SEORANG bekas pelajar kurang upaya di sekolah pendidikan khas, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, semalam, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman ke atas empat pihak berhubung insiden dibuli oleh rakan sekolah.
Empat pihak terbabit ialah sekolah berkenaan, pengetua sekolah sama, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden, lapor Berita Harian.
Lelaki berkenaan yang memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co, mendakwa tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan dibuat Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang menolak tuntutannya dengan kos RM10,000 kepada responden.
Menurut Peguam bela perayu, Sangeet Kaur Deo ketika dihubungi, mengesahkan perkara berkenaan.
Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan bekas pelajar terbabit selaku plaintif, tidak berjaya membuktikan defendan gagal menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat di sekolah berkenaan.
Nik Hasmat menegaskan, pembelaan juga gagal membuktikan wujud kecuaian mengikut undang-undang daripada pihak defendan hingga menyebabkan plaintif dibuli.
Bekas pelajar lelaki itu yang kini berusia 25 tahun, memfailkan saman melalui ibu angkatnya pada 26 Mei 2017, masing-masing bertindak sebagai plaintif pertama dan kedua.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif pertama yang didiagnosis menghidap ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD) sejak berusia empat tahun, turut mempunyai masalah di kaki kiri yang menyebabkannya sukar untuk duduk di atas lantai seperti pelajar lain.
Plaintif pertama didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas pada awal 2016 dan ditempatkan di asrama penuh sekolah terbabit.
Sebelum itu, plaintif pertama adalah seorang pelajar di sekolah menengah biasa dan tahap pendidikannya hanya pada tahap tadika.
Di sekolah baharu, plaintif pertama didakwa dimasukkan ke kelas mengikut budi bicara sekolah, pengetua dan kementerian tanpa pemeriksaan sesuai, saringan khusus serta tanpa sebarang langkah mengenal pasti secara spesifik masalah pembelajarannya.
Sekolah itu dikatakan tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap pelajar mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran, sebaliknya semua pelajar autisme dilabelkan secara am, iaitu mempunyai masalah pembelajaran.
Plaintif mendakwa, defendan tiada menyediakan sistem pelajaran yang sesuai dan spesifik kepada masalah pembelajaran kanak-kanak istimewa, selain tidak melaksanakan sistem pendidikan khas yang berstruktur.
Plaintif mendakwa pada jam 10 malam 17 Mei 2016, seorang pelajar istimewa datang ke bilik asrama plaintif pertama dan mengikat kakinya di katil sebelum menumbuknya di bahu kiri.
Ibu angkatnya hanya mengetahui perkara itu selepas diberitahu plaintif pertama walaupun warden dikatakan tahu mengenai kejadian itu.
Dalam kejadian lain, plaintif mendakwa, plaintif pertama turut diludah di kepala oleh pelajar lain ketika bersolat di surau asrama dan ditendang serta ditumbuk dari belakang.
Selain itu, plaintif mendakwa, barang keperluan plaintif pertama seperti baju sukan turut dicuri, namun pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan.
Dakwa plaintif lagi, plaintif pertama berkali-kali diganggu dan didera secara mental oleh pelajar lain, selain dipanggil dengan kata-kata kesat, yang diketahui pihak sekolah dan pengetua tetapi tiada tindakan diambil walaupun aduan sudah dibuat.
Sehubungan itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan, selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa lain.