Tag: Bertembung

  • Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    Myvi bertembung CRV, 3 maut di Jempol

    TIGA termasuk seorang warga emas maut apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai masuk ke laluan bertentangan dalam kejadian di KM26 Jalan Bahau-Kemayan, dekat Lui Barat, Jempol.

    Dalam kejadian kira-kira 1.57 tengah hari tadi, mangsa maut adalah Sallehuddin Nong, 63, selain dua wanita, Tee Tai En, 29, dan Tin Siew Kwan, 59.

    Ketua Polis Jempol Hoo Chang Hook berkata, kemalangan itu berlaku selepas Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan Honda CRV, dari arah Sungai Lui menuju ke Bandar Seri Jempol.

    “Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi serta penumpang belakang Honda CRV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    TIGA lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada pukul 8.50 malam itu  melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

    “Mangsa yang maut ialah kelindan treler Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat, Johor; pemandu Iswara Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan penumpang belakang kereta itu Zairulzaimy Jambi, 18, dengan kedua-duanya beralamat di Pekan, dekat sini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Khairol dari arah Segamat terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta Axia yang juga dari arah Segamat. 

    “Impak kemalangan menyebabkan treler tersebut jatuh ke cerun di sebelah kanan jalan. Mangsa yang cedera termasuk pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia,” katanya.

    Mohd Azahari berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA