Tag: berkecuali

  • Sultan Kedah titah penjawat awam agar bersikap profesional, berkecuali

    Sultan Kedah titah penjawat awam agar bersikap profesional, berkecuali

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KALANGAN penjawat awam di negeri ini diingatakan agar bersikap profesional dan berkecuali, tanpa menyebelahi mana-mana pihak terutamanya berkaitan politik dalam melaksanakan tugas.

    Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, prinsip ‘rules of law’ perlu dipegang penjawat awam di semua peringkat dengan tugas awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

    Baginda dalam pada itu turut menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negeri dan rakyat jelata, hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional serta neutral tanpa mengira kaum, agama, politik mahu pun kedudukan.

    “Beta menyedari akan kewujudan pimpinan politik dan penjawat awam yang menjadi dua komponen penting dalam sesebuah pentadbian kerajaan. Jalinan kerjasama dan persefahaman tinggi di samping saling hormat-menghormati, mempercayai dan menasihati hendaklah menjadi satu budaya kerja yang utama antara penjawa awam dan pimpinan politik.

    “Sehubungan itu beta ingin berpesan agar setiap penjawat awam perlu bersikap profesional dan berkecuali tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas diamanahkan.

    “Prinsip ‘rules of law’ perlu dipegang tanpa mengira peringkat. Dalam hal ini, tugas awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” titah baginda dalam majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

    Baginda dalam majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

    Sementara itu Sultan Sallehuddin bertitah kepada setiap penjawat awam dan agensi kerajaan negeri agar tidak mudah berpuas hati dengan sesuatu pekerjaan dilakukan.

    Baginda bertitah, kalangan penjawat awam dan agensi kerajaan itu sebaliknya perlu sentiasa peka tentang perkembangan semasa dengan menghasilkan idea-idea baharu serta budaya kerja di luar kelaziman, demi keberhasilan luar biasa.

    Sultan Sallehuddin turut menzahirkan harapan agar kerajaan dapat menyegerakan penyediaan infrastruktur jalur lebar 5G serta liputan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar lebih meluas di luar bandar, dalam negeri ini.

    “Usaha ini akan mendorong transformasi ke sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri yang lebih efisien bagi memenuhi keperluan rakyat masa kini,” katanya.

    Baginda dalam pada itu turut memandang serius akan perkara yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri, khususnya dalam menjaga kerahsiaan maklumat di jabatan kerajaan.

    “Justeru beta ingin menegaskan kepada semua penjawat awam supaya bertanggungjawab untuk menjaga hak kepentingan dan kerahsiaan kerajaan negeri serta tidak membocorkan maklumat rahsia kerajaan demi kepentingan diri kerana ia boleh mengganggu-gugat keselamatan kerajaan dan kedaulatan negeri,” titah baginda.

  • Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    Tak timbul isu Bersatu berkecuali undi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

    TIDAK timbul isu Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berkecuali dalam pengundian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengulas sedemikian susulan dakwaan terbabit.

    Beliau yang dipetik Astro Awani berkata, pemilihan jawatan itu telah ditangguhkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini.

    “Setakat sekarang, tidak salah saya, kita telah putuskan dalam persidangan (Dewan Rakyat) Menteri Parlimen dan Undang-Undang telah usulkan jawatan Timbalan Speaker ditangguhkan.

    “Maka, tidak timbul Ahli Parlimen Bersatu akan berkecuali dalam perkara tersebut,” katanya hari ini.

    Sebelum ini, memetik laporan Sinar Harian, bahawa kesemua ahli Parlimen Parti Bersatu dijangka mengemukakan pendirian berkecuali dalam isu cadangan nama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon tunggal kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.

    Terdahulu, Dewan Rakyat pada Selasa bersetuju usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa.

    Jelas Wan Junaidi, keputusan itu bagi membolehkan satu pindaan dibuat membabitkan Perkara 57(1)(b), iaitu membolehkan jawatan Timbalan Speaker yang ketiga diwujudkan.