Tag: barang kemas

  • AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ia tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

    Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Bernama berkata AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 14 Nov 2022.

    “Ya, AGC tidak merayu terhadap keputusan hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan Yang Arif,” kata Idrus menerusi mesej WhatsApp hari ini.

    Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

    Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

    Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib. – BERNAMA

  • Firma barang Lubnan kemas saman Rosmah AS$14.57 juta

    Firma barang Lubnan kemas saman Rosmah AS$14.57 juta

    FIRMA barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL akan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut ganti rugi terhadap 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta yang didakwa masih berada dalam milikan isteri bekas perdana menteri itu.

    Perkara tersebut dimaklumkan peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.

    “Pihak kami telah memfailkan afidavit untuk mengesahkan bahawa setelah pemeriksaan oleh wakil Global Royalty pada 25 Okt hingga 3 Nov lepas di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), hanya satu gelang berlian milik Global Royalty dijumpai daripada 44 barangan kemas yang dituntut oleh Datin Seri Rosmah.

    “Sebelum ini, kami telah menarik balik saman sivil yang difailkan terhadap beliau (Rosmah) pada 2019 kerana perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada di BNM atau tidak…jadi, kami akan memfailkan semula saman sivil itu kerana kami percaya 43 barangan kemas tersebut masih ada dalam simpanan beliau,” kata peguam itu.

    Gurupatham berkata berdasarkan memorandum konsainan, Rosmah perlu membayar jumlah harga barangan kemas tersebut sekiranya beliau tidak memulangkannya semula kepada Global Royalty.

    Barangan kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018, yang didakwa berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sementara itu, Gurupatham berkata, mahkamah telah menetapkan 23 hingga 27 Mei 2022 untuk pendengaran tuntutan pelucuthakan barangan lain yang disita di premis Obyu Holdings termasuk barangan kemas, jam dan beg tangan serta cermin mata.

    “Ia juga termasuk seutas gelang berlian bernilai AS$220,000 milik Global Royalty yang ditemui semasa pemeriksaan di BNM,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan tarikh tersebut.

    Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44. – BERNAMA