Tag: bayi

  • Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    Mayat bayi lelaki 4 bulan dibuang dalam tong sampah

    MAYAT bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan ditemukan di tempat pembuangan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki di lokasi tersebut kira-kira 3 petang.

    “Hasil pemeriksaan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang wanita warga asing dan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 40-an di sekitar lokasi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah tahanan reman bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Bayi cedera kepala dan muka, mungkin dilanggar kereta bapa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG bayi berusia setahun mengalami kecederaan di kepala disyaki akibat dilanggar bapanya ketika mengundurkan kereta di Alor Setar, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk S. Suresh Kumar berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah bayi tersebut dibawa untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    Menurutnya, kira-kira pukul 10.56 malam tadi, seorang pegawai perubatan di hospital tersebut membuat laporan kepada pihak polis mengenai kecederaan dialami bayi tersebut.

    “Pada awalnya, bayi itu didakwa cedera di bahagian kepala termasuk melecet di muka kerana ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.

    “Bagaimanapun siasatan pihak polis mendapati mangsa telah dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tambahnya, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pengawasan unit rawatan rapi (ICU) HSB.

    “Berikutan itu, bapa mangsa yang merupakan seorang warganegara asing ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Menurutnya, siasatan lanjut turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana bapa bayi tersebut disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

  • Bayi sebulan perlu RM50,000 untuk bedah jantung

    Bayi sebulan perlu RM50,000 untuk bedah jantung

    SEORANG bayi berusia sebulan, Ayra Inara Alif Imran memerlukan dana sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan jantung segera bagi menyelamatkan nyawanya.

    Bayi yang dilahirkan secara pembedahan pada saat-saat akhir itu dikesan mempunyai masalah saluran darah di bahagian jantung yang sempit sehingga bekalan oksigen di dalam badannya tersekat.

    Lebih malang menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau, Ayra Inara turut dikesan menghidap masalah buah pinggang.

    Katanya, ketika ini bayi tersebut ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital dan perlu menggunakan bantuan pernafasan serta ubat untuk mengembangkan saluran darah jantungnya bagi membolehkan bekalan oksigen dibekalkan ke seluruh tubuh khususnya di bahagian bawah badan.

    Ujar Sui Hau, penggunaan ubat yang berterusan bagaimanapun memburukkan masalah buah pinggangnya pembedahan jantung perlu dijalankan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah itu.

    “Sepatutnya pembedahan Ayra Inara dilakukan di IJN (Institut Jantung Negara) atau Hospital Serdang (Selangor) namun memakan masa selain hospital tersebut digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19 ketika ini.

    “Maka, satu pembedahan jantung perlu dibuat di hospital swasta dengan kos yang dianggarkan mencecah RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas Sui Hau, bapa bayi tersebut, Alif Imran Abd. Aziz, 25, bekerja sebagai operator kilang manakala ibunya, Alkma Nordin, 25, merupakan pembantu klinik gigi swasta dengan masing-masing berpendapatan RM1,500 dan RM1,000.

    Katanya, pasangan suami isteri itu juga memiliki seorang lagi anak berusia tiga tahun yang kini dijaga oleh neneknya dan mereka tidak mampu mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan itu.

    “Kami bersetuju membantu pasangan itu mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Ayra Inara.

    “Sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3201428817,” katanya.

  • Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah direman enam hari bermula semalam.

    Perintah reman hingga 29 September ini dikeluarkan ke atas suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika memaklumkan perkara itu turut memberitahu perkembangan keadaan mangsa.

    “Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.

    Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Polis kemudiannya bertindak menahan suspek.

  • Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    Wanita warga Nepal ditahan sembunyikan mayat bayi

    ALASAN sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

    “Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Kata beliau hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

    “Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

    Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.- BERNAMA

  • Bayi dilahirkan wanita Malaysia di luar negara berhak dapat kerakyatan

    Bayi dilahirkan wanita Malaysia di luar negara berhak dapat kerakyatan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

    Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, ketika dihubungi Bernama, berkata Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

    “Hakim itu membuat keputusan selepas meneliti beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

     “Beliau turut memerintahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan agar mengeluarkan dokumen seperti kad pengenalan kepada bayi terbabit,” katanya sambil menambah hakim itu tidak membuat perintah mengenai kos memandangkan kes ini membabitkan isu kepentingan awam.

    Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu pada prosiding dalam talian selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

    Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Dis tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

    Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. 

    Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN sebagai defendan. Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

    Presiden Family Frontiers Suri Kempe pula berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukan sahaja amat melegakan ibu yang terjejas dalam kes ini tetapi juga semua wanita Malaysia dalam situasi sama.

    “Keputusan ini mengiktiraf kesaksamaan wanita Malaysia dan merupakan satu kemajuan ke arah Malaysia yang lebih egalitarian serta adil,” menurutnya dalam kenyataan.-BERNAMA

  • Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    MAYAT seorang bayi lelaki ditemukan terapung di dalam sebuah loji kumbahan di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi cukup sifat itu daripada orang awam pada 10.38 pagi tadi yang ternampak satu objek dipercayai seorang bayi terapung di dalam loji berkenaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati objek itu adalah mayat seorang bayi lelaki dengan anggaran kematian bayi tersebut lebih dari sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya kepada polis.- BERNAMA