Tag: bentuk kerajaan

  • PINTAR gesa 26 MP UMNO, BN sokong Muhyiddin bentuk kerajaan

    PINTAR gesa 26 MP UMNO, BN sokong Muhyiddin bentuk kerajaan

    PERTUBUHAN Intelektual Negara (PINTAR) menggesa 26 ahli Parlimen (MP) UMNO supaya memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    Presidennya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, rakyat mahu melihat kewujudan sebuah kerajaan stabil yang memperjuangkan hak-hak kelompok majoriti Melayu-Islam dan pada masa sama turut mengangkat hak kaum lain di negara ini.

    “Melalui keputusan PRU-15 yang ada, pilihan terbaik buat UMNO dan BN adalah memberi sokongan kepada PN untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

    “Sanjungilah kesediaan parti-parti Sabah dan Sarawak melalui GPS dan GRS yang telah pun memberikan sokongan kepada Muhyiddin untuk membentuk kerajaan secara bersama.

    “Oleh itu, sangat wajar bagi 26 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno bahkan 30 orang (sekiranya diambil jumlah seluruh MP BN) untuk menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin.

    “Memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya adalah bukan pilihan buat masa ini. Rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk segera untuk melicinkan pentadbiran dan urusan yang perlu dilakukan,” katanya lapor Harakahdaily.

    Untuk rekod, tujuan dan matlamat penubuhan UMNO adalah sebagai sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 MP UMNO dan BN menghadap baginda esok, setelah PN dan Pakatan Harapan gagal menunjukkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan secara sendirian.

    Mengulas lanjut, Profesor Dr Mohd Roslan juga berkata rakyat tidak mahu melihat pemimpin parti Melayu terus bertindak sepi, merajuk, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya.

    “Cukuplah dengan apa yang berlaku selepas PRU-14 lalu yang telah menyebabkan rakyat bangkit untuk mempertahankan hak mereka yang cuba dirobek ketika mana terdapatnya pemimpin yang bercakaran.

    “Kami turut merasakan sekiranya para pemimpin ini masih mengambil sikap berkecuali, maka kebimbangan yang dinyatakan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kenyataannya pada 22 November 2022 akan menjadi kenyataan di mana pemimpin-pemimpin UMNO dilihat tidak lagi mempedulikan kepentingan orang Melayu sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik sempit sendiri.

    “Sedangkan, dengan menjaga kepentingan orang-orang Melayu inilah merupakan kunci kepada kestabilan negara sejak merdeka,” katanya.

    PINTAR juga menggesa ahli Parlimen UMNO konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengambil sikap berkecuali di waktu kritikal begini adalah memberi muka kepada kedua-duanya selain merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada negara.

    “Oleh yang demikian, sekali lagi PINTAR ingin menggesa agar 26 Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno untuk memberikan sokongan padu kepada kepada TSMY sebagai Perdana Menteri ke-10 dan turut sama dengan PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat,” katanya.

  • Hishammuddin ulangi gesaan tolak kerjasama BN dengan PH, rela dipecat

    Hishammuddin ulangi gesaan tolak kerjasama BN dengan PH, rela dipecat

    BENDAHARI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengulangi pendirian beliau untuk menolak kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

    Malah kata beliau, beliau rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

    “Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi, (saya) tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

    “No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

    Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada pertemuan antara pemimpin PH dan BN di Hotel Seri Pacific di ibu negara.

    Ia dikatakan berkaitan dengan soal pembentukan kerajaan Persekutuan dengan PH memenangi 82 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan BN 30 kerusi.

    Sebelum ini, Hishammuddin dalam kenyataan semalam berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

    Menurutnya, keperluan parti itu untuk bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.

    Katanya, rakyat sudah membuat pilihan mereka dalam PRU-15 dan ia harus dihormati serta insafi.

  • Muhyiddin tak sebut BN sokong PN bentuk kerajaan

    Muhyiddin tak sebut BN sokong PN bentuk kerajaan

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan gabungannya telah meraih sokongan cukup bentuk kerajaan berkata, penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan “beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain.”

    Bagaimanapun Muhyiddin ketika mengumumkan gabungannya mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan tidak menyebut nama BN.

    Menurut Muhyiddin, penyokongnya ialah GPS Sarawak, GRS Sabah dan sejumlah ahli parlimen yang tidak dinamakan daripada gabungan mana.

    “Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama,” kata Muhyiddin pada satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dibuat sejurus selepas GPS berkata ia bersedia bekerjasama dengan PN, BN dan GRS untuk membentuk kerajaan.

    Ia juga menunjukkan tidak semua 30 ahli parlimen BN akan menyokong PN dan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

    Spekulasi bertiup kencang bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya cuba menyelaraskan gabungan BN dengan Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun, dikatakan beberapa ahli parlimen BN yang mesra PN dan telah menjadi penyokong kerjasama itu menentang keras usaha Zahid itu.

    Menurut laporan Malaysiakini, tanpa BN, gabungan PN, GPS, dan GRS hanya mempunyai 101 kerusi di parlimen.

    Mereka memerlukan 10 lagi kerusi parlimen untuk memenuhi majoriti mudah ketika ini iaitu 111, atau 11 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti 112 yang lebih stabil sebaik sahaja dua kerusi parlimen yang kosong diisi.

    Di bawah undang-undang antilompat, ahli parlimen tidak kehilangan kerusi mereka jika mereka tidak berundur atau meletak jawatan daripada parti mereka.

    Secara teorinya, ini membolehkan ahli Parlimen menentang arahan parti dalam menyokong calon perdana menteri.

    Bagaimanapun, sesetengah parti seperti DAP telah meminda peraturan organisasi supaya ahli parlimen yang menentang keputusan parti itu dianggap telah “meletak jawatan” – sekaligus mencetuskan pelaksanaan undang-undang antilompat. BN tidak membuat pindaan yang sama terhadap pertubuhannya.

    Pemulihan PN lepas tewas di Melaka, Johor

    Selepas prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, gabungan PN pimpinan Muhyiddin bangkit kembali semalam dan menawan semua kerusi di Kelantan, Terengganu dan Perlis, serta hampir semua kerusi parlimen Kedah kecuali satu.

    Gabungan itu juga menang besar di Perak dan Pahang, dan turut menawan kubu kuat PH seperti Permatang Pauh dan Kuala Langat.

    Secara keseluruhan, PN memperoleh 73 kerusi manakala GRS bahagiannya di Sabah menang enam kerusi.

    PH menjadi gabungan yang menang kerusi terbanyak pada PRU15 dengan 82 parlimen.

    Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

    Anwar berkata telah mendapat sokongan 112 kerusi parlimen walaupun tidak menamakan daripada mana sokongan itu datang.

  • PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) pagi ini mengadakan pertemuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

    Ini setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan itu melibatkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

    Katanya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Pagi ini saya menerima kunjungan Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. 

    Ia selaras dengan kenyataan beliau awal pagi ini bahawa PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

    “Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. 

    “InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tambah beliau.

  • Acryl Sani nafi hubungi Anwar agar sedia bentuk kerajaan

    Acryl Sani nafi hubungi Anwar agar sedia bentuk kerajaan

    KETUA Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, menafikan dakwaan bahawa beliau menghubungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi kononnya agar bersiap sedia untuk membentuk kerajaan.

    Ia selepas Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa mampu memenangi 112 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan ketua polis negara telah menghubungi memintanya bersedia.

    Menurut Acryl Sani berkata, dakwaan itu tidak benar.

    “Saya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung ucapannya yang menyebut Ketua Polis Negara menghubunginya.

    “Mungkin beliau (Anwar) tersilap kata dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini, menurut Berita Harian.

    Sebelum itu, tular satu video ucapan Anwar ketika berkempen menyatakan ketua polis negara, memintanya bersedia yang berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.

  • Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    Tuan Ibrahim yakin PN bentuk kerajaan 19 Nov, tolak soal gabungan politik

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yakin Perikatan Nasional (PN) akan berjaya membentuk kerajaan 19 November ini berdasarkan peningkatan sokongan kepada gabungan politik itu.

    Beliau menegaskan, ini sekali gus menolak andaian berlakunya gabungan politik sebagaimana dakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menurutnya hanya bersifat pilihan sedia ada dan ia telah sedia diulas oleh pelbagai pihak.

    Menurutnya, di sebalik pelbagai ramalan politik, beliau melihat sokongan kepada PN semakin jelas khususnya dalam kalangan pengundi muda, seiring peningkatan sokongan dan mood perubahan ditunjukkan rakyat terhadap gabungan itu.

    “Pengundi muda mahu sebuah kerajaan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Trend sokongan semakin meningkat ini dijangka akan lebih menyerlah pada hari-hari terakhir kempen.

    “Tidak timbul soal gabungan politik buat masa ini. Apa yang dinyatakan SUA Pas (Takiyuddin) hanyalah pilihan sedia ada dan telah sedia diulas oleh pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, perkara yang penting bagi PN ketika ini ialah meningkatkan usaha secara berterusan bagi membentuk kerajaan PN yang dipilih oleh majoriti rakyat.

    “Rakyat dan penjawat awam telah serik di bawah PH selama 22 bulan, dan tidak mungkin mengulangi kesilapan lampau.

    “Demikian juga dengan BN (Barisan Nasional) dengan pelbagai kemelut kluster mahkamah, terpalit dengan salahlaku dikalangan sebahagian pimpinan menyebabkan rakyat hanya punyai satu pilihan, iaiatu kerajaan PN. Saya yakin kita mampu lakukannya,” tambahnya.

  • PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat – Takiyuddin

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

    “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.

    “Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU-15, mungkin selepas (PRU-15) kita boleh wujudkan hubungan itu.

    “Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU-15,” lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Takiyuddin yang juga calon Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, PRU15 adalah pilihan raya paling getir buat rakyat.

    Katanya, berdasarkan kajian penganalisis politik tiada mana-mana parti yang akan mendapat 112 kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu bergabung dengan mana-mana parti.

  • PRU-15: Cuti Ahad dan Isnin jika PN bentuk Kerajaan

    PRU-15: Cuti Ahad dan Isnin jika PN bentuk Kerajaan

    CUTI umum pada Ahad dan Isnin akan diberikan Perikatan Nasional (PN) sekiranya berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian cuti itu adalah tambahan kepada ratusan lagi tawaran yang disediakan Perikatan Nasional dalam manifesto “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST.

    PN BEST merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

    “Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman ataupun di lain daripada tempat tinggal mereka.

    “Jadi saya nak umumkan jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya 19 November nanti kita akan isytiharkan cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan Isnin bagi negeri-negeri lain.

    “Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada Ahad ataupun Isnin yang akan datang ini,” katanya ketika melancarkan manifesto PN BEST, di Shah Alam, malam tadi.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata Perikatan Nasional akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran berterusan dan membina Malaysia yang inklusif dan gemilang, jika menang pada 19 November ini.

    Secara keseluruhan tawaran itu digubal bagi mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.

    “Bagi umat Islam, Perikatan Nasional akan membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredaan Allah,” katanya lapor portal Beritabersatu.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Perikatan Nasional menggarapkan perkara ini melalui 12 Tunjang dan 30 Pendekatan dengan 234 Tawaran di dalam manifestonya.

    Beliau berkata Perikatan Nasional juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambahbaik untuk semua lapisan masyarakat.