Tag: Batu Gajah

  • Pemandu wanita larikan diri 65 km, langgar 5 kenderaan polis ditahan

    Pemandu wanita larikan diri 65 km, langgar 5 kenderaan polis ditahan

    DIPERCAYAI didorong perasaan takut dan tertekan, seorang wanita tempatan bertindak melulu melarikan diri dan melanggar lima kenderaan polis, sebelum ditahan di Batu Gajah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika kejadian anggota Balai Polis Batu Gajah sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di pekan Batu Gajah kira-kira pukul 2.50 petang.

    “Anggota terbabit telah cuba menahan sebuah kenderaan jenis MPV Toyota Innova warna putih dalam keadaan mencurigakan.

    “Pemandu kenderaan (suspek) tersebut tidak memberikan kerjasama dan telah bertindak memandu kenderaan melarikan diri secara melulu dan berbahaya.

    “Suspek terus memandu kenderaan menghala ke Jalan Gopeng, Jalan Ipoh-Kampar, Jalan Malim Nawar dan terus berhenti ke lokasi jalan mati di Malim Nawar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjt Mohamad Roy Suhaimi berkata, dua Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Batu Gajah, tiga MPV Batu Gajah, dua MPV Kampar, dan dua kenderaan balai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar (Kuala Dipang dan Gopeng) digerakkan bagi membantu mengejar dan mengekori kenderaan suspek berusia 39 tahun itu.

    Namun katanya, semasa di lokasi jalan mati di Malim Nawar, suspek telah bertindak memandu untuk melarikan diri dari kepungan polis dengan melanggar beberapa kenderaan polis.

    “Ketika suspek mengundurkan kenderaannya juga, (suspek) telah cuba untuk melanggar seorang anggota polis di belakang kenderaannya.

    “Anggota polis tersebut telah melepaskan satu das tembakan pada tayar belakang kiri kenderaan suspek.

    “Bagaimanapun, suspek terus memandu kenderaan melarikan diri. Semua elemen terus mengejar dan mengekori kenderaan suspek.

    “Sampai di kilometer (km) 29 Jalan Ipoh-Lumut (arah Lumut), kenderaan suspek telah berhenti akibat kerosakan teruk pada enjin dan tayar,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dan ditangkap manakala pemeriksaan pada kenderaan tidak menjumpai barangan salah.

    Justeru katanya, suspek dan kenderaan dibawa ke IPD Batu Gajah bagi siasatan lanjut.

    “Anggaran jarak perjalanan insiden adalah sejauh 65 km, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian awal saringan air kencing adalah negatif.

    “Lima kenderaan polis mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan suspek. Motif suspek bertindak lari dari pemeriksaan polis dan melanggar kenderaan polis adalah dipercayai kerana berasa takut dan marah akibat tekanan hidup,” katanya lagi.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Katanya, suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga Khamis bagi siasatan lanjut.

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA