will’.

    Justeru, adakah masyarakat kita mula membenci dengan hati? Realitinya, program dakwah di Malaysia perlu lebih meluas dan diperkasakan.

    Penulis ialah Ketua Pengarah Ameerah Malaysia dan Ahli Parlimen Kepala Batas