Tag: bayar gantirugi

  • Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan sebuah hospital swasta membayar ganti rugi RM700,000 kepada sepasang suami isteri yang kematian bayi mereka selepas dilahirkan di pusat perubatan itu tujuh tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Akhtar Tahir memerintahkan bayaran ganti rugi teladan RM500,000, selain RM200,000 untuk penderitaan kepada Nur Amalina Ismail dan suaminya, Syed Afi Said Merah.

    Pasangan itu yang diwakili peguam Farhana Abdul Halim, turut menerima bayaran kos RM30,000.

    Menurut Akhtar, terdapat kelewatan melampau di pihak doktor yang merawat Nur Amalina, menyebabkan komplikasi pada bayi dalam kandungan sehingga membawa kepada kematian.

    “Tiada penjelasan munasabah mengenai kelewatan ini, selain sikap tidak endah doktor terhadap tugasnya,” katanya dalam alasan bertulis yang dikeluarkan semalam.

    Akhtar berkata, beliau mempertimbangkan sikap doktor itu cenderung kepada “kesemberonoan dan kecuaian jenayah”.

    “Ia sebagai pengajaran kepada profesional perubatan dalam menjalankan tugas mereka. Satu mesej jelas perlu disampaikan bahawa sikap sedemikian tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan kematian,” katanya.

    Keputusan lisan itu disampaikan pada 17 Jan lalu terhadap doktor itu dan Hospital Pusrawi Sdn Bhd sebagai defenden kedua.

    Kedua-dua defendan yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan P Tishondra, merayu kuantum itu ke Mahkamah Rayuan.

    Hakim berkata, Nur Amalina mengalami kecemasan selepas air ketubannya pecah pada 6 Nov 2016 ketika berada di hospital itu untuk melahirkan anaknya.

    Katanya, doktor menyerahkan kepada jururawat dan hanya melawat Nur Amalina keesokannya.

    Ketika memeriksa Nur Amalina, doktor itu segera mengarahkan pembedahan kecemasan dilakukan.

    Ketika dilahirkan, leher bayi itu didapati terbelit tali pusat menyebabkan bayi itu meninggal dunia sehari kemudian.

  • 2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang baharu dipilih, baru-baru ini, membayar ganti rugi RM350,000 kerana memfitnah bekas timbalan menteri, Chew Mei Fun, berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

    Lapor Free Malaysia Today, Hakim Roslan Abu Bakar berkata, Chew juga bekas naib presiden MCA, telah membuktikan kesnya terhadap dua pemimpin DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

    Chew telah menyaman Pua berhubung artikel diterbitkan dalam Malay Mail dan Nanyang Siang Pau serta di FMT, pada September 2017.

    Yeo juga disaman berhubung video yang diterbitkan di Facebook dan Nanyang Sian Pau, pada bulan sama.

    Pua dan Yeo mendakwa Chew, yang menganggotai jawatankuasa tanah daerah, telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

    Dalam keputusannya, Roslan berkata, kedua-dua penerbitan itu memfitnah Chew dan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan Reynolds yang dibangkitkan oleh kedua-duanya telah gagal.

    Pua dan Yeo diperintahkan membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi.

    Chew, yang diwakili Rueben Mathiavaranam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

    Pua dan Yeo diwakili Syahredzan Johan.

    Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

    Beliau dilantik sebagai senator antara 2014 dan 2017.

    Ketika kenyataan menyinggung itu dibuat, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Yeo ADUN Damansara Utama.

    Mereka mendakwa, Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik berkepentingan.

    Bagaimanapun, Chew berkata, beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana perkara melibatkan tanah adalah di luar bidang kuasanya.

    Beliau juga berkata, Yeo mendakwa tanah berkenaan digunakan oleh penduduk setinggan bagi penanaman buah naga pada masa ia dijual kepada MCA.

  • Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghantar surat tuntutan (LoD) kepada Rafizi Ramli susulan tindakannya memfitnah beliau dan keluarga berhubung isu perolehan meriam artileri jenis ‘Self-Propelled Howitzer’ (SPH).

    Beliau sehubungan itu berkata, Rafizi dituntut membayar kos ganti rugi am dan teladan RM500,000, serta mahu timbalan presiden PKR itu memadam pernyataan fitnah; berhenti menyebar dan mengulangi kenyataan fitnah, selain membuat permohonan maaf terbuka.

    “Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah. Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

    “Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today..

    Ikmal Hisham berkata, Rafizi tidak sepatutnya melibatkan anak dan isteri sesiapa pun dalam politik kerana ingin meraih undi semata-mata.

    Terdahulu, Rafizi berterusan membuat pendedahan mengenai penglibatan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH, bagaimanapun laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan itu, pada 7 Okt.

    Ikmal Hisham ketika mengulas lanjut, berkata Rafizi bertindak sedemikian berikutan mulai takut gelombang sokongan diterima Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Beliau sebelum ini sudah berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja ketat.

    “Ia juga mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.