Tag: bercerai

  • Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    AKTRES Nad Zainal mengesahkan ikatan perkahwinan dengan Muhammad Faliq Amiruddin terlerai, baru-baru ini selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

    Memetik laporan Berita Harian, spekulasi mula tercetus apabila semakan dalam Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis di TV3 itu mendapati tiada lagi foto bersama Muhammad Faliq.

    Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin mengakui, ikatan perkahwinan sudah terlerai, namun, enggan mendedahkan tarikh berpisah.

    Dalam nada tenang dengan penuh emosi, Nad berkata, keputusan berpisah bukan perkara mudah.

    “Iya, kami sudah bercerai, baru-baru ini. Keputusan berpisah ini juga dicapai dengan kata sepakat.

    “Kami masih berkawan baik demi anak-anak,” katanya ketika dihubungi BH Online.

    Diasak bila dan punca bercerai, Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu enggan mengulas lanjut.

    “Cukup dikongsi status terkini. Saya perlu menjelaskannya agar tidak mengundang fitnah.

    “Apa yang lebih utama, saya perlu kuat untuk meneruskan survival membesarkan dua cahaya mata serta membiasakan diri dengan status ibu tunggal,” katanya yang bakal muncul dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

    Nad dan Muhammad Faliq mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.

    Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 1.

  • MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Sova Ali, hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

    Peguam Syarie Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan berkata Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian tersebut, pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

    “Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak-pihak berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Berdasarkan Seksyen 57, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.

    Sementara itu, Peguam Syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lepas.

    “Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam,” katanya dan menambah saman itu difailkan di mahkamah di sini kerana anak guamnya bermastautin di Bangi.

    Prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu tidak hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

    Azlan, 63, dan  Sova, 40, warganegara Indonesia berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.- BERNAMA

  • Perkahwinan 25 tahun Stallone dan isteri musnah angkara anjing

    Perkahwinan 25 tahun Stallone dan isteri musnah angkara anjing

    SETELAH 25 tahun berkahwin, bintang Hollywood, Sylvester Stallone dan isteri, Jennifer Flavin mengumumkan perceraian mereka hanya tiga bulan selepas meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.

    Spekulasi perpisahan pasangan itu pernah dibangkitkan selepas bintang “Rocky” tersebut menutup tatu wajah isterinya dengan gambar anjing kesayangan “Butkus” yang telah mati.

    Ia dipercayai antara punca kepada perpisahan pasangan itu selain pertengkaran susulan keengganan Flavin membenarkan Sly memelihara anjing baharu, lapor TMZ.

    Sumber rapat memberitahu TMZ bahawa bintang “Rocky” itu mahu mendapatkan anjing Rottweiler untuk tujuan perlindungan keluarga mereka, tetapi tidak dibenarkan Flavin.

    Kedua-dua mereka dilaporkan bertelagah kerana anjing itu, dan masing-masing tidak mahu mengalah.

    Stallone bertegas dan akhirnya mendapatkan juga anjing yang diberi nama “Dwight”. Dia kemudian menyiarkan video serta gambar bersama anjing itu di Instagram.

    Namun, ketika Stallone berada di Oklahoma untuk penggambaran filem, dia terkejut apabila mengetahui Flavin telah memfailkan perceraian.

    Flavin dilapor memfailkan “pembubaran perkahwinan” di mahkamah di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.

    Sementara itu, Stallone dalam reaksinya menyatakan dia masih sayang akan keluarganya.

    “Kami sedang menangani isu peribadi ini secara baik dan sulit ,” kata Stallone dalam satu kenyataan kepada The Times.

    Pelakon aksi dan bekas model itu mula menjalin hubungan pada awal 90-an.

    Menurut IMDb, Flavin muncul sebagai gadis penghantar barang dalam “Rocky V” pada tahun 1990.

    Pada Ogos 1996, pasangan itu dikurniakan anak perempuan pertama, Sophia Rose Stallone sebelum berkahwin pada Mei 1997.

    Mereka kemudian dikurniakan anak perempuan, Sistine Rose pada tahun 1998, dan Scarlet Rose pada tahun 2002.

    Pasangan itu menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25 pada Mei.

    Perkahwinan itu adalah perkahwinan pertama Flavin.
    Stallone sebelum ini berkahwin dengan isteri pertama Sasha Czack dari 1974 hingga 1985, dan pelakon Brigitte Nielsen dari 1985 hingga 1987.