Tag: bekerjasama

  • Pemberian wang kepada pengundi, Pas sedia beri kerjasama

    Pemberian wang kepada pengundi, Pas sedia beri kerjasama

    PAS sedia memberi kerjasama kepada agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, setakat ini, tiada pemimpin daripada parti itu dipanggil SPRM berhubung isu tersebut.

    “Saya tak pasti, tetapi saya rasa SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus, Insya-Allah, saya tak pasti siapa yang dipanggil dan sebagainya.

    “Setakat ini, belum ada (pemimpin Pas dipanggil) tetapi (kita) sedia bekerjasama dengan SPRM dan mana-mana agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu Kali Ke-2/2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

    Terdahulu, sebuah portal melaporkan SPRM mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada PRU15.

    Menurut sumber, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada PAS bagi tujuan mengundi.

  • PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama itu penting kerana PAS melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kerana itu saya melihat bahawa perlunya ada kerjasama menyeluruh (antara PN dan BN) yang kami harapkan tetapi PAS bersedia, kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang telah diumum, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Melaka di Semabok di sini malam tadi.

    Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipetik sebagai berkata PH berpotensi menang besar pada PRU15 ini berikutan terdapat 27 kerusi berisiko besar jatuh ke tangan PH jika tiada perpaduan antara BN dan PN.

    Mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara prinsipnya PAS akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.

    “Tentang logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tapi ini perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan parti,” katanya.- BERNAMA