Tag: Bayi maut

  • Bayi dalam kandungan maut selepas dihentam muatan lori

    Bayi dalam kandungan maut selepas dihentam muatan lori

    PASANGAN suami isteri masih trauma selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak pertama mereka.

    Nahas telah meragut nyawa bayi dalam kandungan serta menyebabkan kecederaan teruk pada ibu yang sarat mengandung.

    Menerusi satu perkongsian di Facebook Ding Sheng Koh semalam, muatan lori itu didakwa melebihi had keselamatan sehingga menjadi punca kemalangan.

    Kemalangan tersebut berlaku di Gerik menuju ke Titiwangsa, pada Oktober yang lalu.

    Dia yang berkongsi rakaman papan pemuka menunjukkan sebuah lori di laluan bertentangan memandu secara laju sehingga menyebabkan muatan dibawa terjatuh lalu menghempap dua buah kenderaan.

    Kata Sheng Koh, syarikat lori tersebut tidak mengambil sebarang tindakan susulan kejadian tersebut walaupun sudah hampir dua bulan berlalu.

    “Kemalangan ini boleh dielakkan, tetapi ia disebabkan oleh pemandu yang melulu dan kecuaian syarikat lori yang menjadi punca.

    “Tiada sesiapa dari syarikat lori telah menghubungi untuk memohon maaf atau mengucapkan takziah sejak kemalangan itu berlaku,” tulisnya, lapor Utusan TV.

    Luahnya lagi, kerana kejadian itu juga ia telah memusnahkan harapan keluarganya dan setiap hari terpaksa melihat isterinya menangis.

    “Disebabkan kemalangan ini, rahim isteri saya pecah, tulang belakangnya terbelah, tiga tulang rusuk patah, otak dan hatinya cedera.

    “Ini anak pertama kami, kenapa kamu semua begitu kejam sangat nak rampas dia daripada kami?,” tanya Sheng Koh.

  • Bayi tiga bulan maut di pusat pencari suaka penuh sesak

    Bayi tiga bulan maut di pusat pencari suaka penuh sesak

    KEMATIAN seorang bayi berusia tiga bulan minggu ini di pusat pencari suaka di Belanda, telah membuka mata mengenai masalah kekurangan tempat tinggal untuk pelarian di negara itu, yang kini menjadi krisis nasional.

    Inspektorat Kesihatan dan Penjagaan Belia dalam satu kenyataan berkata bayi itu meninggal dunia pagi Rabu di dewan sukan yang dijadikan pusat penerimaan pencari suaka di kampung Ter Apel.

    Kenyataan itu menyatakan punca kematian sedang disiasat.

    “Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia malam tadi di dewan sukan di Ter Apel. Seperti semua orang, saya amat terkejut dengan peristiwa itu,” ciap Setiausaha Kerajaan Negeri Eric van der Burg di Twitter.

    Keadaan penuh sesak di pusat permohonan suaka di Ter Apel, yang berlarutan selama berbulan-bulan, telah bertukar menjadi krisis nasional.

    Ketika kerajaan Belanda cuba menangani masalah itu, pasukan Palang Merah Belanda memasang khemah di taman pusat itu kerana kekurangan katil tetapi mengalihkannya akibat reaksi yang diterima daripada penduduk tempatam.

    Meskipun khemah-khemah telah dipindahkan, ramai pelarian termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua terus tidur di taman itu.

    Kerajaan Belanda mengalami masalah dalam mencari tempat untuk pelarian kerana kekurangan ruang di pusat suaka dan ketidakupayaan majlis perbandaran untuk menyediakan penempatan sesuai kepada pelarian.

    Ketika kerajaan cuba memindahkan mereka melalui Agensi Pusat Penerimaan Pencari Suaka (COA) ke hotel yang dibeli di kampung Albergen untuk menempatkan 300 pelarian, ia juga berdepan bantahan daripada penduduk tempatan.

    Di samping itu, Van der Burg telah mencadangkan untuk menjadikan kapal penjelajah sebagai pusat penginapan sementara sebagai satu cara untuk membantu menyelesaikan masalah itu.- BERNAMA

  • Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Bayi maut, tujuh lagi cedera kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi berusia lima bulan meninggal dunia manakala tujuh lagi termasuk dua kanak-kanak dan warga emas cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan masuk dalam parit di Kilometer 161.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Tangkak malam tadi.

    Pihak bomba menerima laporan kejadian itu pada jam 8.19 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari BBP Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dalam parit. Terdapat lapan mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut.

    “Seorang bayi perempuan berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain itu katanya, seorang wanita dewasa, seorang wanita warga emas, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera.

    Jelasnya, dalam kemalangan tersebut semua mangsa tidak tersepit dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa.

    Menurutnya, empat daripada mangsa dihantar ke hospital menaiki EMRS manakala tiga lagi mangsa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 9.01 malam,” katanya.

  • Bayi maut jatuh ke dalam lubang tandas sebaik dilahirkan – Bomba Selangor

    Bayi maut jatuh ke dalam lubang tandas sebaik dilahirkan – Bomba Selangor

    SEORANG bayi lelaki meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang tandas sebaik sahaja dilahirkan di sebuah rumah di Parit 7, Sekinchan, Shah Alam, petang tadi.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata ketika kejadian kira-kira 4.03 petang itu, seorang wanita yang sedang mengandung kira-kira tujuh bulan melahirkan bayinya secara tidak sengaja di dalam tandas ketika hendak membuang air besar.

    “Bayi yang dilahirkan telah terjatuh ke dalam (lubang) mangkuk tandas dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa 10 minit setelah memecahkan tandas tersebut,” katanya.

    Beliau berkata bayi tersebut disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan ibunya yang berumur 37 tahun berada dalam keadaan stabil serta telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang menggunakan ambulans. – Bernama