Tag: bekalan telur ayam

  • Wan Saiful persoal eksport telur ayam ketika bekalan domestik belum selesai

    Wan Saiful persoal eksport telur ayam ketika bekalan domestik belum selesai

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendesak kerajaan menjelaskan kepada rakyat jumlah sebenar telur yang dieksport ke luar negara ketika ini.

    Sehingga kini kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, masih belum kedengaran masalah mengenai bekalan telur eksport.

    Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan bagaimana telur ayam boleh dieksport ke luar negara sekiranya bekalan untuk pasaran tempatan tidak mencukupi.

    “Saya nak tanya, kalau ayam Malaysia belum bertelur, mana pula datangnya telur ayam yang berbondong-bondong dieksport ke Singapura?

    “Sebab sehingga kini kita belum pernah dengar bekalan telur eksport bermasalah. Kenapa eksport boleh tapi bekalan domestik tak selesai?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh semalam bahawa kekurangan bekalan telur ayam masih berlaku di seluruh negara disebabkan baka ayam penelur yang baru dibawa masuk ke negara ini masih belum bertelur.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, mengikut perangkaan ternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kadar pengeluaran telur negara pada 2021 adalah sebanyak 13,955,240,660 biji.

    Menurutnya, jumlah itu hampir 14 bilion biji dan merupakan satu jumlah yang besar.

    “Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia berjumlah 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti diberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.

    “Maksudnya, kalau pengeluaran 14 bilion biji tapi penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful meminta kerajaan bersikap telus dalam isu bekalan telur ayam dan menteri perlu menjelaskan segera perangkaan jumlah pengeluaran telur tempatan dan telur yang dieksport.

    Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan kenapa bekalan telur domestik tidak mencukupi serta tidak menyembunyikan fakta dan cuba melindungi mana-mana pihak.

    “Perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) ini?

    “Dan apakah dengan jaminan Fuziah bahawa dalam masa dua bulan lagi bekalan telur akan pulih, AP akan dihentikan pada April ini?

    “Kerana kita tidak mahu ada pula kroni baharu PH-BN mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful meminta kerajaan menjelaskan mengenai jumlah keseluruhan pengeluaran telur oleh lima syarikat pengeluar terbesar tempatan iaitu QL Resources Berhad, LTKM Berhad, CCK Consolidated Holdings Berhad, Lay Hong Berhad dan Teo Seng Capital Berhad.

  • Bekalan telur ayam masih belum stabil

    Bekalan telur ayam masih belum stabil

    BEKALAN telur ayam di Pahang didapati masih belum stabil dan tidak menentu sekali gus merunsingkan orang ramai.

    Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Sungai Lembing, Indera Mahkota, Kota SAS, Balok, Sungai Soi dan Batu 6 di Kuantan, mendapati bekalan telur ayam terutama 30 biji untuk satu papan masih sukar diperoleh.

    Malah kebanyakan pasar raya didapati menjual telur ayam jenis Omega 30 biji satu papan pada harga antara RM17.90 hingga RM20, manakala saiz telur, A, B, C dan D, dijual 10 biji untuk satu bekas.

    Peniaga, Mohd Sukhri Mat Yaki,38, berkata, masalah bekalan telur itu masih berlaku.

    “Pengguna terutama peniaga kecil seperti kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan, malah terpaksa mencari dari kedai ke kedai untuk mendapatkannya,” katanya kepada Harian Metro di Balok dekat sini, hari ini.

    Suri rumah, Siti Noor Hasmah Tahir, 40, berkata, penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak tiga bulan lalu.

    Katanya, ada peniaga kedai runcit hanya menjual 10 biji sahaja kepada setiap pelanggan.

    “Memang susah untuk mendapatkan kuantiti telur 30 biji satu papan di sini,” katanya yang menetap di Sungai Lembing.

    Peniaga kedai runcit Pasar Besar Kuantan, G Padmi, 64, pula berkata, dia memperoleh jumlah bekalan yang semakin berkurangan daripada pembekal.

    “Turun sahaja daripada lori, pembeli sudah tunggu. Dalam tempoh satu atau dua jam, telur sudah habis terjual.

    “Pembekal pula hanya datang dua kali seminggu dan bekalan telur diagihkan berdasarkan permintaan peniaga. Memang tidak mencukupi,” katanya yang sudah berniaga hampir 40 tahun lalu.