Tag: bersauh tanpa kebenaran

  • Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Kapal LPG asing ditahan ceroboh perairan negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sebuah kapal tangki Liquefied Petroleum Gas (LPG) dari Monrovia, Liberia menceroboh dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur semalam, membawa padah apabila ditahan Agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, pihaknya mengesan kehadiran kapal LPG asing itu sebelum menahannya pada kedudukan 14.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Beliau memberitahu, kapal tangki LPG berkenaan ditahan pukul 3.15 petang oleh bot ronda maritim semasa melaksanakan operasi rutin.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 16 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada lapan warga Korea Selatan dan lapan warga Indonesia berumur antara 21 hingga 52 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kapal itu seterusnya ditahan dan nakhoda beserta seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan PerkapalanSaudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Maritim Johor katanya, menasihatkan kepada pemilik atau pengusaha perkapalan agar sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di perairan negara.

  • Kapal tunda dari Singapura ditahan ceroboh perairan, bersauh tanpa kebenaran

    Kapal tunda dari Singapura ditahan ceroboh perairan, bersauh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tunda kerana gagal mempamerkan insuran dan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda itu ditahan dalam satu operasi pada kedudukan 5.5 batu nautika timur Tanjung Penawar pada pukul 8.45 pagi.

    “Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Kapal tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur di antara 20 tahun hingga 50 tahun

    “Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot mendapati nakhoda telah gagal mempamerkan insuran dan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

    “Nakhoda serta Ketua Jurutera bot dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan bersauh tanpa kebenaran dan Seksyen 361(6) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan gagal mempamerkan dokumen berkaitan polisi insuran maritim.

  • Kapal kargo bersauh haram berdepan denda RM100,000

    Kapal kargo bersauh haram berdepan denda RM100,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBUAH kapal kargo pukal yang berdaftar di Kepulauan Marshall ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pagi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan pada pukul 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Katanya kapal yang ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram itu dikendalikan seramai 22 orang krew.

    “Kesemua krew terdiri daripada warga Ukraine, Russia, Filipina dan Sri Lanka yang berumur antara 20 hingga 61 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.

    “Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Ekoran itu kapal serta semua krew ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

    Jelasnya, Maritim Malaysia menerusi Operasi Jangkar Haram akan terus memastikan perairan negeri Johor sentiasa terpelihara daripada sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di perairan Johor timur.

  • Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua kapal tangki asing dalam dua operasi di Tanjung Lompat dan Tanjung Siang, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan menerusi Op Jangkar Haram selepas kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    “Kapal tangki pertama yang berdaftar di Hong Kong ditahan pukul 10.45 pagi pada kedudukan 9.3 batu nautika timur Tanjung Lompat. Kapal ini dikendalikan 17 kru warga China dan Myanmar berumur antara 24 hingga 51 tahun.

    “Sementara kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang yang dikendalikan 16 kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Kota Tinggi

    Beliau berkata, kesemua kru dari dua kapal berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, sebarang kecemasan atau aduan kesalahan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-2199404) atau talian MERS 999.