Tag: Batang Kali

  • Diisytihar kosong, tiada PRK DUN Batang Kali –  SPR

    Diisytihar kosong, tiada PRK DUN Batang Kali – SPR

    TIADA pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

    Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka kerusi DUN Batang Kali selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

    Ikmalrudin berkata berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5), Speaker Dewan Negeri Selangor telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka itu.

    “Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri N07 Batang Kali, Selangor akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 16 Feb lepas, Speaker DUN Selangor mengisytiharkan kerusi DUN Batang Kali kosong berkuat kuasa 28 Jan lepas ekoran penyandangnya Harumaini Omar daripada parti Pejuang tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan.

    Harumaini didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan Persidangan Dewan dari 23 hingga 30 Nov 2022, 1 hingga 2 Dis 2022 dan 5 hingga 6 Dis 2022. – BERNAMA

  • Tanah runtuh Batang Kali insiden kedua terbesar libatkan jumlah mangsa maut

    Tanah runtuh Batang Kali insiden kedua terbesar libatkan jumlah mangsa maut

    KEJADIAN tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat sini pada 16 Dis lepas merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

    Tragedi pada kira-kira pukul 2.30 pagi 16 Dis itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

    Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.

    Menurut Komander Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Mohd Khairul Jamil ketika menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan, pihaknya agak terkejut apabila diberitahu jumlah mangsa yang terlibat adalah 100 orang.

    “Kebiasaannya sebelum ini kejadian runtuhan hanya melibatkan seramai tiga atau empat orang mangsa, bila diberitahu 100 orang mangsa terlibat dalam kejadian pada hari itu ia amat mengejutkan saya.

    “Kemudian saya mengarahkan satu pasukan 10 anggota yang diketuai oleh Ketua Sektor Heavy USAR SMART, Mohamad Hafiezul Abdul Halim ke lokasi kejadian. Kejadian di Batang Kali ini merupakan kejadian kedua terbesar melibatkan mangsa yang terkorban selepas Highland Towers,” katanya dalam “Rancangan Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV hari  ini.

    Dalam pada itu Mohamad Hafiezul berkata peranan pasukan beliau di lokasi kejadian adalah untuk memberi bantuan dari segi kepakaran dan khidmat nasihat agar kerja-kerja mencari dan menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

    Beliau berkata antara alatan yang dibawa oleh pasukannya pada hari pertama kejadian adalah “structural movement sensor” yang mengawasi pergerakan tanah yang boleh membahayakan pasukan penyelamat.

    “Antara lain pasukan kami juga yang memberi nasihat agar jentera berat digunakan dalam kerja mencari susulan ketebalan tanah yang dianggarkan sehingga 20 meter,” katanya. – BERNAMA

  • Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    Mayat terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan dalam beg tidur

    MAYAT mangsa terakhir insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, dijumpai dalam beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada pukul 4.53 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

    Beliau berkata mayat itu dijumpai lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

    Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok,” katanya pada sidang media selepas penemuan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan itu, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan.

    Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side).

    Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

    Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang. – BERNAMA

  • Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    Jalan Batang Kali-Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

    JALAN Batang Kali-Genting yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, semalam.

    Beliau berkata pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

    “Kita akan besarkan kawasan di sebelah kiri atau kanan Jalan Batang Kali-Genting Highland, untuk membenarkan penduduk di Batang Kali menggunakan jalan tersebut, tapi ia untuk kenderaan ringan sahaja yang boleh melaluinya.

    “Kawasan itu telah ditambak dengan batu dan dipadatkan, kita juga akan aturkan pasukan keselamatan untuk mengawal laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di tapak Stadium Shah Alam di sini hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Amirudin turut memaklumkan kerajaan Selangor tidak akan menganjurkan sebarang majlis sambutan ambang tahun baharu 2023, bagi menghormati mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor.

    Bagaimanapun beliau tidak menghalang pihak-pihak lain seperti syarikat swasta atau kelab penduduk, untuk mengadakan majlis berkenaan, tapi ia perlu dibuat dalam kadar sederhana.

    “Mungkin tahun ini kita boleh teruskan dengan program solat hajat, seperti yang dibuat pada tahun lalu dan untuk itu, saya sedang merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan lain-lain.

    “Saya juga akan hadir ke program tersebut, tapi bukan ke program berbentuk hiburan dan sebagainya,” katanya.

    Mengenai inisiatif RiDE, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi inisiatif tersebut, dengan memanfaatkan seramai 3,000 orang penghantar makanan yang menerima wang tunai sebanyak RM500 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    Tanah runtuh: Anggota APM pengsan sewaktu bertugas

    SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.

    Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.

    “Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Menurutnya anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

    Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Dis lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.

    Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. – BERNAMA

  • SAR tanah runtuh: Budak lelaki sasaran akhir pasukan mencari

    SAR tanah runtuh: Budak lelaki sasaran akhir pasukan mencari

    BERBAKI satu lagi mangsa yang hilang dipercayai seorang kanak-kanak lelaki, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kesembilan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, di Batang Kali diteruskan hari ini.

    Semalam, walaupun cuaca dilaporkan baik namun operasi berkenaan ditangguhkan sementara pada 11 malam atas faktor keselamatan pasukan mencari.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada JBPM, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

    “Selain itu, 10 ekor anjing pengesan K9 dan sembilan jengkaut digunakan hari ini dengan fokus pencarian di sektor A,” katanya.

    Hari ini pasukan mencari akan giat mengesan kanak-kanak lelaki malang itu, yang juga seorang daripada 92 angka rasmi bilangan mangsa disahkan terlibat dalam kejadian runtuhan pada Jumaat (16 Dis) lepas.

    Dalam kejadian tersebut, 61 individu terselamat, manakala 30 nyawa dilaporkan terkorban setakat ini dan kesemua mereka juga sudah dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing. 

    Daripada jumlah mangsa terkorban itu, enam adalah lelaki dewasa, 12 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak masing-masing enam lelaki dan enam perempuan. 

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media mula tiba di situ secara berperingkat bagi menunggu perkembangan terkini mangsa terakhir.

    Anggota penyelamat juga mula memasuki lokasi pencarian secara berkumpulan diketuai pasukan bomba diikuti polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan SMART.

    Selain itu, cuaca juga dilaporkan baik namun jalan menuju ke PKTK dilihat berhabuk susulan lumpur kering di atas jalan raya. -BERNAMA

  • Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    Penutupan jalan setahun resahkan penduduk Batang Kali

    PENUTUPAN jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands selama setahun susulan tragedi tanah runtuh dekat sini, ternyata meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands. 

    Mana tidaknya, Batang Kali, sebuah bandar yang terletak di Hulu Selangor dan berdekatan dengan simpang menuju pusat peranginan utama negara itu, disifatkan penduduk sebagai ‘bandar Rehat dan Rawat (RnR)’ untuk orang ramai singgah menjamu selera atau menginap sebelum meneruskan perjalanan ke pantai timur atau utara termasuk ke Genting Highlands. 

    Pengurus sebuah hotel di sini, Riduan Adnan ketika ditemui Bernama berkata jalan berkenaan sering menjadi laluan alternatif bagi pemandu dari utara yang keluar menerusi Tol Tanjung Malim, seterusnya melalui Genting Highlands untuk ke pantai timur atau sebaliknya.

    Riduan yang telah menetap di Batang Kali sejak 2012 berkata selain itu, hotelnya turut menjadi pilihan pengunjung terutamanya ketika musim cuti persekolahan memandangkan hotel-hotel di sekitar Genting Highlands agak mahal.

    “Di Hulu Selangor ini, antara bandar yang paling ‘hidup’ ialah Batang Kali, sekali gus menjadikannya tumpuan utama tempat persinggahan bagi mereka yang ingin bercuti ke Genting Highlands namun tidak mampu mengeluarkan bajet yang besar.

    “Atas faktor itu, ramai yang memilih untuk singgah dan menginap di bandar ini kerana jaraknya yang lebih dekat ke Genting Highlands, iaitu kira-kira setengah jam, selain harga makanan di sini yang lebih murah berbanding ‘di atas” (Genting Highlands),” katanya.

    Pemerhatian Bernama mendapati bandar berkenaan meskipun adalah sebuah bandar kecil, namun mempunyai banyak kemudahan seperti stesen minyak, bank, hotel-hotel bajet, restoran makanan segera, restoran makanan Melayu yang menawarkan harga agak murah.

    Riduan berpendapat kesan penutupan jalan tersebut mungkin belum dirasai sekarang namun akan hanya dirasai setelah beberapa bulan oleh semua pihak termasuk pengusaha restoran di sini selain akan menyaksikan jumlah pengunjung ke kawasan itu semakin berkurangan susulan penutupan jalan bagi kerja-kerja pembaikan cerun.

    Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

    Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).

    Pengusaha restoran di sini, Mohd Yasin Abu Bakar turut menzahirkan kerisauannya terhadap kesan ke atas perniagaannya yang sebelum ini menjadi lokasi persinggahan orang ramai sama ada dari pantai timur atau utara yang melalui laluan Batang Kali-Genting Highlands.

    “Sebelum ini, premis saya menjadi tempat persinggahan orang ramai untuk makan terutamanya mereka yang turun dari Genting Highlands. Saya berharap kerajaan fikirkan satu solusi sebab kami para peniaga pun perlu fikirkan juga pelbagai kos untuk dibayar seperti gaji dan sebagainya,” katanya.

    Ramai pihak bagaimanapun menyifatkan jalan alternatif tersebut adalah jauh, memakan masa, tenaga dan kos berikutan perlu melalui perjalanan sejauh 90 kilometer (km) dan mengambil masa lebih satu jam setengah untuk sampai ke Genting Highlands berbanding kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan sejauh 30km jika melalui jalan yang kini ditutup.

    Melalui pemerhatian di media sosial pula, pengguna Facebook Nurul Amyra mengakui jalan alternatif agak jauh untuk berulang alik bekerja kerana perlu melalui Gombak untuk ke Genting Highlands, manakala pemilik akaun bernama Siti Noor Rahimaniza mencadangkan jalan Batang Kali-Genting Highlands hanya dibuka kepada pekerja di pusat peranginan itu.

    “Buka jalan untuk staf Genting sahaja, kalau susah sangat, suruh majikan buat surat dan polis boleh jaga simpang Batang Kali di bawah…buat macam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu…yang bekerja saja bagi lepas ikut jalan itu,” kata Siti Noor.

    Selain itu, terdapat juga cadangan dari penduduk sekitar yang meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kenderaan ringan seperti motosikal untuk kemudahan penduduk yang tinggal di sekitar Batang Kali berulang alik ke tempat kerja di Genting Highlands.

    Malah, Bernama turut difahamkan ketika ini terdapat juga pekerja di pusat peranginan berkenaan yang terpaksa mencari tempat tinggal sementara di Genting Highlands atau menginap di hostel yang disediakan majikan buat sementara waktu.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali Harumaini Omar ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan berbincang bersama agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengenai perkara berkenaan.

    Beliau berkata ini adalah bagi mencari penyelesaian dan kaedah terbaik dan selamat untuk pengguna jalan berkenaan terutama yang bekerja di Genting Highlands.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas (16 Dis) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat ini menyaksikan 30 nyawa terkorban, seorang lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini

    Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini

    USAHA pencarian seorang lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Batang Kali, memasuki hari kelapan, pagi ini.

    Pencarian mangsa terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki itu dimulakan pasukan penyelamat kira-kira 8 pagi, dibantu oleh aset dan khidmat enam ekor anjing unit pengesan (K9) dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia.

    Cuaca di lokasi pencarian pagi ini cerah berbanding hujan semalam sehingga menyebabkan operasi SAR terpaksa ditangguhkan sejak petang atas faktor keselamatan.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 30 nyawa terkorban manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit.

    Semalam, operasi yang memasuki hari ketujuh berjaya menemukan empat mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa serta dua kanak-kanak pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput, di sektor C (Riverside) pada 11.04 pagi.

    Polis dalam satu sidang media lewat petang semalam juga mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden itu adalah seramai 92, bukannya 94 orang seperti dilaporkan sebelum ini.

    Jumlah terbaharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula dibuat beberapa kali berdasarkan maklumat dan laporan diterima dari pelbagai pihak termasuk ahli keluarga. – BERNAMA

  • Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    Tanah runtuh: Operasi SAR diteruskan kesan tujuh lagi mangsa

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini pada Jumaat lepas, diteruskan hari ini.

    Operasi yang memasuki hari ketujuh bersambung semula pada kira-kira 8 pagi tadi, selepas ditangguhkan pada pukul 10 malam semalam.

    Setakat ini, tragedi berkenaan meragut 26 nyawa, tujuh mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terlibat.

    Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, daripada keseluruhan mangsa terlibat, 29 adalah kanak-kanak dan 65 dewasa. – BERNAMA

  • Tragedi tanah runtuh: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah

    Tragedi tanah runtuh: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

    Menerusi catatan di akaun Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku serta berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

    “Seri Paduka berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

    Seri Paduka berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan dan agensi  kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.

    “Seri Paduka berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera,” menurut catatan itu.

    Setakat 1 tengah hari tadi, polis mengesahkan seramai 16 orang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada awal pagi tadi manakala 17 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan. – BERNAMA