Tag: belum stabil

  • Bekalan telur ayam masih belum stabil

    Bekalan telur ayam masih belum stabil

    BEKALAN telur ayam di Pahang didapati masih belum stabil dan tidak menentu sekali gus merunsingkan orang ramai.

    Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, Kota SAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 di Kuantan, mendapati bekalan telur ayam terutama 30 biji untuk satu papan masih sukar diperoleh.

    Malah kebanyakan pasar raya didapati menjual telur ayam jenis Omega 30 biji satu papan pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D, dijual 10 biji untuk satu bekas.

    Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki,38, berkata, masalah bekalan telur itu masih berlaku.

    “Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan, malah terpaksa mencari dari kedai ke kedai untuk mendapatkannya,” katanya kepada Harian Metro di Balok dekat sini, hari ini.

    Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata, penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.

    Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji sahaja kepada setiap pelanggan.

    “Memang susah untuk mendapatkan kuantiti telur 30 biji satu papan di sini,” katanya yang menetap di Sungai Lembing.

    Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata, dia memperoleh jumlah bekalan yang semakin berkurangan daripada pembekal.

    “Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur sudah habis terjual.

    “Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi,” katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun lalu.

  • Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, situasi itu sama sahaja ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kasihan kepada perdana menteri cakap pasal reformasi tetapi berhadapan dengan kelompok yang boleh ugut dia, pernah ada rekod jatuhkan kerajaan sendiri, kalau tak penuhi tuntutan mereka masa Muhyiddin dan Ismail sebelum ini.

    “Muhyiddin dijatuhkan oleh beberapa pemimpin BN yang tarik sokongan,” katanya dalam temubual di Agenda Awani semalam lapor BeritaBersatu.

    Beliau merujuk kepada beberapa pimpinan BN yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebelum ini sehingga digantikan dengan Ismail.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata kerajaan di bawah pimpinan Anwar pada masa ini bergantung pada BN dalam blok kerajaan.

    Katanya, sekiranya diganggu-gugat kesungguhan Anwar untuk reformasi, kerajaan akan terus tidak stabil

    “Jadi kes mahkamah ini akan jadi perhatian. Tiba-tiba Zahid Hamidi (presiden Umno) tak bersalah…..apa akan berlaku?…. dan jika Zahid bersalah apa kesannya dalam konteks kerajaan. Ini perkara besar,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata beliau bangga PN berada dalam blok pembangkang dan prinsip sanggup ketepikan jawatan dan kuasa itu dijaga.

    Berbeza dengan PH yang sanggup kompromi dengan parti yang dikutuk dan dihina sebelum ini hanya demi dapatkan kuasa.

    “Saya bangga duduk di sebelah PN. Cuma saya bimbang dengan sikap ahli politik populis dalam kerajaan PH inilah yang membuatkan rakyat dalam negara muak dengan orang politik.

    “Sekejap cakap lain, esok cakap lain dan lusa cakap lain,” katanya.