Tag: Bersatu Johor

  • BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BERSATU yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan populariti kerajaan ketika ini sangat rendah, ditambah sentimen terhadap pemimpin UMNO yang terkait kluster mahkamah.

    Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata malah BN dijangka hilang banyak kerusi Parlimen dalam usaha gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

    “Saya cukup yakin, sebetulnya Perikatan Nasional (PN) lebih popular kerana ketelusannya, integritinya dan keupayaan mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19.

    “Masyarakat menilai. Sebetulnya PN tetap terbaik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN boleh menang selesa pada PRU-15 seperti dilakukan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Sahruddin berkata, BN ketika ini juga berdepan pelbagai isu seperti kepimpinan dan pentadbiran dalam menghadapi PRU-15.

    Pada PRN Johor, BN meraih kemenangan selesa apabila memperoleh majoriti dua pertiga selepas menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PN hanya menang tiga kerusi.

    Manakala, pada PRN Melaka BN menang 15 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan.

    Sahruddin yakin kerusi kubu kuat UMNO semasa PRU-14 akan berjaya dirampas PN berikutan sokongan Melayu semakin meningkat.

    Beliau mendakwa, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi berikutan jasa dan bantuan oleh pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

    “Antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda. Mereka lihat yang menyelamatkan dan membantu mereka adalah PN.

    “Apa lagi pengundi dan masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

    PRU15 dan PRN Johor berbeza

    Sementara itu, Sahruddin berkata PRU-15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

    Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

    Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

    “Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. Umno itu sendiri.

    “Sebetulnya Umno ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

    Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU-15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

    PAS bukan liabiliti

    Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran PAS dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

    Beliau berkata, PAS merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

    “PAS telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan PAS paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan PAS,” katanya.

  • Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Bera, pada 11 Disember lalu mengejutkan lamunan dan semarak nafsu beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

    Pengakuan jujur Perdana Menteri bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan hempedu yang sukar ditelan.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ daripada parti lain.

    Menurut Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO dapat menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan bersama-sama parti lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

    Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti keramat itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.

    “Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya.

    Pendedahan berani Ismail Sabri itu, memberikan satu tamparan hebat terutama pemimpin-pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.

    Bagi Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya sebenar adalah sebaliknya.

    Md. Nasir Hashim

    Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa namun apabila sudah berada semula di tampuk kuasa, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan dibina sebelum ini.

    “Sebagai contoh Bersatu berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Sepatutnya kata beliau, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.

    Razrul Anuar Rusli

    “Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi Bersatu juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.

    “Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.

    Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat rentetan daripada kerajaan Melaka jatuh yang disebabkan pemimpin UMNO sendiri yang tarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

    “Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan pada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita,” katanya.

    Menutup bicara, beliau melontarkan persoalan: “Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik.”

  • 12 ADUN Bersatu Johor kekal sokong kerajaan PN negeri

    12 ADUN Bersatu Johor kekal sokong kerajaan PN negeri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan terus menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini walaupun Perdana Menteri sudah meletakkan jawatan.

    Setiausaha Beersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal ketika dihubungi berkata, sokongan terhadap Menteri Besar Johor daripada UMNO itu dikekalkan sehingga terdapat arahan baharu daripada kepimpinan peringkat Pusat.

    “Insha-Allah semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Johor akan tetap menyokong kerajaan negeri sedia ada sehingga terdapat arahan lanjut,” katanya yang juga ADUN Bukit Kepong.

    Dr. Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor mengulas pendirian pihak Bersatu Johor sama ada akan terus menyokong kerajaan Johor sedia ada ekoran perkembangan politik terkini di peringkat Pusat.

    Beliau yang juga Setiausaha PN Johor berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Bersatu Johor akan terus kerajaan Johor sedia ada ekoran perkembangan politik terkini di peringkat pusat.

    Kerajaan negeri pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 ADUN kerajaan iaitu 14 ADUN UMNO, 12 ADUN Bersatu, dua ADUN MIC dan satu ADUN Pas manakala 27 kerusi pembangkang melibatkan 14 ADUN DAP, tujuh ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan enam ADUN Parti Amanah Negara (Amanah).

    Muhyiddin dalam satu perutusan khas pada Isnin memaklumkan beliau menyembah warkah surat peletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, keputusan itu dibuatnya selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

  • Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk terus memimpin kerajaan.

    Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim menzahirkan sokongan pihaknya tanpa berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, Bersatu Johor juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua ahli Parlimen memberi keutamaan menjaga kesejahteraan rakyat.

    “Ini termasuk agenda memerangi Covid-19 pada sidang Parlimen khas yang sedang berlangsung ketika ini.

    “Bersatu Johor akan terus fokus dan komited untuk meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

    Beliau berkata, Bersatu Johor mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat ahli Parlimen Bebas yang menyokong Muhyiddin.