Tag: Bayan Lepas

  • Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    Peniaga hentikan Menu Rahmah, tiada sambutan, alami kerugian

    SEORANG pemilik restoran di Bayan Lepas, Pulau Pinang, mengakui terpaksa menghentikan ‘Menu Rahmah’ hanya beberapa minggu selepas memperkenalkannya, memandangkan sambutan orang ramai yang kurang dan kerugian kewangan.

    Dalam video yang disiarkan di akaun TikTok rasmi Tong Kayu Cafe Original, pemiliknya Fakhrul menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain menghentikan menu tersebut kerana tidak tahan lagi menanggung kerugian.

    “Ya… Saya kena hentikan Menu Rahmah… dengan alasan yang tertentu. Sebenarnya dengan harga RM5 masih ada untung, tapi untungnya kecil dan kita kena main dengan volume.

    “Saya telah buat promosi kepada penduduk, tapi masalahnya tidak ada sambutan.

    “Ada dua sebab untuk pemberhentian itu – yang pertama adalah kerana faktor ekonomi. Saya tidak memiliki modal yang besar dan perniagaan saya hanya perniagaan biasa.

    “Kedua, sambutan yang sangat lemah sehingga membawa kepada kerugian,” katanya dalam video yang menerangkan keputusan dan sebab di sebalik penamatan ‘Menu Rahmah’, lapor Agenda Daily.

    Fakhrul berkata, dia telah memperkenalkan dua menu – nasi putih berlauk ayam masak kicap dan nasi putih ayam goreng kunyit.

    “Saya tidak menyediakan banyak – hanya kira-kira 15 pinggan untuk setiap menu – tetapi kami masih tidak dapat menghabiskannya. Kami terpaksa ‘melepaskan’ hidangan.

    “Saya sudah tidak tahan lagi. Kami ada menu untuk kira-kira dua hingga tiga minggu sudah.

    “Saya menceritakan perihal perniagaan saya… bukan menghentam mana-mana pihak. Saya tak pro mana-mana. Isu ini untuk perniagaan saya… saya peniaga kecil,” katanya.

    Fakhrul turut melahirkan harapan agar pelanggannya tidak mengecamnya atas keputusan itu, sambil menambah bahawa mereka pada mulanya bersemangat tinggi untuk menyokong inisiatif berkenaan, tetapi terpaksa berhenti seketika kerana kerugian.

  • 3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang kelmarin dipercayai anggota sindiket memproses dan menjual air ketum.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan di sini hari ini memakluman, dalam serbuan itu polis turut merampas sebanyak 105 kilogram (kg) daun ketum bersama suspek yang berusia antara 22 hingga 26 tahun berkenaan.

    Katanya, suspek menjadikan bahagian belakang rumah itu sebagai tempat memproses air ketum dan ketika serbuan, terdapat empat buah periuk besar sedang digunakan untuk memasak daun ketum untuk dijadikan air ketum.

    Selain daun ketum, tamnahnya, polis turut merampas ratusan bungkusan air ketum yang telah siap diproses iaitu 1,545 liter, peralatan memasak, tong gas dan pelbagai lagi yang kesemuanya bernilai RM16,500.

    “Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak beberapa bulan lalu dan mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

    “Sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian mereka yang berperanan menjual air ketum kepada pembeli terutama pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Tambahnya, polis kini giat mengesan rangkaian sindiket itu dan tiga lelaki yang ditahan kini direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana disyaki along yang menyimbah cat di premis perniagaan.

    “Suspek ditahan di Sungai Petani, Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427(324) Kanun Keseksaan,” katanya.