Tag: bergesel sesama sendiri

  • Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Dua remaja disyaki berlumba maut bergesel sesama sendiri

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA remaja lelaki termasuk seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Sungai Petani, pagi ini.

    Kedua-dua mangsa berusia 15 dan 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Lima lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam lumba haram pada pukul 3.06 pagi itu dilaporkan turut cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berumur 15 tahun itu adalah pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Jeneri, Sik

    “Mangsa kedua yang meninggal dunia pula bekerja kampung dan tinggal di Kampung Pondok Hampar, Merbok di sini.

    “Ketujuh-tujuh mereka yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Ex5 secara beriringan dalam kelajuan tinggi dari arah utara ke selatan di lebuh raya itu.

    “Ketika menghampiri lokasi kejadian beberapa penunggang dikatakan hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri. Impak pelanggaran menyebabkan dua daripada mereka maut di lokasi akibat parah di bahagian kepala,” katanya di sini, hari ini.

    Menurut Zaidy, kesemua motosikal terbabit turut mengalami kerosakan teruk dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

    “Semakan mendapati pelajar itu dan dua lagi rakannya yang cedera tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

    Mayat dibawa ke HSAH untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    KESERONOKAN sekumpulan pemuda dari Pulau Pinang berkonvoi ke Cameron Highlands, Pahang bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut apabila motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri.

    Kejadian itu berlaku di Kilometer 157.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Nibong Tebal kira-kira pukul 9 pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, dalam kejadian itu pelajar kolej, Muhammad Zikrikhan Rizadhan, 18, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Jelasnya, siasatan mendapati kejadian itu melibatkan empat buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Juru menuju ke Cameron Highlands.

    Kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    Tambah beliau, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    “Motosikal mangsa turut bergesel dengan motosikal keempat di sebelah kiri sebelum kesemua kenderaan itu terseret di atas jalan dan terhenti di lokasi kejadian.

    “Kesemua motosikal terlibat berada di lorong kiri sebelum kemalangan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

    Menurut beliau, tiga penunggang lain yang terlibat dalam kemalangan itu masing-masing berusia 19, 21 dan 23 tahun mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di hospital.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.