Tag: Bersatu Sabah

  • Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak akan melemahkan usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah.

    Menurutnya, beliau tidak melihat parti yang akan diketuai oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu bakal menyebabkan pemimpin akar umbi Bersatu keluar meninggalkan parti bagi menyertai Gagasan Rakyat.

    “Pemimpin akar umbi di peringkat cawangan masih kukuh. Saya tidak melihat akan ada lagi pemimpin keluar parti, kebanyakan mereka kekal setia bersama kita,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ronald berkata, pada masa ini Bersatu Sabah dalam proses melakukan penstrukturan semula peringkat bahagian bagi menggantikan pemimpin yang telah meninggalkan parti.

    “Kami dalam proses melantik beberapa ketua penaja peringkat bahagian sebagai usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat cawangan antara 1 Julai hingga 31 Ogos dan diikuti dengan mesyuarat bahagian pada 7 Oktober dan selepas itu barulah perhimpunan agung akan diadakan pada November.

    Semasa pertemuan bersama Bersatu Bahagian Tawau pada Ahad, Ronald berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan tutup kedai di Sabah dan sekiranya diberi sedikit masa, beliau yakin Bersatu Sabah mampu menyumbang kerusi kepada PN pada pilihan raya akan datang.

    Beliau berkata, penstrukturan semula Bersatu Sabah akan membolehkan kepemimpinan parti di negeri ini bertambah kukuh.

    Katanya, biarpun pelbagai naratif politik diperkatakan tentang PN namun, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih rasional dengan memilih PN demi pembangunan Sabah.

    Menurut beliau, Hajiji mahu menggunakan platform parti tempatan namun, keputusan itu terletak di tangan rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan pada pilihan raya umum yang akan datang.

    “Ini bukan pertama kali rakyat Sabah disogok dengan naratif Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan. Kita pernah dipimpin oleh parti tempatan suatu ketika dahulu namun pada akhirnya kita kembali kepada kerajaan Persekutuan.

    “Jadi, terpulang kepada mereka membawa naratif sedemikian, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih kerana trend yang boleh dilihat rakyat Sabah dan pengundi di negara ini ingin melihat sebuah gabungan politik yang bersih dan stabil serta mampu mengangkat martabat rakyat Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

  • Empat bekas ahli Parlimen Bersatu berdepan akta lompat parti – Muhyiddin

    Empat bekas ahli Parlimen Bersatu berdepan akta lompat parti – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuat keputusan keluar parti itu semalam akan dirujuk mengikut undang-undang antilompat parti.

    Tegas Presiden Bersatu itu, ia ditentukan mengikut peruntukan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

    “Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU-15, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dua daripada empat ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau kecewa dengan sikap bekas pemimpin Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, ini selepas parti itu meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu lebih-lebih lagi kemenangan mereka adalah atas logo PN.

    “Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

    “Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

    “Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.

    Beliau mengulas mengenai tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

    Menurut Hajiji, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

    Selain itu, Hajiji berkata, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

  • Bersatu Sabah akan disusun semula – Wan Saiful

    Bersatu Sabah akan disusun semula – Wan Saiful

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan disusun dan distruktur semula selepas pemimpin parti itu termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penstrukturan semula itu akan diketuai Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presiden Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

    Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, tindakan pemimpin Bersatu keluar parti itu disifatkan sesuatu yang lumrah yang perlu dilalui mana-mana parti politik khususnya selepas berakhir pilihan raya umum.

    Dalam masa sama, beliau yakin parti itu tidak akan terjejas memandangkan pernah melalui pengalaman sama sebelum ini iaitu ketika tokoh besar seperti bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad; anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Marzuki Yahya turut keluar daripada Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.

    “Bersatu Sabah tetap kekal dan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), kita ada perancangan dan ada tindakan yang mana Timbalan Presiden akan mengetuai usaha menyusun semula bahagian-bahagian yang akan diisi pimpinan atasan nanti,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

    Wan Saiful mengulas tindakan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor semalam yang meninggalkan parti itu selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa, tindakan Hajiji itu didorong oleh kepentingan jawatan dan kuasa.

    “Di Sabah, tak ada sebarang masalah tetapi tiba-tiba mereka nak keluar.

    “Saya kata kalau Hajiji nak keluar, tak apa, bawa sama beberapa orang pengikutnya dan kita akan susun balik parti,” katanya.