Tag: Bekas calon bebas Port Dikcson didakwa bunuh suami

  • Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    Isteri rancang, upah 4 lelaki samun, bunuh suami

    POLIS menahan seorang wanita yang dipercayai mengupah empat lelaki untuk menyamun dan membunuh suaminya di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, dekat Klang, Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, turut ditahan adalah empat lagi suspek dipercayai kenalan wanita berusia 37 tahun terbabit yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

    “Motif kejadian itu dipercayai disebabkan dendam dan kepentingan diri. Terdahulu polis menerima panggilan orang awam pada pukul 1.15 pagi Khamis, memaklumkan terdapat pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan mangsa terbaring di hadapan sebuah rumah.

    “Polis kemudian menemui mangsa lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, terdapat dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng serta bersenjata pisau telah memasuki rumah melalui pintu hadapan.

    “Dakwanya, suspek telah menikam suaminya sehingga menyebabkan kematian, selain menggeledah rumah mereka serta mengambil pelbagai beg tangan yang berjenama, barang kemas dan juga sejumlah wang tunai RM40,000 sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan jenis BMW.

    “Jumlah kerugian mencecah RM100,000. Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya lapor Astro Awani.

    Hasil bedah siasat ke atas mangsa katanya, mendapati terdapat 14 tikaman di badannya menggunakan senjata tajam yang menjadi punca kematiannya.

    Beliau berkata, polis kemudian mendapati keterangan isteri mangsa mencurigakan sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.

    Katanya, siasatan kemudian mendapati wanita itu merancang dan membuat persiapan untuk membunuh suaminya sendiri.

    “Isteri mangsa juga telah memberikan maklumat individu lain yang turut terlibat sama dan polis menahan semua empat suspek lelaki berusia 20 hingga 36 tahun di Klang dan Negeri Sembilan pada hari sama.

    “Empat lelaki terbabit didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

    “Polis turut merampas kereta BMW yang digunakan semasa kejadian serta barangan samun,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua mereka direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

  • Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan hari ini  atas pertuduhan membunuh suaminya yang ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam pada 23 Januari lepas.

    Lau Seck Yan, 55,  yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan syarikat swasta di rumah berkenaan di Jalan TK 6/2 Rasa Kemayan Golf & Country Township, Seremban, antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    “Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu…tidak harus dituduh di bawah akta tersebut,” kata Lau.

    Norzaliza memberitahu tertuduh bahawa dia perlu berbincang dengan peguam yang dilantik sekiranya terdapat perkara yang ingin dimaklumkan kepada mahkamah.

    Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Lau memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan turut memaklumkan kes itu berkaitan hal keluarga. 

    Beliau juga memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital untuk menjalani rawatan psikiatri.

    Mahkamah tidak membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin dan turut menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini serta  menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, pekarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi anggota polis pada 9.30 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

    Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian. – Bernama