Tag: belanja mewah

  • Lagi desakan siasat akaun PH dan BN

    Lagi desakan siasat akaun PH dan BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat secara terbuka berhubung dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung dakwaan tersebut yang menimbulkan pelbagai keraguan.

    Katanya, SPRM perlu menjalankan siasatan telus dan tidak mengikut telunjuk parti politik tertentu.

    “Seperti kita tahu, baru-baru ini berlaku siasatan terhadap Bersatu yang mana akaun dibekukan kerana dakwaan tidak berasas konon kita terima dana tak betul untuk kempen PRU15. Kita minta SPRM jangan hanya siasat akaun Bersatu, Pas dan Gerakan sahaja.

    “Siasat juga akaun PH dan BN. Jangan hanya dakwaan dan siasatan terpilih untuk memenuhi selera politik pimpinan atau parti politik tertentu menjadikan Bersatu mangsa kepada politik kotor,” katanya selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar hari ini.

    Tambahnya, pemimpin PH dan BN berbelanja besar apabila mampu mengadakan papan iklan, memberi cabutan bertuah kepada pengundi serta menggunakan helikopter sepanjang berkempen.

    “Sedangkan kita tahu syarat atau kelayakan bagi kerusi Parlimen seorang calon boleh berbelanja tidak lebih RM200,000. Saya buat laporan ini agar SPRM siasat secara telus dan adil kepada parti yang disebut termasuk Ahli Parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya.

    “Itu termasuk struktur organisasi parti sama ada berlaku transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa tempoh PRU15.

    “Sebelum ini juga media pernah melaporkan bahan kempen yang diguna oleh kedua-dua parti ini sangat mencurigakan apabila mampu menyewa papan iklan di lebuh raya, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan helikopter semasa berkempen, serta ada cabutan bertuah dengan hadiah yang mewah dan mahal,” katanya.

    Tambah Khairul Anuar, SPRM juga perlu menyiasat Anwar serta anaknya, Nurul Izzah yang dilaporkan tidak mengambil gaji bulanan.

    “Kedua-dua laporan tersebut menimbulkan persoalan bagaimana anak beranak ini menyara kehidupan atau adakah mereka menerima dana daripada sumber yang rahsia,” katanya.

  • Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

    BERSATU membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbelanjaan “mewah” Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

    Dakwa Ketua Bersatu Puchong Shukor Mustaffa, terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempennya.

    Malah beliau turut mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan presiden PKR, menggunakan helikopter mewah semasa kempen pilihan raya.

    “Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.

    “Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shukor juga mempersoal bagaimana Nurul Izzah boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar tanpa menerima sebarang pampasan mahupun gaji.

    Laporan itu menyusul desakan bekas pembantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, mahu SPRM menyiasat PKR dan DAP berhubung perbelanjaan ketika PRU15, termasuk sumber dana.

    Kenyataan Marzuki muncul selepas SPRM membekukan akaun Bersatu, dikatakan ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan Covid-19.

    Muhyiddin menafikan dakwaan sedemikian dan menegaskan pentadbirannya tidak pernah salah guna dana ketika beliau menjadi perdana menteri.

    Shukor mendakwa pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Bersatu bagi mencipta persepsi negatif, terutama menjelang pilihan raya negeri.

    Ads by Kiosked

    Beliau juga mendakwa, Bersatu dihukum tanpa “sebarang proses wajar”, sambil menyatakan akaun parti dibekukan sebelum SPRM melengkapkan siasatan.