Tag: belum daftar

  • 70,000 individu dewasa di Melaka belum divaksin

    70,000 individu dewasa di Melaka belum divaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengenal pasti seramai 69,972 individu dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera masih belum menerimanya.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, daripada jumlah itu 54,000 individu gagal tampil untuk menerima suntikan meskipun telah mendapat tarikh janji temu menerusi aplikasi Mysejahtera.

    “Antara alasan mereka tidak hadir ke PPV kerana ada yang telah mendaftar lebih daripada sekali di aplikasi MySejahtera selain permohonan itu didaftarkan oleh anak-anak.

    “Malah, ada juga yang daftar dengan nombor telefon bimbit yang salah dan tidak dapat dihubungi, jadi kami menyeru supaya mereka yang belum menerima vaksin untuk hadir ke PPV,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    JKN katanya, juga sedang berusaha bersama-sama MySejahtera untuk mendapatkan senarai nama mereka berpandukan maklumat yang diperoleh sebuah pasukan khas bagi menghubungi dan memujuk semua individu itu untuk hadir ke PPV terdekat.

    Rahmad berkata, kerajaan negeri membenarkan individu warganegara berusia 18 tahun ke atas yang masih belum menerima janji temu untuk hadir di mana-mana PPV awam bermula esok.

    Menurutnya, kepada bukan bukan warganegara lokasi pengambilan vaksin telah ditetapkan di PPV Mega Stadium Hang Jebat dan PPV Mega Stadium Jasin bermula pukul 8.30 pagi hingga puk 4 petang.

    “Namun, mereka yang bercadang untuk dapatkan vaksin secara jumpa terus (walk-in) perlu mendaftar di Mysejahtera.

    “Bagi yang belum mendaftar untuk vaksinasi atau tidak mempunyai telefon pintar juga dibolehkan walk-in untuk didaftarkan di PPV,” katanya.

  • Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    Lebih 235,000 penduduk Pahang layak terima vaksin belum daftar MySejahtera

    LEBIH 235,000 atau 20 peratus penduduk Pahang yang masih belum mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 walaupun layak untuk menerimanya, dinasihatkan mendaftar segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih pantas.

    Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar bagi mengawal COVID-19, dan sehingga hari ini lebih 50 peratus golongan dewasa di Pahang sudah menerima dua dos vaksin. 

    “Pahang hari ini merekodkan sebanyak 839 kes baharu, angka yang agak tinggi, namun jika kita lihat trend kumulatif mingguan dan purata seminggu kes harian, kita dapati ada menunjukkan penurunan. 

    “Trend penurunan ini pertama kali dilihat dalam tempoh sembilan minggu dan berlaku seiring dengan peningkatan liputan vaksinasi di Pahang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

    Pahang sebelum ini menyasarkan kira-kira 80 peratus penduduknya menerima vaksin lengkap pada penghujung Oktober iaitu sebelum musim tengkujuh bermula.- BERNAMA