Tag: Bersatu

  • Sultan Perak perkenan DUN dibubarkan berkuatkuasa hari ini – MB

    Sultan Perak perkenan DUN dibubarkan berkuatkuasa hari ini – MB

    PERAK membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembubaran DUN dilakukan selepas beliau menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

    “Watikah tersebut diperoleh pada Ahad,” katanya pada sidang media di sini.

    Dilapor, pada Rabu, Saarani pertama kali menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

    Menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

    Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak.

    Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

    DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). – BERNAMA

  • Bersatu, Pas mungkin tukar kerusi strategi menang PRU-15

    Bersatu, Pas mungkin tukar kerusi strategi menang PRU-15

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pertukaran kerusi berkenaan sebagai strategi gabungan itu untuk memenangi PRU15.

    “Selama kami berbincang dengan parti komponen dalam menghadapi PRU-15, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita calonkan.

    “Pertukaran kerusi dahulunya mungkin dimenangi Bersatu, kini mungkin Pas perlukannya. Ianya menentukan pemimpin berkenaan boleh menang di kawasan-kawasan itu,” katanya pada taklimat Op Banjir di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

    Ditanya sama ada Pas benar-benar komited untuk bersama PN, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan parti itu masih bersama mereka.

    “Rundingan adalah sesuatu strategi yang diperlukan dalam pilihan raya. Ia adalah sesuatu isu yang berbeza,” katanya.

    Media pada 23 September lalu melaporkan pengagihan kerusi membabitkan parti komponen PN bagi menghadapi PRU-15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan, lapor Berita Harian.

  • PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    PRU-15: Razali serah pucuk pimpinan PN, akur jika tak dicalonkan

    KETUA Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris akur dan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon dan menentukan kedudukannya berikutan Parlimen Marang adalah kerusi tradisi Pas yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Saya sebenarnya tak nampak di mana saya boleh bertanding, saya mengundi di Marang dan Marang kerusi Pas. Jadi saya nak bertanding di mana? Takkan nak bertanding di Besut, jauh sangat, jadi saya serah pada Pusat untuk buat keputusan.

    “Sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, kita bersedia kalau pucuk pimpinan kata awak bertanding di mana, tapi daripada segi kaedahnya, tempat saya sekarang ini tak boleh. Malah, saya sudah cakap jangan cuba tindih kerusi sahabat kita,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu yang ditemui pemberita selepas Persidangan BERSATU Bahagian Marang, di sini malam tadi menegaskan, beliau sedia berkorban untuk memastikan parti komponen dalam PN menang PRU-15.

    “Ahli Bersatu di Terengganu kecil (tak ramai), ada lebih kurang 25,000 orang dan kita jangka boleh bantu sahabat kita untuk menang. Kita jangka dalam 3,000 (pengundi) di satu-satu Parlimen, ada pengundi BERSATU kalau kita minta undi parti yang kita mahu.

    “Jadi kita boleh bantu mana-mana kerusi yang bawah daripada 1,000 undi (majoriti undi dimenangi ketika PRU14). Insya-Allah, yang menang sikit (majoriti kecil) kita bantu, yang kalah mungkin kita dapat menang,” katanya.

    Bersatu Terengganu bersetuju bertanding dua kerusi Parlimen, Hulu Terengganu dan Besut serta 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.

    Kesemua 10 kerusi DUN yang bakal ditandingi Bersatu kini disandang wakil UMNO, manakala Pas akan kekal bertanding di 22 kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada PRU14.

    Kerusi Parlimen Hulu Terengganu dimenangi Datuk Rosol Wahid atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali pada PRU14, manakala Parlimen Besut disandang wakil UMNO, Tan Sri Idris Jusoh.

    Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.

  • Bersatu yakin Pas terus konsisten bersama PN – Rafiq

    Bersatu yakin Pas terus konsisten bersama PN – Rafiq

    PAS cukup bijak untuk tidak sewenang-wenangnya membenarkan diri mereka dipergunakan UMNO atas nama kerjasama untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan, beliau yakin Pas akan tetap mendukung cita-cita Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan bersama Bersatu.

    Menurutnya, keyakinan beliau itu adalah bersandarkan kenyataan terbaharu Pas bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan syarat yang ditetapkan UMNO untuk membentuk kerjasama iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

    “Ia menguatkan lagi pendirian Pas yang teguh bermatlamat untuk menyatukan ummah dengan menjadi penghubung dan pendamai antara dua parti besar Melayu itu.

    “Jadi kalau dah begitu keadaannya, maksudnya kita faham bahawa tak ada rundingan lagi, atau takkan ada, tak mungkin kerjasama Pas dengan UMNO ini akan terjalin,” katanya.

    Rafiq dalam laporan itu berkata, ketika ini, sudah semakin jelas terlihat hasrat sebenar UMNO untuk membuka pintu rundingan bagi membentuk kerjasama hanya demi keuntungan di pihak mereka sahaja.

    “Kita tengok kenyataan yang dibuat oleh UMNO Negeri-Negeri, kita tengok UMNO Kelantan, Terengganu bahkan Kedah, di negeri-negeri yang Pas ketuai.

    “Kita lihat kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa UMNO Kedah yakin akan mampu rampas pentabdiran kerajaan Kedah daripada Pas.

    “Kenyataan pemimpin UMNO, tidak kira yang bersama Presiden atau yang bersama Perdana Menteri, sama sahaja – mereka sebenarnya sudah bersedia untuk bukan saja tak mahu berunding dengan Pas tapi mereka sebenarnya nak rampas negeri-negeri Pas,” katanya dalam laporan portal BeritaBersatu.

    Jelas Rafiq, sebaliknya pula sikap UMNO terhadap Pas di negeri Selangor, negeri yang dirasakan mereka tidak boleh ditawan daripada Pakatan Harapan tanpa PAS.

    Disebabkan itu katanya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah memberitahu dengan jelas bahawa mereka tidak boleh terima sikap UMNO yang mana di sesetengah negeri mereka mahu menggempur Pas namun di sesetengah negeri seperti di Selangor, UMNO mahu pujuk Pas.

    “Saya fikir Pas tidak bodoh dan takkan biarkan mereka dipergunakan oleh UMNO kerana ternampak ketidakikhlasan mereka kerana hanya ingin berunding di negeri-negeri yang mereka rasa perlukan Pas sementara negeri-negeri yang mereka tak perlukan Pas, mereka nak singkirkan Pas.

    “Ini bukan satu semangat setiakawan yang ditunjukkan sepertimana PAS dalam PN,” katanya.

  • Pas ‘all out’ PRU-15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

    Pas ‘all out’ PRU-15, Bersatu bidas Ismail ‘lemah’ bubar Parlimen

    PAS bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengerah seluruh kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya umum dan jentera parti telah diingatkan setahun lalu bahawa kemungkinan Parlimen bubar pada Oktober.

    “Ternyata ia benar. Pas bersama rakan PN akan ‘all out’ bagi memastikan kejayaan dalam PRU yang penuh cabaran kali ini,” katanya dalam laporan FMT.

    Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, pengalaman Pas berada dalam kerajaan sebahagian taruhan bagi penilaian rakyat.

    Katanya, ini bagi meyakini bahawa Pas mampu melaksanakan tanggungjawab bila diberi amanah.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris membidas tindakan Ismail membubarkan Parlimen hari ini berikutan jangkaan banjir akan melanda bulan depan.

    Beliau berkata, Ismail terlalu lemah apabila ditekan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 dipercepatkan.

    “Saya tidak nampak kemampuan beliau untuk mengurus satu perkara agak penting di mana negara berdepan situasi banjir.

    “Jadi apa yang diperkatakan selama ini wayang sahaja,” katanya.

    Razali juga membidas tindakan Ismail yang membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu yang disifatkan sebagai manifesto PRU15.

    “Saya juga rasa terkilan strategi beliau bentang Bajet 2023 yang sekadar pembentangan sahaja. Perdana menteri sendiri ambil pendekatan menipu rakyat,” katanya.

    Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau sudah menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat awal.

    Beliau berkata, Gerakan dan PN sudah bersiap sedia hadapi PRU15 dengan pembahagian kerusi gabungan itu dalam peringkat akhir.

    “Sekarang dalam rundingan akhir. Jika boleh selesai di peringkat negeri, pembahagian kerusi PN akan selesai. Keputusan akan dibuat di peringkat tertinggi PN,” katanya.

  • UMNO tolak formula penyatuan ummah Pas babitkan Bersatu

    UMNO tolak formula penyatuan ummah Pas babitkan Bersatu

    UMNO menolak formula Pas yang mendukung Bersatu bagi menjayakan penyatuan ummah, memandangkan parti itu ditubuhkan untuk melemahkan UMNO.

    Lapor Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hakikatnya, UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak UMNO ialah penyelamatan Bersatu.

    “Bagi UMNO, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.

    “Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui ‘sindiket’ pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

    Kerana itu, beliau berkata, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu, kerana DNA mereka ialah anti UMNO dan karakternya adalah khianat.

    “UMNO adalah gerakan politik. Ia bukan gerakan dakwah. Tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara,” katanya.

    Beliau dalam laporan itu berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana UMNO sudah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim apabila ia mentadbir nanti.

    “Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.

    “Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.

    “Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bdrsatu pastinya. Kerana sudah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu di diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.

  • Dr Rais bukan pengasas Bersatu, terima kasih atas jasa dan bakti

    Dr Rais bukan pengasas Bersatu, terima kasih atas jasa dan bakti

    BEKAS Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin yang mengumumkan keluar daripada BERSATU hari ini, bukan salah seorang daripada pengasas Bersatu seperti yang dilaporkan media.

    Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya

    Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya berkata Rais dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dari tahun 2016 hingga 2020, dan tidak lagi aktif dalam Bersatu selepas itu.

    “Beliau tidak mempertahankan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam pemilihan parti pada tahun 2020 dan tidak lagi aktif dalam Bersatu selepas itu.

    “Saya mengucapkan setinggi–tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan Datuk Wira Dr Rais Hussin,” katanya dalam laporan portal BeritaBersatu.

    Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan Rais adalah antara pengasas Bersatu pada 2016, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

    Dalam kenyataan, Rais berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Bersatu semalam.

    Pengunduran itu, katanya, kerana beliau tidak lagi aktif di dalam parti sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

    “Walaupun saya bukan lagi ahli Bersatu, saya akan giat meneruskan perjuangan saya untuk Malaysia yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras, iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah,” katanya.

  • PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju agar semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat bergerak atas nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang berlangsung sebentar tadi. 

    “Tadi kita ada mesyuarat bincang mengenai persiapan PRU15. Bila masa (PRU15), Wallahualam kita tidak tahu tapi ini bukan baharu dah kita sudah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk menentukan supaya satu, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

    “Kita dah bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuararat berkenaan.

    Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Mesyuarat Biro Politik Bersatu turut diadakan selepas itu.

    Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju untuk meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berkaitan isu semasa.

    “Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan. 

    “Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan di banyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.

    Mengenai kedudukan PAS sama ada kekal dalam PN bagi menghadapi PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara ringkas berkata: “Insya-Allah, kita istiqamah.” – BERNAMA

  • Hadi tetap mahu UMNO, Bersatu berbaik demi selamatkan kerajaan PN

    Hadi tetap mahu UMNO, Bersatu berbaik demi selamatkan kerajaan PN

    PAS bertegas akan terus berada di tengah gelanggang pertembungan UMNO dan Bersatu demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang

    Hadi mengulangi pendirian itu di tengah-tengah spekulasi pembubaran Parlimen, selepas Barisan Nasional dan PN dilaporkan berbalah mengenai tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Apabila UMNO mengajak Pas untuk berkumpul di PWTC yang dimiliki oleh UMNO, maka ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya, kemudian bersetuju dimasukkan juga Bersatu ke dalam gabungan MN.

    “Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada UMNO dan Pas sahaja, setelah ada dalam kalangan UMNO menolak Bersatu atau kalangan Bersatu menolak UMNO.

    “Pas tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan yang mahu merungkaikan kejayaan bersama menyelamatkan kerajaan PN,” katanya di Facebook sebagaimana Lapor Free Malaysia Today.

    Hadi turut menasihatkan UMNO dan Bersatu tidak terus berbalah kerana ia hanya akan menjadikan parti itu “gagal dan hilang kekuatan”.

    Terdahulu, media melaporkan 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian mereka menolak PRU15 diadakan tahun ini.

    Spekulasi pembubaran Parlimen bertambah hangat selepas perdana menteri dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen pada majlis menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini, “jika berkesempatan”.

  • BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    BERSATU jangka Pas tidak terima syarat UMNO

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid yakin Pas akan menolak untuk menjalin semula kerjasama politik dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan portal BeritaBersatu, Rosol berkata, ini kerana syarat dikemukakan UMNO bertentangan dengan hasrat parti diterajui Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Tegasnya, matlamat utama Pas adalah untuk menyatupadukan Melayu-Islam melalui parti-parti yang berteraskan kepada perjuangan tersebut.

    “Saya tidak pasti (PAS akan terima atau tidak syarat ditentukan UMNO) tetapi atas dasar perpaduan, saya rasa PAS tidak akan terima.

    “Itu pandangan saya, sebab kita tahu matlamat PAS tetapi syarat-syarat tersebut nampaknya lari daripada kehendak agama.

    “Jadi, saya yakin PAS lebih memilih penyatuan ummah (bersama BERSATU),” katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.

    Ditanya mengenai syarat yang diwujudkan UMNO, Rosol menjelaskan, perkara tersebut adalah hak untuk mana-mana parti.

    “Itu hak UMNO untuk tentukan syarat tersebut tetapi sama ada PAS terima atau tidak, terpulang kepada PAS. Bagi BERSATU mudah sahaja, orang tak ingin kita pun tak mahu,” jelas beliau.