Tag: beku akaun Bersatu

  • Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    PEMBEKUAN beberapa akaun milik Bersatu dianggap sebahagian agenda pihak tertentu untuk memberi persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu bagi menutup kelemahan kerajaan PH-BN yang belum berjaya menangani isu-isu membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang semakin membebankan.

    Menurutnya, melalui strategi itu mereka berharap dapat memberi persepsi buruk kepada PN, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    “Mereka tahu sokongan dan gelombang kebangkitan rakyat masih bersama PN. Oleh itu pihak terbabit terpaksa mencipta agenda bagi memburukkan PN,” katanya di sini.

    Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

    Mengulas lanjut, Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, orang ramai boleh melihat laporan audit Bersatu tahun 2020 yang tular.

    “Daripada pemerhatian saya terhadap laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang didakwa pihak terbabit.

    “Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Saya mengalu-alukan siasatan SPRM bagi menangani persepsi liar sebelum ini,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau turut yakin SPRM sebuah badan yang berintegriti dan menjalankan tugas secara professional.

  • Beku akaun Bersatu beri persepsi PN ada masalah integriti, kata Tuan Ibrahim

    Beku akaun Bersatu beri persepsi PN ada masalah integriti, kata Tuan Ibrahim

    PEMBEKUAN akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sengaja dilakukan bagi memberi persepsi kepada masyarakat akan masalah integriti kepada Perikatan Nasional (PN) dan bukannya isu penyelewengan.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tindakan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada PN.

    “Ini sengaja dibuat untuk menggambarkan kepada rakyat nak bina satu persepsi PN ada masalah integriti, sasarannya bukan soal penyelewengan, itu insya-Allah tidak berlaku.

    “Tapi nak terrorize (rasa takut) PN terutamanya menghadapi PRN nanti. Bagi kita bila dah disiasat SPRM, tidak ada pun sebetulnya, operasi harian parti, politik mesti diteruskan, kewangan mesti digerakkan kalau akaun dibeku menyusahkan parti itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, ia disifatkan sebagai satu usaha untuk merosakkan nilai integriti yang menjadi asas PN selama ini.

    “Strategi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan usaha merendahkan PN dari segi integriti, kestabilan.

    “Ini asas kepada sokongan rakyat kepada PN. Mereka akan usaha supaya nilai integriti dirosakkan.

    “Saya fikir itu sahaja, tidak ada isu pun sebenarnya,” tambahnya, lapor Astro AWANI.

    Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, Pas terbuka untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana agensi berhubung siasatan terhadap Bersatu ketika ini.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.

  • Beku akaun proses siasatan, bukan bersalah

    Beku akaun proses siasatan, bukan bersalah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMBEKUAN akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bernilai lebih RM40 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah proses biasa dalam menjalankan siasatan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembekuan akaun tersebut bukan bermakna parti tersebut bersalah tetapi bagi memudahkan proses siasatan.

    “Beku akaun tu bukan bersalah, itu proses siasatan. Ada sesetengah orang yang anggap apa-apa yang beku itu salah, dak (bukan) belum lagi. Nak siasat, supaya akaun itu tak berlaku transaksi, maka dibekukan sementara,” katanya.

    Beliau mengulas tentang akaun Bersatu yang dibekukan bagi membantu siasatan berhubung kononnya terdapat penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah itu menghadiri Majlis Penyampaian Geran dan Hari Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, hari ini.

    Tambah Muhammad Sanusi, tiada larangan untuk mana-mana parti politik menerima sumbangan daripada pihak tertentu bagi kegunaan parti kerana tiada akta mengenai dana politik di negara ini.

    Jelas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, mana-mana pihak boleh memberikan sumbangan kepada parti politik yang dikehendakinya dan parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan tersebut.

    “Dulu nak dibentang di Parlimen akta dana politik ini, untuk larang parti-parti terima derma. Habis parti nak bergerak macam mana? Larat (mampu) kah orang nak jadi macam Pas semua. Pas tak apa, tok lebai tin milo. Kami guna duit poket kami,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, penduduk yang tidak berjaya memohon unit kediaman di dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Langkawi tidak patut tuding jari kepada kerajaan negeri kerana prosesnya dikendalikan Kerajaan Persekutuan.

    Katanya, proses permohonan dan pemilihan PPR adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk proses tapisan, temuduga, dan pemilihan penghuni.

    “Kita pernah hantar senarai yang diuruskan kerajaan negeri tetapi KPKT ada senarai sendiri dan saya harap pada masa depan KPKT akan terus memberikan projek-projek PPR ini untuk beberapa lokasi lagi, kita akan sediakan tanah,” katanya.

    Tambahnya, setakat hari ini beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 200 kekosongan lagi bagi kedua-dua PPR tersebut dan proses rayuan sedang diuruskan oleh KPKT untuk diberikan kepada pemohon yang layak.

  • Beku akaun bukan bermakna bersalah, hanya prosedur siasatan

    Beku akaun bukan bermakna bersalah, hanya prosedur siasatan

    TINDAKAN membekukan akaun Bersatu yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukanlah bermakna parti itu telah membuat kesalahan namun ia adalah prosedur siasatan yang dilakukan pihak berkenaan.

    Menurut Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan sebelum ini tidak ada apa-apa perkara yang tidak kena susulan dakwaan penyelewengan dana melibatkan beberapa pakej rangsangan ekonomi sejak 2020.

    “Cuma sepatutnya tak boleh menyekat semua dan belum diputuskan salah, kes masih dalam siasatan.

    “Atau mungkin sebaliknya ada unsur lain, balas dendam dan sebagainya,” katanya kepada BeritaBersatu, hari ini.

    Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Bersatu kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menjadikan agensi kerajaan sebagai alat mencapai matlamat politik untuk membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

    Hamzah berkata, parti itu bagaimanapun akan terus memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya fitnah dapat dihentikan segera susulan pembekuan akaun milik parti itu.

    “Saya merujuk kepada laporan berita mengenai pembekuan akuan bank Bersatu oleh SPRM. Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.

    “Pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga sudah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Jelas Hamzah, pihaknya yakin rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN, yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepostime kerajaan mereka.

    “Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Semua ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian serta fitnah ini,” katanya.