Tag: bekas pembantu Anwar Ibrahim

  • Mahkamah dengar rayuan bekas pembantu Anwar 7 April

    Mahkamah dengar rayuan bekas pembantu Anwar 7 April

    MAHKAMAH Rayuan akan mendengar rayuan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuntutan balas terhadap dakwaan salah laku seksual pada 7 April ini.

    Mahkamah itu juga akan mendengar rayuan Yusoff Rawther terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membuang beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan presiden PKR itu.

    Peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar berkata, tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Zuhrina Mohamed Nor hari ini.

    “Pihak-pihak itu telah diarah memfailkan hujahan bertulis mereka menjelang 9 Mac. Prosiding akan dijalankan dalam talian,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Johan Lee dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept tahun lalu berkata, permohonan Yusoff tanpa merit dan saman itu perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

    Ia berhubung saman difailkan Yusoff terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 yang mendakwa serangan seksual oleh bekas majikannya.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

    Dakwanya, akibat kejadian itu, dia dituduh merancang untuk menjatuhkan Anwar dan merosakkan kerjaya politiknya dan ini menjejaskan kesihatan mentalnya.

    Dia menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Yusoff memfailkan satu permohonan pada Disember 2021 untuk mengeluarkan beberapa perenggan dalam pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

    Katanya, tuntutan balas Anwar bersifat spekulatif, kabur dan tidak mempunyai kejelasan serta butiran.

    Beliau berkata, tuntutan balas itu tidak mengenal pasti sebarang punca tindakan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

  • Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam memerintahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah Yusoff Rawther.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ishak Bakri Yusof berkata, Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar, membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.

    Peguam Yusoff, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff.

    Menurut kenyataan itu, Nashrul akan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini dan kandungan itu perlu diterima oleh Yusoff.

    Beliau juga perlu menarik balik kenyataan media fitnahnya yang dikeluarkan pada 10 Jun 2019.

    Yusoff memfailkan saman itu pada 12 Sept 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul menjatuhkan reputasinya di mata orang ramai.

    Selain saman fitnah terhadap Nashrul, Yusoff memfailkan satu lagi saman terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas serangan.

    Yusoff turut memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

    Yusoff mendakwa mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan kes itu belum selesai di mahkamah.