Tag: Besut

  • Jasad Wahab ditemukan lebih 60 jam terjatuh air terjun

    Jasad Wahab ditemukan lebih 60 jam terjatuh air terjun

    MAYAT Abdul Wahab Mat Sulaiman, yang terjatuh dari tingkat lima air terjun ketika menyelenggara saluran paip Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, di Besut, Khamis lalu, akhirnya ditemukan pagi ini selepas lebih 60 jam.

    Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid, mayat mangsa ditemukan di tingkat dua air terjun di hutan lipur itu, kira-kira 8 pagi.

    “Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ramlan berkata, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) beberapa barang milik peribadi mangsa seperti baju dijumpai di tingkat tiga air terjun.

    Katanya, sarung golok dijumpai di tingkat dua air terjun berkenaan.

    Dalam kejadian kira-kira 4 petang Khamis lalu, mangsa berusia 27 tahun, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima Lata Tembakah, Sungai Tenang di Hulu Besut.

    Ketika kejadian, mangsa yang juga pekerja syarikat kontraktor di hutan lipur itu dikatakan sedang membaiki saluran paip bersama adiknya yang berusia 19 tahun.

  • Dapat wang saku RM7 jika solat Subuh, Isyak di masjid

    Dapat wang saku RM7 jika solat Subuh, Isyak di masjid

    PEMBERIAN insentif wang saku persekolah sebanyak RM7 berjaya menarik minat remaja dan kanak-kanak untuk menunaikan solat Subuh dan Isyak berjemaah di Masjid Hadhari, Besut di Terengganu.

    Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Hadhari Jertih, Baharudin Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah salah satu daripada program anak muda mengimarahkan masjid yang dilaksana melalui rakan muda masjid.

    Katanya, ia bagi memupuk dan menggalakkan golongan muda solat berjemaah di masjid sejak usia kecil.

    Sumbangan saguhati berbentuk wang tunai RM5 bagi solat Subuh dan RM2 bagi Isyak itu dapat dimanfaatkan sebagai wang saku persekolahan anak-anak.

    “Pendekatan ini merupakan satu usaha bagi menghidupkan suasana solat berjemaah khususnya dalam kalangan mereka berusia 15 tahun ke bawah.

    “Program ini baru sahaja dilaksana minggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Baharudin berkata, pada awalnya, hanya beberapa orang kanak-kanak sahaja yang hadir solat berjemaah, namun jumlah itu bertambah hingga tiga kali ganda apabila memasuki minggu kedua.

    “Program ini akan menjadi rutin dan kami turut menggalakkan masjid lain melaksana pelbagai program yang dapat menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid,” katanya.

    Selain itu Rakan Muda Masjid Hadhari turut menganjurkan program mengimarahkan masjid antaranya, kelas mengaji, kem pemantapan diri dan gotong-royong, yang sekali gus dapat memupuk ciri kepimpinan.

  • PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PRU-15: PN mampu pecah rekod BN di Besut

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka memecahkan rekod yang dipegang Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama apabila menguasai kerusi Parlimen Besut buat beberapa penggal.

    Peluang PN lebih cerah memandangkan penyandangnya Tan Seri Idris Jusoh menarik diri daripada dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Calon Pas mewakili PN bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, perubahan iklim politik yang berlaku sekarang memberi peluang kepada parti-parti lain.

    Katanya, Parlimen Besut sejak sekian lama dimenangi UMNO, BN dengan mengambil kira ada tokoh yang disegani.

    “Namun sekarang sudah dikesan ada angin perubahan apabila pengundi yang ditemui memberi komitmen memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan orang ramai di Pasar Tani Alor Lintah dekat sini semalam.

    Turut hadir Yang Dipertua Pas Besut Wan Azhar Wan Ahmad.

    Che Mohamad Zulkifly sebelum ini merupakan bekas Ahli Parlimen BN Setiu, namun sudah lama keluar daripada parti terbabit.

    Menurutnya juga kerja kuat semua pihak terutamanya kerjasama erat jentera Pas dianggap begitu luar biasa bagi memenangkan calon PN kali ini.

    “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan dan gerak kerja yang padu petugas PAS dan pelbagai pihak,” ujarnya lapor Harakah Daily.