Tag: bekas diplomat

  • Bekas diplomat, anak didakwa tanam pokok ganja

    Bekas diplomat, anak didakwa tanam pokok ganja

    SEORANG bekas diplomat bergelar Datuk dan anaknya mengaku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas pertuduhan menanam 102 pokok disyaki pokok ganja, bulan lalu.

    Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal Zainal Abidin Alias, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Kedua-dua tertuduh turut memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam 102 pokok ganja di Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong pada pukul 6.10 petang, 21 Mei lalu.

    Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab. Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai depan.

    Sementara itu, Rahmat turut memberitahu mahkamah satu surat representasi dihantar ke Pejabat Peguam Negara 2 Jun lalu.

  • Pegawai polis SB saman fitnah pengarah kanan Bukit Aman, bekas diplomat

    Pegawai polis SB saman fitnah pengarah kanan Bukit Aman, bekas diplomat

    SEORANG pegawai polis Cawangan Khas (SB) memfailkan dua saman fitnah terhadap seorang pengarah kanan Bukit Aman dan bekas diplomat kerana menuduhnya membuat tuntutan palsu pada 2020 dan 2021.

    Pegawai terbabit, Asisten Superintendan Azwan Jamaldin didakwa membuat beberapa tuntutan palsu berjumlah RM63,704 bagi menyelenggara dan membaiki kenderaan pegawai perhubungan polis Malaysia di Pontianak, Indonesia.

    Harian Metro melaporkan, saman itu yang dibuat secara berasingan menamakan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din serta bekas konsul Malaysia ke Pontianak, Mohiuddin Ghazali sebagai defendan difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, minggu lalu.

    Berdasarkan writ saman itu, Azwan mendakwa Mohiuddin secara palsu dan berniat jahat menulis dan menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah mengenainya menerusi emel antara 23 Disember 2020 dan 8 Mac 2021.

    Mohiuddin didakwa menulis emel kepada seorang pegawai Wisma Putra pada Ogos 2021 untuk menggesa pasukan petugas menyiasat tuntutan perbelanjaan Azwan.

    Pasukan petugas itu kemudian mengesahkan Azwan memalsukan tuntutan berkenaan.

    Beliau turut mendakwa Ramli menulis surat yang didakwa berunsur fitnah pada 23 Mac 2021 berdasarkan dakwaan Mohiuddin dan menghantarnya kepada beberapa pegawai tertinggi polis.

    Mereka termasuk bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Cheong Koon Kock; Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas, Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid; Ketua Polis Negara ketika itu serta kerajaan.

    Azwan yang menuntut ganti rugi daripada defendan mendakwa reputasinya sebagai anggota polis tercemar teruk dan beliau tidak dinaikkan pangkat disebabkan tuduhan itu.

    Peguam Azwan, M. Manoharan mengesahkan beliau memfailkan saman itu bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu.

    Katanya, semasa pengurusan kes, mahkamah meminta Ramli memfailkan pembelaannya sebelum 15 Jun depan manakala pengurusan kes membabitkan Mohiuddin pada 3 Jun ini.