Tag: Bantuan Khas Kewangan

  • Sanusi umum bantuan RM1,500 kepada penjawat awam Kedah

    Sanusi umum bantuan RM1,500 kepada penjawat awam Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam negeri itu melibatkan peruntukkan RM8 juta yang akan dibayar hujung tahun ini.

    Katanya, kerajaan negeri amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam melaksanakan dasar, program dan projek yang dirancang oleh kerajaan demi membangunkan Kedah.

    “Kakitangan awam negeri juga terlibat menguruskan bantuan semasa berlakunya bencana di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Kedah pada Mesyuarat Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di Alor Setar hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri turut mempertimbang kenaikan gaji kepada 146 guru lantikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selain memberi faedah kenaikan secara one-off berjumlah RM100 seorang seperti yang dinikmati penjawat awam lain.

    “Kita menerima keluhan dan luahan guru-guru lantikan kontrak ini yang tidak menerima kenaikan gaji tahunan sebab terikat dengan kontrak. Terdapat sebilangan guru tidak terima kenaikan sejak enam tahun lalu. Kajian kenaikan gaji guru ini akan disiapkan tahun depan,” katanya.

    Sementara itu, tempoh zon bebas berniaga yang berakhir hujung tahun ini akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan selain mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi pusat penjaja kecil dengan kemudahan yang lebih selesa kepada penjaja dan pelanggan.

    “Kerajaan negeri akan membantu usahawan seperti ini melalui bantuan menyediakan kiosk di lokasi yang sesuai. Kerajaan negeri mengeluarkan dasar zon bebas berniaga bagi membantu golongan terkesan semasa pandemik Covid-19.

    “Kita mendapati pelaksanaan dasar ini membantu golongan penjaja meneruskan kehidupan. Tempoh kebenaran dasar ini akan berakhir 31 Disember tahun ini, prihatin dengan kegusaran mereka, kita bersetuju melanjutkan tempoh kebenaran zon bebas berniaga sehingga 31 Disember 2023,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memilih lokasi yang bersesuaian dan menambah baik kemudahan tapak penjaja kecil berkenaan.

    “Ini bagi membolehkan penjaja kita beroperasi secara selamat, terancang dan tidak mengganggu kawasan sekitar. Sejumlah RM1.2 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

    Kedah memperkenalkan dasar zon bebas niaga itu sejak November 2020 bagi membolehkan peniaga kecil berniaga di jalanan di lokasi dibenarkan oleh PBT kawasan terlibat.

  • PM umum Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara

    PM umum Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah.

    Menurut Perdana Menteri, bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen pula akan menerima BKK sebanyak RM350.

    Beliau menjelaskan, pembayaran BKK itu akan dibuat bermula Januari 2023.

    “Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

    “Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” katanya hari ini,

    Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

    Ismail Sabri turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

    “Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Jan 2022,” katanya.

    Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara itu.

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan.

    “Kajian juga merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.