Tag: Bapa

  • Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Bapa ADUN Gurun Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    BAPA kepada bekas pemain bola sepak yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 6.04 pagi ini.

    Allahyarham Bakhtiar Md. Isa, 66, dilaporkan menghembus nafas terakhir di kediaman Baddrol di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani.

    Difahamkan bapa kepada enam anak itu baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang, baru-baru ini.

    Sementara itu, besan arwah, Mustafa Khalid Hanafi, 62, memaklumkan jenazah Bakhtiar akan diurus dan disembahyangkan di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria.

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Busyra, Merbok selepas solat Zohor, hari ini.

    Terdahulu, berita pemergian arwah dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Baddrol yang juga anak keempat kepada Allahyarham Bakhtiar.

    Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sepanjang penglibatannya dalam bola sepak tanah air baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

  • Bapa, dua lagi maut ditembak anak sendiri

    Bapa, dua lagi maut ditembak anak sendiri

    SEORANG lelaki bertindak menembak mati bapa, adik perempuan serta anak saudara lelaki dalam kejadian pada Jumaat malam di Cleveland, Amerika Syarikat (AS).

    Menurut polis, kejadian itu turut mencederakan seorang lagi lelaki dewasa serta kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Ketua Polis Cleveland, Wayne Drummond berkata insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai kes domestik terpencil di kawasan kejiranan Brooklyn, beberapa kilometer di barat daya pusat bandar.

    Jelasnya suspek berusia 41 tahun menahan kereta polis yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut bagi memberitahu tentang kejadian.

    Suspek telah pun ditahan pihak polis, menurut laporan media tempatan News 5 Cleveland.

    “Anggota polis yang dikerah ke lokasi kejadian menemui lima individu telah ditembak dan tiga daripada mereka maut manakala dua lagi cedera,” katanya lapor Astro Awani.

    Kanak-kanak tersebut serta bapanya berusia 48 tahun dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini berada dalam keadaan kritikal.

    Mangsa maut dikenal pasti sebagai Miguel Gonzalez, 69 tahun, Angelic Gonzalez, 34 tahun, dan anaknya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

    Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan.

    Motif tembakan sedang dalam siasatan.

  • Bapa didakwa rogol, liwat anak perempuan berusia tiga tahun

    Bapa didakwa rogol, liwat anak perempuan berusia tiga tahun

    LELAKI warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya, bulan lalu.

    Tertuduh, 45, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa merogol anak perempuan bongsunya yang berusia tiga tahun yang mana perhubungan lelaki itu dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak sama.

    Pendakwaan bagi tuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di rumah keluarga itu dekat Tampoi pada 13 Disember 2022.

    Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kedua-dua perbuatan itu adalah kesalahan serius yang tidak boleh dijamin.

    “Pada masa sama, tertuduh tinggal sebumbung bersama mangsa yang merupakan anak kandungnya dan wujud keberangkalian yang sangat tinggi untuk tertuduh mengganggu serta berhubung dengan mangsa,” jelasnya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudian bersetuju tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin sebelum menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

    Lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

    Kejadian itu dikatakan berlaku ketika isterinya yang juga rakyat tempatan sedang keluar bekerja di Singapura dan ketika itu, tertuduh hanya tinggal bersama mangsa dan dua anak yang lain, manakala dua lagi sedang bersekolah.

  • Kami sudah maafkan jurulatih berkenaan – Bapa

    Kami sudah maafkan jurulatih berkenaan – Bapa

    BAPA kepada salah seorang pelajar perempuan yang ditampar jurulatih dalam satu insiden di kejohanan bola tampar di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini telah memaafkan perbuatan lelaki itu dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

    Meskipun kejadian itu mendapat perhatian netizen yang mengecam perbuatan berkenaan, namun Abd Halim  Bakar, 50, menganggap tindakan itu tidak keterlaluan serta tidak meninggalkan sebarang kesan psikologi ke atas anaknya.

    Sebaliknya beliau melihat kelakuan jurulatih itu sebagai pembakar semangat kepada anaknya untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan itu dan tindakannya bukan bertujuan mencederakan.

    “Sehubungan itu saya mohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengambil tindakan memandangkan kami telah memaafkan guru sukan (jurulatih) itu. 

    “Untuk netizen pula, kami minta hentikan semua kecaman kerana saya pun tidak anggap ia serius dan tiada kecederaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di  Kampung Melekek, di sini hari ini.

    Beliau juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang bertindak menggantung tugas jurulatih berkenaan.

    Mengulas lanjut Abd Halim memaklumkan keluarganya sudah mengenali lelaki itu lebih lima tahun dan berharap beliau dikekalkan berdasarkan kemampuan dan dedikasi jurulatih berkenaan melatih pasukan anaknya.

    “Kami harap pihak terlibat dapat memberi peluang kepadanya dengan mengambil kira jasa dan bakti yang dicurahkannya dalam sukan bola tampar. Saya percaya tindakan tidak lebih seperti ‘mengejutkan orang dari tidur’, untuk naikkan semangat,” katanya.

    Semalam, Bernama melaporkan status jurulatih berkenaan yang sebelum ini digantung sementara oleh MAVA, akan ditentukan esok selepas siasatan lanjut dilakukan. 

    Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam berkata hal itu perlu memandangkan jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan ini adalah di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka. – BERNAMA