Tag: bilik gerakan

  • Shahidan umum bilik gerakan BN Arau tutup, Annuar dakwa banyak penyandang ‘dipancung’

    Shahidan umum bilik gerakan BN Arau tutup, Annuar dakwa banyak penyandang ‘dipancung’

    PENYANDANG kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat pengumuman mengejutkan apabila mendedahkan kesemua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu ditutup.

    Malah, kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, semua bendera parti diturunkan pada “malam kesedihan yang teramat sangat” itu.

    “Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN di parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.

    “Kali pertama dalam sejarah,” katanya di Facebook, malam ini.

    Walaupun tidak menyatakan punca sebenar di sebalik kejadian itu, ia dipercayai ada kaitan dengan pemilihan calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Terdapat spekulasi mendakwa bekas menteri besar Perlis itu adalah antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU pada 19 Nov ini.

    Selain itu, seorang lagi anggota Kabinet yang dilihat selalu tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut menyatakan rasa kurang senangnya terhadap perkembangan semasa parti itu.

    Bekas Setiausaha Agung UMNO itu mendakwa, bakal calon BN sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu sekali gus menimbulkan pelbagai khabar angin.

    Penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu turut membayangkan beliau tidak termasuk dalam kalangan bakal calon yang dibawa membuat ikrar tersebut.

    Nampaknya, walau perlembagaan (UMNO) menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan.

    “Dijanjikan juga top five diberi kuasa merundingkan (calon) bagi pihak majlis kerja tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top five mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh high up (pihak atasan).

    “Proses sedang berjalan,” katanya dalam hantaran di media sosial malam ini.

    BN dijangka mengumumkan calon masing-masing pada malam esok ketika Pembangkang khususnya Pakatan Harapan dan GTA sudah mula mendedahkan barisan calon mereka.

    Sementara itu, Annuar berkata, janji UMNO untuk mengutamakan calon yang memiliki ciri-ciri Wali (winnable atau boleh menang, acceptable atau boleh diterima dan likeable disukai) tidak lagi diendahkan.

    “Namun kedengaran di sana sini banyak sudah winners dipancung, terutama yang dekat dengan PM (Ismail Sabri Yaakob). Tapi itu rumours yang tidak semestinya tidak berasas,” katanya lagi.

    Secara berlapik, Annuar juga mengingatkan partinya agar berhati-hati menyusun langkah serta adab seseorang yang tidak boleh meminta-minta untuk dicalonkan.

    “Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti.

    “Jika tidak, (parti) berkubur dua kali,” katanya.

  • PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    PRU-15: Bilik gerakan SPRM diwujudkan di setiap negeri

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka bilik gerakan di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan salah laku yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dalam laporan Berita Harian berkata, amalan membuka bilik gerakan itu sudah dilakukan pada PRU sebelum ini dan akan diselaraskan di Ibu Pejabat SPRM.

    “Susulan pembubaran Parlimen, kita menyediakan bilik gerakan pada PRU-15 dan semuanya diselaraskan di bilik gerakan utama di ibu pejabat bermula sekarang.

    “Jadi, jika ada sebarang isu berkaitan rasuah sepanjang PRU-15 ini, kami akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam lapran itu hari ini.

    Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai, hari ini.

    Sementara itu, Norazlan dalam ucapannya berkata, pembabitan mahasiswa dalam acara debat membolehkan mereka lebih arif dan memahami isu berkaitan rasuah serta usaha dilaksanakan.

    “Sebahagian usul diberikan kepada pendebat sebenarnya antara cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan dan SPRM ke arah penambahbaikan usaha pencegahan rasuah dalam negara ini.

    “Sebahagian usul lagi adalah isu semasa berkaitan rasuah yang sering diperdebatkan dalam kalangan warga maya berasaskan sumber yang tidak tepat dan akhirnya disalah erti, seterusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan,” katanya.