Tag: basikal lajak

  • Kes basikal lajak: Pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting 11 Mei

    Kes basikal lajak: Pengurusan kes rayuan Sam Ke Ting 11 Mei

    RAYUAN kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lepas, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Mei ini.

    Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi hari ini.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video.

    Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – BERNAMA

  • Basikal lajak: Sam Ke Ting dibebas dengan jaminan sementara

    Basikal lajak: Sam Ke Ting dibebas dengan jaminan sementara

    SEORANG kerani wanita yang ditahan di penjara atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, hari ini dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Sam Ke Ting, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan Sam yang memakai baju kurung biru itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Sam yang hadir ke mahkamah dengan tangan bergari, selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak membantah permohonan berkenaan.

    Manoj berkata, pihaknya tidak membantah permohonan kerana kes itu berkepentingan awam selain mengakui pemohon (Sam) tidak akan melarikan diri.

    Ravinthran kemudiannya membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu, dan rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

    “Kami telah berbincang dan pemohon (Sam) dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” kata Ravinthran dalam keputusan sebulat suara itu.

    Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam untuk meminda notis rayuan dengan memasukkan persoalan undang-undang dalam notis berkenaan.

    Muhammad Faizal berkata permohonan itu dibuat berikutan beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan nota prosiding Mahkamah Tinggi berhubung kes itu kerana kesuntukan masa.

    “Permohonan untuk kebenaran merayu difailkan pada Khamis (14 April) bersama dua afidavit sokongan. Disebabkan Johor cuti pada Jumaat, saya mengalami kesukaran berhubung dengan mahkamah. Oleh sebab itu, saya tidak sempat untuk mendapatkan nota prosiding daripada mahkamah,” katanya.

    Menurut peguam itu terdapat enam persoalan undang-undang yang perlu dijawab termasuk sama ada keterangan tidak bersumpah oleh Sam boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan sama ada wujud beban atas wanita itu bagi membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

    Muhammad Faizal dalam hujahan penangguhan pelaksanaan hukuman dan rayuan berhubung jaminan berkata berdasarkan rekod mahkamah, anak guamnya hadir pada setiap kali perbicaraan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

    “Pemohon (Sam) yang bekerja sebagai kerani sebelum ini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah.” katanya.

    Di awal prosiding, panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Majlis Peguam yang diwakili peguam Ravinder Singh Dhaliwal untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah), namun menolak dua lagi permohonan sama oleh MCA dan Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Muhammad Faizal berkata anak guamnya berpesan supaya orang ramai tidak berdebat berhubung kes berkenaan dengan menimbulkan isu perkauman.

    “Anak guam saya seorang yang patuh kepada kedaulatan undang-undang dan akur dengan keputusan mahkamah,” kata peguam itu.

    Menurut Muhammad Faizal, anak guamnya dijaga dengan baik sepanjang berada di dalam penjara selain turut berterima kasih kepada keluarga, rakan dan persatuan yang menyokong dan prihatin terhadapnya.

    Sementara itu Muhammad Faizal berkata anak guamnya turut meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak menyalahkan sistem kehakiman selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.

    “Apabila menang, ada pihak mendakwa sistem kehakiman telah rosak,” kata peguam itu yang turut memaklumkan kes itu membabitkan isu sejagat dan bukannya isu perkauman.

    Tambah Muhammad Faizal, kes itu membabitkan nilai nyawa manusia, namun selagi tidak dibuktikan bersalah, anak guamnya tidak boleh dipenjarakan.

    “Tertuduh (Sam) sendiri faham ia membabitkan nilai nyawa manusia dan dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkali-kali dia katakan dia sangat bersimpati terhadap kehilangan ahli keluarga terlibat,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya bersyukur dengan keputusan hari ini kerana sekiranya tidak mendapat kebenaran merayu dan diikat jamin, dia masih akan berada di penjara. – BERNAMA

  • Sam Ke Ting fail rayuan, mohon tangguh hukuman penjara

    Sam Ke Ting fail rayuan, mohon tangguh hukuman penjara

    SAM Ke Ting yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu.

    Memetik laporan FMT, peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, kedua-dua notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan hari ini melalui sistem e-filing mahkamah.

    Katanya, perakuan segera juga telah difailkan oleh Sam Ke Ting hari ini.

    Wanita tersebut yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak di Johor Bahru, dipenjara enam tahun bermula semalam.

    Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap Sam Ke Ting, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

    Jurujual itu turut didenda sebanyak RM6,000 dan jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan selain hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

    Abu Bakar berhujah, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.

    “Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

    “Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman.

  • Basikal lajak: Jurujual wanita dipenjara enam tahun, denda RM6,000

    Basikal lajak: Jurujual wanita dipenjara enam tahun, denda RM6,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PEMANDU wanita yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak di Johor Bahru, dipenjara enam tahun bermula hari ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap Sam Ke Ting, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

    Jurujual itu turut didenda sebanyak RM6,000 dan jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan selain hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

    Abu Bakar berhujah, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.

    “Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

    “Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman.

    Tertuduh yang hadir ke pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian kemeja putih berbelang dan berseluar panjang berwarna coklat itu hanya kelihatan tenang selepas hukuman dijatuhkan.

    Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali.

    Mereka memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam. Namun, peguam bela, Muhammad Faizal Mokhtar merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan memandangkan ia kesalahan pertama selain tertuduh turut menanggung kedua-dua ibu bapa.

    Muhammad Faizal turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) ke atas responden yang mana hukuman bermula dari tarikh sabitan, bagaimanapun Hakim tidak membenarkan penangguhan selagi tidak menerima kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

    Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan yang berlaku pada 18 Februari 2017 melibatkan Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun.

    Dia didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.

    Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

  • Kes basikal lajak: Jurujual kekal dibebas dan dilepaskan

    Kes basikal lajak: Jurujual kekal dibebas dan dilepaskan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG jurujual wanita kekal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak, empat tahun lalu.

    Majistret Siti Hajar Ali membacakan keputusan kes di akhir pembelaan selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

    Tertuduh, Sam Ke Ting, 26, sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, 28 Oktober 2019.

    Namun, Siti Hajar sekali lagi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan selain keterangan diberikan tertuduh ketika membela diri adalah munasabah dan bukan penafian atau rekaan semata-mata.

    “Setelah mendengar keterangan dikemukakan dan menimbang hujah pendakwaan serta pembelaan di akhir kes pembelaan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan ke atas tertuduh. Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

    Siti Hajar berkata, antara alasan mahkamah membuat keputusan itu ialah mengambil kira keterangan tertuduh yang tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada pukul 3 pagi itu adalah munasabah.

    “Tertuduh yang dalam perjalanan pulang dari perarakan dewa Pesat Chingay menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu itu dan tiada sebarang amaran terhadap keberadaan kumpulan basikal lajak di situ.

    “Keterangan tertuduh dia yang memandu di bawah had laju dan berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam,” katanya.

    Kata Siti Hajar, faktor permukaan lokasi kejadian itu yang mendaki bukit, berselekoh dan dalam keadaan gelap menyebabkan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

    “Terdapat juga keraguan identiti sebenar pemandu kereta yang didakwa dipandu tertuduh. Ini berikutan terdapat kewujudan seorang lagi lelaki berbangsa Cina di lokasi kejadian dan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan itu.

    “Timbul keterangan saksi lain yang mencetuskan persoalan yang gagal dijelaskan. Oleh itu, tertuduh tidak boleh boleh dihukum atas kegagalan pegawai penyiasat melaksanakan tanggungjawab beliau dalam menyiasat kes dengan sempurna,” ujarnya.

    Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu jurujual wanita itu dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta setelah digantung sepanjang perbicaraan.

    Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.