Tag: Bersatu

  • MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MPT Bersatu sebulat suara tolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Presiden

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menolak perletakan jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, ini kerana pertuduhan kes rasuah terhadap Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai Presiden dan bukannya kapasiti peribadi.

    “MPT memohon semua ahli dan penyokong bersabar dan bertenang dalam menghadapi ujian yang besar terhadap presiden dan parti Bersatu dengan fitnah dan kezaliman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam, Muhyiddin memaklumkan kedudukan beliau sama ada kekal atau tidak sebagai Presiden Bersatu akan ditentukan oleh MPT.

    Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

    Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Mengulas lanjut Hamzah turut mengesahkan menerima laporan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) masing-masing.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada sayap baharu Srikandi Muda yang berjaya menganjurkan konvensyen pertama mereka pada hari yang sama.

  • PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    SAYAP wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

    “Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

    Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

    Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

    “Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan,” katanya.

    Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

    Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung ‘hibah abah’ dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. – BERNAMA

  • Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    Perwakilan dijangka desak PRN di enam negeri disegerakan – Ahmad Faizal

    PERWAKILAN dijangka mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan segera pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2022 yang bermula hari ini.

    Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun perkara itu tidak berada dalam senarai usul, namun beliau percaya ia akan disentuh ramai pembahas pada perhimpunan tiga hari itu.

    “Ia terpulang kepada para pembahas…dalam Bersatu kita tak tentukan apa yang akan diperkatakan, mereka bebas suarakan apa sahaja. Yang penting, mereka dapat menjaga masa agar perhimpunan dapat berlangsung dalam jangka masa ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Srikandi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan itu melibatkan isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan agama.

    Ahmad Faizal, dalam pada itu, berkata pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah tidak akan memecahbelahkan parti serta sokongan ahli kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

    Esok akan diadakan  Perhimpunan Agung Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Ahad ini. — BERNAMA

  • Muhyiddin tak perlu letak jawatan, kata pemimpin Bersatu

    Muhyiddin tak perlu letak jawatan, kata pemimpin Bersatu

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu meletakkan jawatan selaku presiden parti itu walaupun dijangka didakwa di mahkamah esok.

    Beliau percaya pimpinan Bersatu tidak akan bersetuju jika Muhyiddin ingin meletak jawatan.

    “Tak munasabah untuk beliau letak jawatan. Kalau beliau nak letak jawatan pun kita tak setuju. Ini tuduhan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Muhyiddin yang ketika ini berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dijangka didakwa esok, lapor Berita Harian memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    Kehadiran beliau di SPRM dipercayai berkaitan siasatan badan anti-rasuah itu berhubung program Jana Wibawa. Razali, yang baharu dilantik menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan, menjangkakan Muhyiddin akan ditahan.

    Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta, membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu. Pendakwaan itu menyusuli pembekuan akaun milik Bersatu, untuk membantu siasatan ke atas wang disyaki daripada hasil haram.

    Razali menjelaskan tuduhan berkenaan membabitkan akaun parti, maka bukan Muhyiddin seorang yang bertanggungjawab.

    “Kalau fikir nak letak jawatan, habis semua lah kena letak jawatan,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata tiada masalah sekiranya Muhyiddin terus menggalas jawatan presiden.

    “Selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya.

  • Muhyiddin hanya disoal atas tuduhan politik, kata Hamzah

    Muhyiddin hanya disoal atas tuduhan politik, kata Hamzah

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan dirinya tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perbincangan bersama, susulan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

    “Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beliau menyatakan keyakinan tidak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas Muhyiddin masuk ke bangunan Ibu Pejabat SPRM, hari ini, lapor Berita Harian.

    Hamzah berkata, mereka juga tidak menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku, memandangkan Muhyiddin hanya disoal atas tuduhan politik.

    Justeru, beliau berkata, mereka juga berharap SPRM tidak menahan Muhyiddin terlalu lama.

    “Kita berharap ia tidak terlalu lama sehingga esok pagi dan dibenarkan keluar,” katanya.

  • Bersatu mahu cabar keputusan SPRM beku akaun di mahkamah

    Bersatu mahu cabar keputusan SPRM beku akaun di mahkamah

    BERSATU mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun banknya.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, parti itu memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu berniat jahat.

    Bersatu berkata, SPRM “menyalahgunakan kuasa” dengan menjalankan “pendakwaan politik” terpilih terhadap Perikatan Nasional (PN).

    Dalam permohonan yang difailkan itu, Bersatu meminta mahkamah menarik balik perintah pembekuan yang dikeluarkan SPRM.

    “Bersatu tidak pernah diserahkan dengan sebarang perintah pembekuan,” katanya dalam permohonan tersebut.

    “Bersatu hanya menyedari bahawa akaun bank (kami) telah dibekukan apabila beberapa transaksi bank tidak dapat dilakukan.”

    Parti itu turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi menyalahgunakan kuasa, membawa kepada siasatan SPRM terhadap akaun parti itu.

    Bulan lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank milik Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap parti itu.

    Siasatan itu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion yang dilaksanakan kerajaan terdahulu pimpinan PN.

  • Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    Muhyiddin sahkan peletakan jawatan Wan Saiful

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti itu, berkuat kuasa hari ini.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu ketika berjumpa Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi tadi.

    Beliau berkata, satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

    “Saya sudah menerima peletakan jawatan Ketua Penerangan berkuat kuasa hari ini oleh Wan Saiful ketika berjumpa pagi tadi.

    “Beliau akan hantar surat (peletakan jawatan) hari ini, Insya-Allah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) – Gempa Bumi Turkiye dan Syria di Parlimen hari ini.

    Sebelum itu Wan Saiful mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berikutan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

    Menurut Wan Saiful, hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Muhyiddin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

    Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

  • Akaun dibeku, Bersatu optimis menang banyak kerusi PRN

    Akaun dibeku, Bersatu optimis menang banyak kerusi PRN

    TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin parti itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya di enam buah negeri walaupun akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), beliau mengakui langkah pembekuan itu membataskan pihaknya untuk bergerak dan berkempen dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Mei ini.

    Bagaimanapun beliau menegaskan, pengalaman kekurangan dana ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah memberi banyak pengajaran kepada Bersatu untuk bergerak dengan kekuatan sedia ada dan akhirnya berupaya merampas kerajaan negeri dan kerajaan Pusat daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

    “Akaun Bersatu telah lebih sebulan dibeku, kita akui ia memberikan kesan kepada parti terutamanya untuk membayar gaji kakitangan, sekarang kita tidak boleh buat apa-apa. Malah menyukarkan kami bergerak dengan lebih efektif dalam PRN akan datang.

    “Namun pengajaran PRU14 telah memberi banyak pengalaman kepada kita untuk menggunakan kekuatan sedia ada. Bayangkan pada itu, kita cat sendiri bendera Bersatu, tetapi kita mampu menang dan bentuk kerajaan. Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU15, insya-Allah kita boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, penjelasan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen semalam yang menegaskan beliau tidak terbabit rasuah merupakan suatu mesej kepada umum bahawa segala tuduhan adalah satu fitnah dan pembohongan.

    Jelasnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan keluarganya.

    “Ini satu mesej yang rakyat perlu lihat, bahawa penafian Presiden BERSATU ini merupakan satu tuduhan bukan-bukan. Sekejap tuduh seleweng RM600 bilion. Lepas itu tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta pula,” katanya.

  • Pas, Bersatu Selangor tak pernah bincang tawaran untuk KJ

    Pas, Bersatu Selangor tak pernah bincang tawaran untuk KJ

    PAS Selangor mengesahkan tiada perbincangan mendalam berhubung tawaran jawatan atau kerusi kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir, parti itu mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan untuk diangkat calon menteri besar Selangor, jika Perikatan Nasional (PN) menang.

    “Pas Selangor tak pernah bincang secara spesifik tawaran untuk KJ,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas pendedahan Khairy kelmarin berhubung tawaran bertanding pada PRN Selangor serta sebuah parti berhasrat menamakannya memegang jawatan menteri besar.

    Roslan bagaimanapun berkata, Pas terbuka kepada mana-mana individu, termasuk mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO untuk menyertai parti itu.

    “Tetapi, kami menawarkan semua ahli dan pimpinan UMNO yang kecewa atau tidak berpuas hati (dengan kepimpinan UMNO) agar meneruskan perjuangan mereka melalui Pas.”

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Zulkafperi Hanapi berkata, tiada pelawaan atau tawaran kepada Khairy sebagai calon atau jawatan menteri besar, jika PN memenangi PRN.

    Katanya, tiada perbincangan antara pimpinan Bersatu Selangor dengan Khairy berhubung tawaran itu setakat ini.

    “Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy), tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya menurut Sinar Harian.

    Tetapi, beliau berkata, Bersatu mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana bekas pemimpin dan ahli Umno atau Pakatan Harapan (PH) menyertai parti itu, dengan harapan ia dapat menguatkan lagi Bersatu bagi memperjuangkan agenda penyatuan kaum Melayu.

    “Kita yakin sekiranya orang Melayu bersatu padu dan memberi undi kepada PN, maka kerajaan Selangor yang dipimpin PH pasti dapat ditumbangkan.”

    Pada PRU15, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.

    Di peringkat DUN Selangor, Pas yang merupakan sebahagian PN hanya memiliki sebuah kerusi, iaitu Sijangkang, manakala Bersatu mempunyai empat kerusi, iaitu Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

  • Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    BERSATU membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbelanjaan “mewah” Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

    Dakwa Ketua Bersatu Puchong Shukor Mustaffa, terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempennya.

    Malah beliau turut mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan presiden PKR, menggunakan helikopter mewah semasa kempen pilihan raya.

    “Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.

    “Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shukor juga mempersoal bagaimana Nurul Izzah boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar tanpa menerima sebarang pampasan mahupun gaji.

    Laporan itu menyusul desakan bekas pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mahu SPRM menyiasat PKR dan DAP berhubung perbelanjaan ketika PRU15, termasuk sumber dana.

    Kenyataan Marzuki muncul selepas SPRM membekukan akaun Bersatu, dikatakan ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan Covid-19.

    Muhyiddin menafikan dakwaan sedemikian dan menegaskan pentadbirannya tidak pernah salah guna dana ketika beliau menjadi perdana menteri.

    Shukor mendakwa pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Bersatu bagi mencipta persepsi negatif, terutama menjelang pilihan raya negeri.

    Ads by Kiosked

    Beliau juga mendakwa, Bersatu dihukum tanpa “sebarang proses wajar”, sambil menyatakan akaun parti dibekukan sebelum SPRM melengkapkan siasatan.