Tag: bersalah

  • Prakazrel “Pras” Michel bersalah dalam kes 1MDB – Mahkamah AS

    Prakazrel “Pras” Michel bersalah dalam kes 1MDB – Mahkamah AS

    MAHKAMAH Persekutuan Washington mendapati Prakazrel “Pras” Michel, bekas penyanyi rap dengan kumpulan The Fugees bersalah bersubahat melancarkan kempen melobi saluran belakang untuk menamatkan siasatan Amerika Syarikat terhadap ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Juri persekutuan semalam mensabitkan Michel, 50, atas petuduhan jenayah lain, termasuk bersubahat untuk menyalurkan wang Low secara haram untuk kempen pilihan raya Presiden Barack Obama pada 2012.

    Dia juga didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, mengganggu saksi dan memalsukan rekod kewangan kempen.

    Menurut laporan Bloomberg yang dipetik Malaysiakini, Michel membuat kesilapan dengan memberi keterangan membela diri semasa perbicaraan selama sebulan, dengan menafikan salah laku.

    Michel dikatakan tidak menunjukkan sebarang emosi apabila dia diisytiharkan “bersalah” atas semua 10 pertuduhan, dan berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun.

    Menurut pendakwa raya Low membayar lebih AS$100 juta (RM446 juta) kepada Michel dalam dua plot. Konspiratornya melobi pentadbiran Presiden Donald Trump pada 2017 untuk menamatkan siasatan AS berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar oleh Low daripada dana 1MDB.

    Sementara itu, Reuters melaporkan sabitannya itu adalah susulan daripada perbicaraan yang dipenuhi dengan tipu daya politik selain menampilkan saksi berprofil tinggi termasuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio dan bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

    Jho Low yang turut menghadapi pertuduhan berasingan di New York didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara, 1MDB kini masih bebas.

    The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris pada 1996, ‘The Score.’

    Namun, menjelang 2012, menurut pendakwa raya, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Jho Low, yang terkenal mengadakan pesta dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.

  • Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    SEORANG wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

    Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.- BERNAMA

  • Wanita didenda RM4,000 lacurkan diri

    Wanita didenda RM4,000 lacurkan diri

    SEORANG wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel di sini, awal bulan ini.

    Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Junaidah Michael Reni Martin, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, Junaidah yang berasal dari Sarawak didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan, di sebuah hotel di Pusat Komersial Melang kira-kira 11.50 pagi 1 Ogos.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’Atiqah Sapari.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula seorang lelaki mengaku tidak bersalah menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran itu.

    Mengikut pertuduhan, Lim Kevin, 38, didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas Junaidah pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

    Dia dituduh di bawah Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Manan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Hakim Norma Ismail kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tidak boleh menganggu saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan 23 Sept depan.- BERNAMA