Tag: berita palsu

  • “Jangan buat tuduhan semberono lagi,” Hamzah tegur Anwar

    “Jangan buat tuduhan semberono lagi,” Hamzah tegur Anwar

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyindir kempen pilihan raya gabungan pembangkang itu dibiayai syarikat perjudian.

    Hamzah yang menyifatkannya “berita palsu” berkata, Anwar tidak patut mewujudkan persepsi negatif terhadap PN.

    Kata Ketua Pembangkang itu, Anwar patut mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika terdapat sebarang salah laku.

    Menurutnya, sebagai menteri kewangan, Anwar tidak patut mencemarkan imej kerajaan sebelum ini.

    “Anda perdana menteri sekarang, bukan ketua pembangkang lagi.

    “Sayalah ketua pembangkang. Jangan buat tuduhan semberono lagi. Tiada lagi berita palsu daripada anda,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

    Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat “pelanggaran” serius dalam prosedur kerajaan berhubung dakwaan perbelanjaan RM600 bilion oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian, khasnya yang terbabit dalam cabutan khas 4D.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, rakyat Malaysia tahu bahawa PN memperolehi sokongan besar dengan 74 ahli Parlimen gabungan itu diberikan sokongan dan mandat yang kuat.

    Kata Ahli Parlimen Larut itu, sokongan besar berkenaan tidak sewajarnya ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

    “Rakyat Malaysia tahu bahawa Perikatan Nasional memperolehi sokongan yang besar, 74 ahli Parlimen yang telah diberikan sokongan dan madat yang kuat.

    “Jangan pula sokongan yang ikhlas dan jujur daripada rakyat ini ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

    “Jangan timbulkan persepsi yang bukan-bukan terhadap Perikatan Nasional,” tambahnya.

  • Keratan berita dakwa Hajiji, Bung Moktar bertemu Tun Juhar palsu

    Keratan berita dakwa Hajiji, Bung Moktar bertemu Tun Juhar palsu

    KERATAN berita yang tular di media sosial mendakwa kononnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, petang semalam adalah palsu.

    Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri Jaafar Abd Wahid dalam kenyataan berkata gambar keratan berita itu sebenarnya adalah berita selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) tahun 2020, namun ruangan tarikh berita disiarkan sengaja dipotong, dipercayai untuk mengelirukan pembaca.

    Beliau berkata keratan berita daripada portal itu sengaja disebarkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir dan tidak sepatutnya dilakukan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

     “Saya menerima beberapa panggilan dan mesej bertanyakan kesahihan berita tersebut sedangkan pada sebelah pagi saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau pada sebelah petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur.

    “Ketua Menteri (Hajiji) pada hari tersebut pula berada di Kota Marudu dalam program Jelajah GRS (Gabungan Rakyat Sabah)…keratan berita ini disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial terutama WhatsApp sehingga menimbulan persoalan kepada orang ramai,” katanya di sini hari ini.

    Semalam, keratan berita itu merupakan antara perkara menimbul persoalan tentang status Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan khabar angin mengatakan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS bakal keluar parti mengikut jejak ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda.

    GRS dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 ADUN, berbanding pembangkang 25 ADUN. 

    Jaafar berkata keratan berita itu telah dipergunakan lasykar siber atau cybertrooper pembangkang bagi memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penyokong kerajaan terutama GRS dan BN berdepan PRU15.

    “Saya meminta orang ramai agar jangan mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkannya sebelum mendapat kesahihannya,” katanya.- BERNAMA

  • Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    Tawaran saman PDRM, JPJ melalui WhatsApp adalah palsu

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan iklan promosi tawaran saman hingga 20 Julai yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp adalah palsu.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu yang mempromosikan tawaran 50 peratus diskaun saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaparkan nombor individu yang boleh dihubungi bagi mendapatkan diskaun tersebut.

    “Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

    “Orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita terutama mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan bahawa berita “Pejabat Peguam Negara telah menetapkan yang perbicaraan SRC tidak sah kerana kesilapan prosiding” yang disebar, adalah sama sekali tidak benar dan palsu.

    Dalam satu kenyataan, jabatan itu menafikan bahawa AGC ada membuat ketetapan seperti yang dikatakan dalam kenyataan yang tersebar itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC hari ini, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan didengar bermula 15 Ogos depan iaitu jabatan berkenaan akan hadir sebagai responden atau pendakwa raya dalam kes berkenaan.

    Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa, jabatan itu akan meneruskan dengan rayuan kes tersebut dan akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. – BERNAMA

  • JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    BERIKUT adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) hari ini.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan bahawa agensi itu membuka permohonan secara dalam talian (online) yang menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada semua warga emas bagi 2022 seperti tular di media sosial.

    JKM menegaskan bahawa pemakluman berkenaan yang tersebar itu merupakan kenyataan palsu dan orang ramai dinasihati tidak mudah percaya dengan maklumat palsu, sebaliknya menjadi warga digital bijak dan bertanggungjawab.

    Orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu dan merujuk sumber di laman portal rasmi www.jkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan yang ditawarkan oleh JKM. – BERNAMA

  • KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.

    Perkara itu dimaklumkan KKM dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan laman Facebook Ainalienshop-TW yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan gambar yang telah diubah suai, memaparkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berserta kapsyen ‘blood sugar returns to normal’ (paras gula dalam darah kembali normal).

    “KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.

    “KKM juga sekali lagi ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai,” menurut hantaran itu.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter beliau malam ini berkata, perkara itu adalah satu lagi berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan perniagaan. – BERNAMA

  • KJ nafi status vaksinasi ‘sedang diproses’, tangkap layar tular palsu

    KJ nafi status vaksinasi ‘sedang diproses’, tangkap layar tular palsu

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan tangkap layar yang tular mengandungi maklumat palsu mengenai status vaksinasi beliau.

    Tangkap layar palsu tersebut adalag mengenai butiran peribadi dan status vaksinasi COVID-19 beliau yang disemak melalui laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/.

    Dalam tangkap layar itu, status janji temu Khairy dinyatakan sebagai ‘sedang diproses’ sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.

    Beliau menjelaskan, laman sesawang tersebut diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.

    Walau bagaimanapun, katanya, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada bulan Oktober 2021, laman sesawang tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini.

    “Untuk rekod, saya telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut.

    “Malah, pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas saya menerima vaksin tersebut.

    “Sesiapa belum menonton siaran langsung tersebut, boleh tonton di pautan ini: https://youtu.be/EtyaZ-BaPb8,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Khairy menambah, suntikan dos kedua telah saya terima pada 8 April 2021.

    Beliau juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekali lagi maklumat yang dipaparkan di dalam tangkap layar yang tular tersebut.

    “Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara,” jelasnya.

  • Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    Bersatu Balik Pulau buat laporan polis terhadap portal

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Balik Pulau membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan tidak tepat dan palsu mengenai Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Balik Pulau, Rosmady Mat Abu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, jam 2.00 petang tadi.

    Beliau berkata, kandungan artikel tersebut adalah tidak lain ingin menjatuhkan kredibiliti Menteri Kanan Pendidikan itu selain berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Kementerian Pendidikan (KPM) keseluruhannya.

    Katanya artikel yang disiarkan pada 21 Nov lepas bertajuk “Gempar! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid” jelas tidak benar dan berniat jahat serta boleh mencemarkan reputasi KPM.

    “Diharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius ke atas pemilik portal terlibat kerana menyebarkan berita palsu dengan harapan tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini. – BERNAMA

  • Palsu! Tiada tiket percuma Piala Malaysia Melaka vs Sabah

    Palsu! Tiada tiket percuma Piala Malaysia Melaka vs Sabah

    IBU Pejabat Perikatan Nasional (PN) menafikan ada mengeluarkan sebarang poster menawarkan tiket percuma bagi perlawanan suku akhir Kedua Piala Malaysia antara Melaka dengan Sabah.

    Penafian itu dikeluarkan oleh Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

    “Poster yang tersebar menerusi media sosial itu adalah palsu,” katanya.

  • Poster Mohd Rafiq calon KM Melaka adalah palsu

    Poster Mohd Rafiq calon KM Melaka adalah palsu

    IBU Pejabat Perikatan Nasional (PN) menafikan pengeluaran sebarang poster berkenaan calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    “Poster yang tersebar berkenaan adalah palsu,” katanya hari ini.

    Terdahulu, tular dalam media sosial, poster yang kononnya mendakwa Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN.

    Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, calon Ketua Menteri Melaka dari PN yang bakal diumumkan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau menyatakan soal calon Ketua Menteri Melaka itu dalam sidang media di Bemban, Melaka, kelmarin.

    “Kita akan umumkan, kenapa kita ambil masa? Itu strategi kita. Kita tak boleh umum awal. tapi tak umum langsung pun tak boleh.

    “Mesti ada calon. Ramai sebenarnya yang layak dan boleh jadi Ketua Menteri. Jadi, tak jadi masalah kepada kita.

    “Sewajarnya kerana Bersatu mempunyai sejumlah kerusi yang besar, dan kami diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan parti PAS dan Gerakan, Ketua Menteri itu akan datang dari Bersatu,” katanya.